SECARA logiknya, tiada formula tepat yang terbukti menjadi apabila menyentuh mengenai kekuatan karya untuk layak dan menang di Oscars. FOTO AFP
SECARA logiknya, tiada formula tepat yang terbukti menjadi apabila menyentuh mengenai kekuatan karya untuk layak dan menang di Oscars. FOTO AFP
Georgie Joseph

BARU-BARU ini topik berhubung impian Malaysia ke Academy Awards atau lebih popular dipanggil Oscars panas diperdebatkan dalam industri hiburan tempatan.

Ternyata topik itu berjaya menjentik beberapa penggiat seni untuk bersuara dan mempersoalkan kemampuan karya tempatan untuk bertanding acara pengiktirafan seni filem terbesar dunia itu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah turut menggariskan empat pelan tindakan untuk direalisasikan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang juga agensi di bawah kementerian itu.

Satu daripadanya adalah untuk membawa industri perfileman tanah air sehingga ke Oscars.

Berikutan itu, beberapa penggiat seni tempatan termasuk pelakon Tony Eusoff tampil mempersoalkan perkara itu.

Menerusi ciapannya di Twitter, dia berniat membuka mata seluruh penggiat industri seni untuk melihat pelbagai isu dalaman yang perlu diperbaiki sebelum bercita-cita untuk pergi lebih jauh.

Dia turut menyarankan semua pihak harus bersama-sama menjalankan tanggungjawab dan sistem serta regulasi perlu diperkasakan lagi.

Dia mencadangkan orang atasan Finas turun padang, lihat keadaan penggambaran, periksa bahagian kostum serta kebajikan keseluruhan produksi yang lain.

Secara logiknya, tiada formula tepat yang terbukti menjadi apabila menyentuh mengenai kekuatan karya untuk layak dan menang di Oscars.

Malah, di Hollywood sendiri, setiap pengkarya masing-masing bekerja keras meningkatkan mutu hasil seni mereka terutama naskhah berpotensi untuk dipertandingkan.

Untuk menyambar satu kategori dalam acara pengktirafan terbabit, ramai terpaksa menunggu lama peluang keemasan itu.

Inikan pula karya dari Malaysia, pencalonan awal pun belum tentu mampu layak berikutan karya dari seluruh dunia dihantar mencuba nasib.

Bukan menidakkan kemampuan kita, tetapi inilah realitinya sekarang.

Tidak dinafikan, kejayaan filem Parasite menjadi karya sulung dari Asia dinobatkan Filem Terbaik di Oscars 2020 membuka mata ramai bahawa tiada yang mustahil.

Namun, rekod yang dicipta filem arahan Bong Joon-ho itu memang bukan calang-calang.

Bahkan, nama Bong Joon-ho sendiri pun sudah cukup disegani dalam arena filem dunia.

Karya dari Korea Selatan itu sememangnya cukup fenomena dan jalan ceritanya kuat.

Memfokuskan kepada kisah masyarakat dan realiti jurang sosial antara orang miskin dan kaya, nampak memang ringkas saja.

Bagaimanapun, isu perbezaan sosial inilah yang memberi kesan dalam hati penonton di samping pemerkasaan elemen realistiknya.

Bukan berniat memperkecilkan karya tempatan kita, namun perincian yang dibuat daripada segi teknikal dalam Parasite saja sudah meninggalkan jauh produksi kita.

Demikian juga penggunaan peralatan kamera canggih mereka terserlah dalam keseluruhan sinematografi.

Begitu juga permainan sudut setiap syot, tahapnya cukup tinggi.

Di Asia, kualiti produksi di Korea Selatan sememangnya perlu menjadi penanda aras kepada pembikin filem terutama produksi tempatan.

Bukan setakat filem, produksi drama bersiri mereka pun taraf kualitinya terlalu tinggi untuk dicapai.

Apapun, tidak mustahil jika adanya bantuan kepakaran yang hebat, kita juga mampu menandingi kualiti seni mereka.

Seterusnya, pemilihan jalan cerita serta keberanian untuk memaparkan isu jurang atau konflik sosial masyarakat kita.

Barangkali dari aspek ini kita terpaksa berdepan kekangan tersendiri.

Bukan semua isu sosial di Malaysia mampu diterima penonton tempatan untuk diangkat ke layar perak berikutan pelbagai aspek terutama sensitiviti perlu dijaga.

Andai karya kita berjaya ke Oscars suatu hari nanti, ia tentunya akan termasuk dalam kategori Filem Antarabangsa atau Bahasa Asing Terbaik.

Dalam kategori ini pun, ia sudah beberapa kali dimenangi filem dari Asia termasuk A Separation dari Iran. Ini satu lagi filem contoh yang perlu kita jadikan panduan.

Filem arahan Ashgar Farhadi itu pun cuma menyentuh mengenai isu sosial yang berlaku dalam masyarakat mereka.

Fokus ceritanya berkenaan pasangan suami isteri yang berbeza pendapat untuk berhijrah dan terpaksa berpisah.

Ia bukannya cerita yang memerlukan aspek teknikal megah seperti mana dilakukan produksi Hollywood.

Jika diteliti, penetapan watak dalam filem itu saja pun sudah menguatkan naskhah terbabit.

Kisahnya yang begitu dekat dengan hati masyarakat benar-benar membuatkan jalan ceritanya mampu diiktiraf.

Mungkin formula sebegini yang patut dikaji serta diperhalusi lagi oleh pengkarya tempatan tanpa perlu terlalu memikir di luar kotak mahukan produksi gah?

Kemudian, jangan dilupakan pembikin filem kebanggaan kita yang turut melakar kejayaan di Hollywood iaitu James Wan.

Walaupun belum pernah memenangi sebarang trofi Oscars, barangkali Malaysia boleh menumpang namanya jika impian itu tercapai suatu hari nanti.

Anak jati Sarawak itu pun tidak henti meningkatkan usaha tampil dengan karya bertaraf tinggi.

Lalu membawa kepada persoalan lain pula iaitu jika James sendiri masih menapak untuk merealisasikan impian itu, apatah lagi pembikin filem di sini?

Sejauh mana lagi kita perlu majukan diri dalam merevolusikan industri filem tanpa sekadar omong kosong semata-mata? Tepuk dada, tanyalah selera.

Setakat ini, bidang animasi tempatan sajalah berjaya melangkah sebelah kaki demi misi ke Oscars itu.

Filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal terbitan Les' Copaque Production mencipta sejarah tersendiri apabila disenaraikan bersama 32 filem animasi antarabangsa lain bagi pencalonan Oscars 2020 untuk kategori Filem Animasi Rencana Terbaik.

Itupun filem terbabit gagal melangkah ke pencalonan akhir.

Apapun, sekurang-kurangnya adalah sesuatu yang kita sebagai rakyat Malaysia perbualkan juga jika menyentuh mengenai Oscars.

Dalam arena animasi dunia pun, filem itu sudah berjaya meninggalkan impak luar biasanya tersendiri.

Penulis Wartawan Hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 7:45 AM