GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Datuk Dr Kamarul Rashdan Salleh

SALAH satu dari wacana nukilan ini membicarakan perihal potensi pembesaran kelompok miskin bekerja akibat krisis pandemik Covid-19 yang mengubah nasib baik sebahagian sektor kepada nasib buruk yang diramalkan tak kunjung sudah selagi perjalanan di dalam kegelapan mencari vaksin Covid-19 ini yang setelah sekian lama masih lagi gelap- gelita.

Harus kita berpijak di bumi nyata di sini bahawa sekalipun pelbagai usaha sehabis baik oleh kerajaan, institusi perbankan dan pihak berkuasa fiskal untuk menyuluh dalam kegelapan lockdown sebagai petanda setia penjarakan sosial namun kita takkan tergapai bintang di langit kerana kegelapan lockdown itu sudah menyuramkan ekonomi walaupun untuk seketika sehingga terjadinya catastrophe yang menzahirkan a deep slump and financial crisis. Persoalannya, sejauh mana buruknya dan bila kemelesetan ini akan berakhir?

Mencerap iktibar dari China yang baharu menghidupkan semula dan sedang memanaskan enjin ekonominya maka segelintir pemain pasaran menghala sasaran ke suku keempat 2020 untuk ekonomi kembali menjadi positif. Namun apakah justifikasi sasaran itu apabila China sendiri belum begitu tegar mengakui optima keupayaannya merancakkan aktiviti perekonomian ke arah petunjuk prestasi yang selari sewaktu pra Covid-19. Andainya aktiviti perekonomian China diasak bekerja secara hyperaktif sehingga berjaya mencapai 80 peratus petunjuk prestasi sekalipun, tetapi tidak menjana nilai dan untung yang didambakan apabila segala produk yang terhasil ciptaan karyawan dan usahawan dari teratak perusahaan itu tiada siapa yang mahu dan mampu membelinya memandangkan aktiviti perekonomian khususnya negara negara luar juga merudum dan kuasa membeli di pasaran kian menikus.

Pada hemat saya, adalah sukar secara virtual bagi sutradara ekonomi membayangkan lakonan babak-babak endgame bagi krisis pandemik Covid-19 ini lantaran ketidaktentuan aksi virus Covid-19 yang kerap bermutasi. Justeru, ketidaktentuan ini juga turut mengimbau ketidaktentuan sosio ekonomi khususnya tentang bagaimanakah dimensi tingkah laku dan citarasa rakyat pada masa hadapan pasca Covid-19. Sungguhpun kita menyedari tahap adaptasi rakyat sewaktu PKP yang meniti kehidupan normal baharu adalah tinggi dan dimantapkan lagi dengan keazaman yang jitu dan kreativiti yang bernas namun masing-masing tetap menyimpan harapan setinggi gunung agar ketidaktentuan ini berakhir segera dan virus Covid-19 pergi tak kembali lagi.

Sebab itulah, apabila dilonggarkan sedikit belenggu PKP ini kepada PKP Bersyarat maka selepas Subuh kita menyaksikan sebahagian besar lapisan rakyat keluar dari hibernasi masing-masing berkeliaran ke sana ke sini. Baik yang bekerja, yang berniaga, yang berkarya, yang bertani dan sebagainya tidak sabar untuk melakonkan aksi masing-masing di pentas dunia yang ditonton Tuhan Maha Esa. Ada juga yang tidak upaya beraksi kerana dibuang dari pentas lalu kehilangan mata pencarian, namun tidak berputus asa mengintai peluang dan meninjau ruang. Sesungguhnya magnitud ini menampilkan betapa sebahagian besar rakyat selama ini alah bisa tegal biasa dengan norma mata pencarian bertunjangkan kais pagi makan pagi terutama golongan B40 dan separa M40.

Hamparan norma ini terbentang jelas di hadapan kita. Sebagai contoh, genggaman warga asing memonopoli Pasar Borong Selayang sebelum ini tanpa disangka terungkai akibat PKP. Lalu majikan tiada pilihan terpaksa menghebahkan peluang kepada warga tempatan dan tanpa disangka disahut lebih daripada 1,000 orang. Tidak sekadar itu, golongan petani, nelayan, peladang dan penternak bergegas membanting tulang empat kerat menorah getah, mencebak sawit, memetik cili, memungut buah, menjala ikan dan lain-lain lagi demi menyara kehidupan sekeluarga.

Sebab itulah pujian wajar kepada Perdana Menteri dan kerajaan kerana membuat keputusan bijak dan memilih langkah berani untuk memulakan PKP Bersyarat ini. Runtunan gelora rakyat mahu mencari rezeki terutamanya kelompok miskin bekerja benar-benar dirasai dan difahami oleh kerajaan yang prihatin ini. Walaupun kerajaan menjuarai perjuangan membela rakyat ketika PKP melalui pelbagai instrumen bantuan seperti BPN, BSH, elaun khas dan sebagainya namun ia masih belum mencakupi keseluruhan spektrum keperluan dan kebajikan rakyat ekoran keterhadan sumber dan simpanan kerajaan. Justeru, kelonggaran belenggu melalui PKP Bersyarat ini mencipta ruang buat rakyat untuk bermobilisasi dan kendiri menambah kantung rezeki masing masing.

Namun, di hari pertama PKP Bersyarat ini, kita dikejutkan dengan fenomena segelintir rakyat setia berbaris di pajak gadai. Kita sedia maklum yang di pajak nanti adalah barang kemas untuk mendapat wang. Pada hemat saya, sebahagian besar yang berbaris itu adalah golongan miskin bekerja di mana mereka memiliki sedikit aset terutama emas yang boleh dicairkan secara pajak dan ditebus semula apabila memperoleh pendapatan nanti. Itu yang kita nampak di depan mata. Bagaimana pula dengan mereka yang meminjam dari along, ceti atau rakan-rakan?

Yang menyedihkan fenomena ini masih lagi wujud di era 2020 ini setelah negara melalui pelbagai proses penambahbaikan sosio ekonomi bermula dari Dasar Ekonomi Baru sehinggalah ke Wawasan Kemakmuran Bersama pada hari ini. Tampaknya, kita tiada pilihan lain tetapi to reset, rethinking and redo again our socioeconomic dengan social safety net yang lebih komprehensif, kondusif dan inklusif. Ini termasuk kemungkinan merekayasa sektor dan industri untuk membina peluang kerja atau perniagaan yang menjana pendapatan perkapita lebih tinggi khususnya buat kelompok miskin bekerja.


Penulis Pengerusi Kelab Usahawan dan Professional Malaysia (MYPEC)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2020 @ 6:00 AM