X
APA yang menjadi kebiasaan sebelum ini, tidak lagi boleh diamalkan bagi membendung penularan Covid-19 . FOTO AFP
APA yang menjadi kebiasaan sebelum ini, tidak lagi boleh diamalkan bagi membendung penularan Covid-19 . FOTO AFP
Syah Rul Aswari Abdullah

KETIKA kebanyakan negara mula melonggarkan sekatan pergerakan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 13 Mei lalu memberi amaran bahawa Covid-19 mungkin tidak akan hilang.

Sebaliknya, organisasi itu menyatakan virus itu akan menjadi seperti HIV.

Setakat Rabu lalu, pandemik ini sudah menjangkiti lebih 4.95 juta penduduk dunia dan mengorbankan lebih 324,000 nyawa.

Daripada angka itu, Amerika Syarikat (AS) merekodkan kes tertinggi iaitu sudah melebihi 1.5 juta. Ia diikuti Russia (lebih 299,000 kes), Sepanyol (lebih 278,000 kes), Brazil (lebih 271,000) dan United Kingdom (lebih 248,000 kes).

Ia turut menyaksikan negara kuasa besar dunia termasuk China dan AS berlumba-lumba dalam usaha membangunkan vaksin.

Terkini, China dikatakan beralih kepada usaha untuk menghasilkan ubatan bagi penyakit ini.

Justeru, semua pihak perlu menerima hakikat pandemik ini tidak akan lenyap dalam masa terdekat dan belajar untuk mengubah gaya hidup kepada normal baharu.

Sambutan Aidilfitri di negara kita tahun ini tidak lagi sama seperti tahun sebelumnya apabila tiada kebenaran untuk rentas negeri bagi menyambut hari raya.

Di Arab Saudi, kerajaannya mengumumkan perintah berkurung 24 jam sepanjang cuti lima hari sempena perayaan Aidilfitri bermula 23 Mei.

Indonesia pula meminda cuti umum perayaan Aidilfitri ke satu tarikh pada Disember.

Kebiasaan baharu pasca Covid-19 juga akan dilihat pada amalan penjarakan sosial di tempat awam. Ia bagi memastikan individu sentiasa mengekalkan jarak satu meter antara satu sama lain.

Selain itu, orang ramai diingatkan supaya sentiasa membasuh tangan dan memakai pelitup muka terutama jika berasa kurang sihat.

Normal baharu turut menyaksikan perubahan interaksi sosial yang mana bersalaman, budaya berpeluk, mencium pipi dalam sesetengah budaya barat tidak akan diamalkan.

Individu juga akan lebih bergantung kepada akses Internet berkelajuan tinggi bagi melaksanakan urusan harian, bekerja dan belajar.

Ia memandangkan lebih banyak syarikat dijangka menggalakkan pekerjanya bekerja dari rumah.

Perubahan sama juga akan dilihat pada sektor pendidikan yang mana pembelajaran secara maya akan menjadi sesuatu yang bukan asing dalam masyarakat.

Dalam masa sama, kebanyakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan beralih kepada perkhidmatan dalam talian yang dilihat amat penting dalam tempoh pandemik ini.

Di Eropah, sesetengah pihak kini mencadangkan pengenalan gaji asas dan tidak bersyarat. Ia memandangkan ramai penduduknya tiada sumber pendapatan akibat tidak dapat bekerja dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Seperti ditegaskan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini, rakyat perlu bersedia mendepani normal baharu ini.

Katanya, apa yang menjadi kebiasaan sebelum ini, tidak lagi boleh diamalkan bagi membendung penularan Covid-19.

"Kehidupan kita untuk bulan-bulan atau tahun yang mendatang ini tidak akan kembali seperti biasa.

"Kita akan menjalani kehidupan dengan the new norm atau kebiasaan baharu. Apa yang biasa kita buat dahulu, tak boleh kita buat lagi," katanya.

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 9:00 AM