GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
BERNAMA

SEBAHAGIAN besar rakyat Malaysia memang gemar menghabiskan cuti dengan mengembara dan meneroka negara luar.

Setiap tahun pasti ada negara baharu yang dijelajah untuk mendapatkan pengalaman baharu sambil menikmati pemandangan indah, berehat dan meninjau budaya kehidupan masyarakat tempatan.

Antara destinasi percutian luar negara yang menjadi tumpuan rakyat Malaysia ialah Turki, Australia, Maldives, Bali, New Zealand, Eropah dan Korea Selatan.

Minat rakyat Malaysia yang sangat tinggi untuk melancong ke luar negara luar mendorong kemunculan banyak agensi pelancongan di negara ini.

Dengan khidmat agensi pelancongan, pelanggan hanya perlu membawa bagasi ke lapangan terbang pada hari berlepas. Semua urusan daripada tempahan tiket penerbangan, insurans perjalanan, tempahan hotel, makan minum, aktiviti di luar negara, perjalanan darat bersama khidmat jurubahasa dan lokasi untuk membeli-belah siap diatur agensi pelancongan.

Bagaimanapun, pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak penghujung 2019 mengubah senario itu.

Sejak awal 2020, ramai yang terpaksa membatalkan perancangan untuk bercuti susulan ancaman wabak itu yang kini sudah menjangkiti lebih 10 juta orang dengan setengah juta kematian di seluruh dunia setakat hari ini.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa dalam pelbagai peringkat mulai 18 Mac sehingga 31 Ogos menghalang rakyat Malaysia ke luar negara dan warga asing masuk ke negara ini kecuali diplomat dan duta asing. Ia sekali gus menyekat aktiviti pelancongan antarabangsa.

Pengarah MyZarra Travel and Services Sdn Bhd Zawati Talib ketika dihubungi berkata, beliau membatalkan 10 perjalanan sejak Mac susulan Covid-19.

"Perjalanan yang dibatalkan ialah ke Eropah, Vietnam, Scandinavia, Thailand dan Rusia yang dijadualkan mulai Mac hingga Julai 2020.

"Bagi perjalanan sekitar Mac pelanggan tidak mendapat bayaran balik kerana tiket penerbangan dan kos perjalanan darat di negara terlibat sudah dibayar," katanya.

Menurut Zawati, bagi perjalanan selepas Ogos, pelanggan baru membayar deposit kos perjalanan. Bergantung kepada terma dan syarat syarikat penerbangan, pelanggan boleh memilih untuk menunda perjalanan sehingga 2021.

"Jadi bagi pelanggan ini (perjalanan selepas Ogos) kita akan menyimpan deposit mereka untuk percutian akan datang. Duit mereka tidak hangus dan pelanggan boleh memilih tarikh baharu," katanya.

Beliau berkata, jika Oktober hingga Disember masih ada halangan untuk sebarang perjalanan ke luar negara maka perjalanan lebih 20 kumpulan terpaksa dibatalkan.

"Kita kerap membawa pelancong Malaysia dalam kumpulan kecil
ke luar negara. Antara pakej kita yang popular ke Maghribi, Eropah Timur dan negara Balkan."

Pernah menyertai pakej pelancongan Bangkok & Beyond MyZarra yang membabitkan lawatan ke ladang bunga matahari di Khao Yai 400 kilometer ke utara Bangkok, menaiki kereta api yang melalui landasan kereta api maut Thailand-Burma di Kanchanaburi dan membeli-belah di Pasar Terapung Damnoen Saduak.

Ditanya sama ada agensi itu, ada membuat pakej percutian domestik memandangkan aktiviti pelancongan dalam negeri dibenarkan sepanjang PKPP, Zawati berkata, pakej itu sudah mula dipromosi.

Pakej pelancongan domestik kita dalam bentuk pelancongan kumpulan kecil ke Langkawi dan Kundasang di Sabah untuk empat hari tiga malam.

Selain itu, terdapat pakej ke Cameron Highlands dan Melaka yang membabitkan lawatan ke tempat menarik sambil mencuba makanan popular.

Menurutnya, syarikat akan menambah destinasi pada masa akan datang bagi merancakkan lagi sektor pelancongan domestik.

Sejak awal Jun, syarikat mula menjual ceri segar yang diterbangkan dari Istanbul, Turki ke Kuala Lumpur dua kali seminggu.

Buah ceri yang dipasarkan syarikat tiba ke tangan pelanggan kira-kira 48 jam selepas dipetik dari ladang ceri di Cappadocia, Pamukkale dan Safranbolu
di Turki. Sebelum ini pakej lawatan ke Turki syarikat membabitkan lawatan ke ladang ceri.

Menurut Zawati, beliau memutuskan beralih kepada jualan ceri kerana normal baharu untuk menjadi kreatif dan tidak hanya menunggu untuk perniagaan pelancongan dapat beroperasi semula sepenuhnya.

Beliau menambah, sebahagian besar daripada pelanggan buah ceri ialah mereka yang pernah mengikuti pakej percutian kita ke pelbagai destinasi di seluruh dunia sebelum ini. Buah ceri berkenaan dipasarkan melalui akaun laman sosial Facebook, Turkey Sweet Cherries.

Selain ceri, syarikatnya juga menjual buah aprikot madu dan akan mula memasarkan buah pic, plum dan nectarine dari luar negara mulai bulan depan.

Ceri bulat merah menyala yang masih bertangkai, segar, manis dan rangup mendapat sambutan hangat biarpun belum sebulan dipasarkan.

Sebahagian besar daripada pembeli ceri membuat pesanan selepas mencuba ceri yang dibeli rakan sepejabat, teman, jiran dan anggota keluarga.

Terdapat pembeli yang berminat membeli ceri merah selepas membaca pengalaman pembeli ceri yang memuji rasanya di media sosial. Mereka yang pertama kali membeli ceri biasanya membuat pembelian yang seterusnya.

Tidak sampai sebulan menjual ceri, sudah mempunyai ejen di dalam dan luar Lembah Klang ekoran permintaan yang tinggi. Pelanggan ceri boleh memilih untuk mengambil sendiri pembelian masing-masing di pejabat syarikat atau membayar khidmat penghantaran bergantung kepada lokasi.

Biasanya syarikat akan mengumumkan tarikh penghantaran ceri yang seterusnya dan pelanggan boleh membuat tempahan dan pembayaran secara dalam talian.

Kata Zawati, sejak awal Jun hampir 500 kilogram buah ceri sudah diterbangkan dari Turki setiap minggu.

Kebimbangan mengenai Covid-19 berkemungkinan menyebabkan orang ramai mengambil masa sebelum betul-betul yakin dan berani untuk bercuti atau mengembara ke luar negara semula selepas sempadan negara dibuka nanti.

Mungkin negara yang dikategorikan sebagai hijau bagi kes Covid-19 akan menjadi pilihan rakyat Malaysia bercuti selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 12:16 PM