HAMPIR seluruh lapisan masyarakat termasuk golongan gelandangan diberikan perhatian kerajaan.
HAMPIR seluruh lapisan masyarakat termasuk golongan gelandangan diberikan perhatian kerajaan.
Mohd Rozaimy Ridzuan

BERBUMBUNGKAN angkasa kelabu, lantainya bumi retak seribu adalah sebaris lagu yang cukup puitis mengambarkan situasi kehidupan orang yang kurang bernasib baik, termasuk golongan gelandangan.

Sebelum ini, kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan penuh cekap manakala majoriti rakyat Malaysia pula patuh dengan arahan berkurung di rumah.

Kini, Malaysia berada di fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan masih banyak perkara yang perlu dipatuhi terutama membabitkan aktiviti sosial dalam bentuk perhimpunan beramai-ramai.

Alhamdulillah, hampir seluruh lapisan masyarakat termasuk golongan gelandangan diberikan perhatian kerajaan dan ia jelas dipersembahkan di dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat. Seperti golongan rentan yang lain, isu gelandangan perlu dipandang serius kerana ia memberikan kesan kepada ekonomi negara melalui sektor pelancongan.

Sekiranya, isu ini ditangani dengan baik, bukan saja ia dapat meningkat pendapatan negara, malah ia juga berpontensi untuk meningkatkan keabsahan sesebuah kerajaan.

Kebiasaanya, golongan gelandangan ini tinggal di persekitaran kurang bersih seperti di bawah jambatan, di kaki lima, perhentian bas, bangunan yang ditinggalkan dan sebagainya.

Mereka juga kurang mendapat akses yang baik kepada penjagaan kesihatan dan dikhuatiri mudah dijangkiti Covid-19 dan penyakit berjangkit yang lain.

Ketiadaan atau kekurangan akses kepada media juga memburukkan lagi keadaan gelandangan kerana kurangnya pengetahuan mengenai bagaimana wabak Covid-19 ini boleh tersebar.

Hilangya tempat bergantung makanan dan pakaian yang selama ini dihulurkan badan bukan kerajaan (NGO) memeritkan lagi keadaan golongan gelandangan ini kerana ruang pergerakan terhad dan banyak jalan utama ditutup.

Bayangkan jika kerajaan mengisytiharkan darurat untuk mengekang penularan wabak Covid-19, ke manakah golongan ini hendak pergi?

Ketika darurat, kawasan awam ditutup, rakyat dilarang keluar rumah dan jalan juga ditutup.

Alhamdulillah, pada ketika ini, penularan wabak Covid-19 ini dapat dikawal dan jika rakyat Malaysia terus istiqamah, pasti kita semua berjaya mengusir wabak ini keluar.

Tahniah kepada kerajaan yang mengambil langkah pantas menempatkan 1,000 gelandangan di ibu kota di beberapa tempat Pusat Penempatan Sementara sepanjang tempoh pelaksanaan PKP untuk mengekang penularan wabak Covid-19.

Sebelum ini pun, terdapat banyak inisiatif yang dimainkan kerajaan dalam menangani masalah gelandangan, antaranya dengan mewujudkan Anjung Singgah, Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur dan sebagainya.

Baru-baru ini pula, Kementerian Wilayah Persekutuan melalui jawatankuasa khas gelandangan dianggotai agensi kerajaan seperti Yayasan Kebajikan Negara, Jabatan Tenaga Kerja, Agensi Antidadah Kebangsaan serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan berganding bahu menyediakan peluang pekerjaan kepada gelandangan.

Dengan mengambil pendekatan kebajikan produktif, diharapkan gelandangan ini lebih berdikari dan tidak bergantung bantuan kerajaan dan NGO selama-lamanya.

Mereka yang berjaya dalam temu duga akan ditawarkan gaji RM1,400 sebagai permulaan berserta elaun untuk jawatan operator pengeluaran kilang.

Selain itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga membuka peluang kepada golongan ini untuk bertugas sebagai pekerja am DBKL.

Sebenarnya, pendekatan kebajikan produktif sebegini sangat baik dan ia sangat menuntut pemantauan rapi dan berterusan daripada kerajaan dan NGO.

Terdapat keperluan membentuk sebuah pasukan petugas khas dalam memantau perkembangan golongan gelandangan ini supaya objektif kerajaan dalam mengurangkan jumlah gelandangan di negara ini tercapai.

Selain itu, harus difikirkan juga ada golongan gelandangan yang sudah ada pekerjaan, tetapi mereka tindak mampu menyewa atau membeli rumah.

Masalah golongan ini juga perlu diperhalusi supaya ia tidak menjadi one size fits all policy.

Kita juga boleh jeling sejenak di Finland, di sana mereka berjaya mengurangkan 35 peratus gelandangan dengan memperkenalkan Dasar Perumahan Pertama.

Dalam dasar ini, sebuah NGO dikenali sebagai Y-Foundation menaik taraf semula flat lama untuk memberikan sewa yang berpatutan kepada penyewa (gelandangan).

Walaupun tidak semudah yang disangkakan untuk melaksanakan dasar sebegitu, setidak-tidaknya ia memberikan sedikit gambaran dan ilham kepada Malaysia untuk membanteras masalah gelandangan di negara ini.

Apa-apa pun, usaha kerajaan mewujudkan Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) dalam memberikan pelajaran kepada semua lapisan masyarakat patut dipuji bagi memastikan anak gelandangan 'bersukat sama paras, bertimbang sama berat' dengan anak-anak lain.

Penulis Pensyarah Dasar Awam di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2020 @ 7:00 AM