PENUNJUK perasaan berhimpun menuntut pembelaan kematian Floyd. FOTO AFP
PENUNJUK perasaan berhimpun menuntut pembelaan kematian Floyd. FOTO AFP
Syah Rul Aswari Abdullah


Sebelum 25 Mei, dunia tidak mengenali lelaki bernama George Floyd. Tiada siapa juga menyangka kematiannya bakal memberi impak yang besar kepada sejarah Amerika Syarikat (AS). Negara itu mengalami pergolakan kaum dan rusuhan lebih dahsyat selepas rusuhan pembunuhan Martin Luther King pada 1968.

Semuanya bermula pada tarikh itu apabila Floyd, 46, dikatakan pergi ke sebuah kedai dan dipercayai cuba membeli rokok dengan menggunakan wang palsu AS$20. Pekerja kedai melaporkan insiden itu kepada polis, sebelum sebuah kereta peronda tiba di lokasi.

Beberapa rakaman video yang diperoleh oleh The New York Times yang digabungkan menunjukkan secara jelas insiden berkenaan. Kereta peronda pertama tiba di tempat kejadian kira-kira 17 minit kemudian, sebelum seorang polis mengarahkan Floyd keluar dari kereta itu.

Seorang daripada pegawai polis kulit putih yang kini dikenal pasti sebagai Derek Chauvin, 44, dilihat menekan leher Floyd menggunakan lututnya selama hampir sembilan minit. Dia dilihat tetap berbuat demikian meskipun Flyod berulang kali menyatakan I can't breathe (Saya tidak boleh bernafas). Apa yang mengejutkan pegawai polis itu tetap menekan leher lelaki itu biarpun lelaki itu jelas sudah tidak bernyawa.

Rakaman video lain menunjukkan orang awam yang melihat kejadian berulang kali meminta polis untuk memeriksa nadi Floyd, tetapi ia sama sekali tidak diendahkan oleh Chauvin. Ketika kejadian, Chauvin dibantu tiga lagi rakan setugasnya iaitu Tou Thao, 34, J Alexander Kueng, 26, dan Thomas Lane, 37.

Chauvin juga dilihat tidak mengalihkan lututnya di leher mangsa sehingga anggota paramedik tiba di tempat kejadian. Ketika itu, video jelas menunjukkan Floyd sudah terkulai dan tidak sedarkan diri. Dia kemudian disahkan meninggal dunia akibat kejadian itu.

Susulan rakaman kejadian yang tular di media sosial, ribuan penunjuk perasaan mengabaikan perintah berkurung di puluhan bandar utama di AS apabila keluar menyertai demonstrasi bagi membantah apa yang disifatkan sebagai insiden keganasan polis dan perkauman.

Jalan raya yang dulunya lengang susulan kawalan pergerakan dibanjiri penunjuk perasaan. Demonstrasi tercetus di sekurang-kurangnya 75 bandar di negara itu, sehingga memaksa Pengawal Kebangsaan dihantar ke lokasi bagi mengawal keadaan.

Akibat marah dan terkesan dengan video insiden berkenaan, rakyat negara itu seakan-akan tidak gentar terhadap ancaman penularan Covid-19. Presiden Donald Trump pula dikatakan mengakui ada 'memeriksa' kubu bawah tanah di White House, selepas rusuhan turut tercetus di Washington.

Rayuan Floyd I can't breathe kini menjadi tagline kepada demonstrasi berkenaan. Ia sebenarnya perkataan sama yang pernah diucapkan oleh seorang lelaki Afrika-Amerika, Eric Garner, sebanyak 11 kali ketika lehernya dipegang oleh polis. Ketika kejadian, Polis New York City memegang lehernya sebelum dia mati.

Kes berprofil tinggi lain termasuk insiden lelaki Philando Castile ditembak tujuh kali dari jarak dekat ketika memberhentikan kenderaannya, juga berlaku di Minnesota. Ketika kejadian, lelaki itu baru sahaja memberitahu pegawai polis, Jeronimo Yanez, bahawa dia membawa senjata api.

Bagaimanapun, Yanez dilepaskan daripada semua tuduhan berhubung kematian mangsa. Insiden itu juga tular
di media sosial selepas teman wanita Castile menyiarkan sebahagian insiden itu secara langsung di Facebook.

Satu lagi insiden yang membangkitkan kemarahan orang awam adalah apabila polis menembak mati seorang lelaki, Alton Sterling di luar sebuah kedai di Louisiana.

Minggu lalu, empat anggota polis yang terbabit dalam insiden kematian Floyd sudah didakwa di mahkamah. Suspek utama, Chauvin, didakwa atas tuduhan membunuh darjah ketiga. Tiga rakan setugasnya pula didakwa bersubahat dengan Chauvin.

Bagi majoriti rakyat Amerika, soal sama ada Floyd cuba membeli rokok dengan duit palsu sudah tidak penting. Apa yang pasti nama lelaki itu akan tercatat sebagai satu lagi rentetan siri keganasan polis di AS.

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2020 @ 7:00 AM