GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Zaini Othman

LUPA atau buat-buat lupa? Bukankah perokok hanya boleh merokok dalam jarak tiga meter atau 10 kaki dari kedai makan? Itulah persoalan dan rungutan orang ramai apabila terdapat segelintir individu yang dilihat merokok di premis makanan selepas kedai makan dibenarkan beroperasi serta pelanggan dibenarkan makan dalam premis berkenaan dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini. Golongan perokok boleh dianggap seolah-olah mengambil kesempatan di atas fokus Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini yang banyak diberikan dalam mendepani pandemik Covid-19, tetapi itu tidak bermakna larangan merokok sudah tidak lagi dilaksanakan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali sendiri menegaskan baru-baru ini larangan ini masih berkuat kuasa, tetapi penguatkuasaan berkurangan kerana KKM kini sedang memberi tumpuan dan berusaha keras dalam menangani penularan Covid-19. Menurut Timbalan Menteri Kesihatan itu lagi, kerajaan juga mempunyai perancangan menambah baik kempen larangan merokok bagi menjamin kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia serta mewujudkan rang undang-undang kawalan tembakau yang kini di peringkat penelitian oleh Pejabat Peguam Negara.

Jawapan ini pastinya memberi kelegaan kepada orang ramai bahawa tindakan KKM mewartakan tempat makan di seluruh negara sebagai kawasan larangan merokok berkuat kuasa 1 Januari 2019 melalui penguatkuasaan pendidikan selama 12 bulan dengan diikuti penguatkuasaan penuh mulai 1 Januari 2020 lalu bukan hangat-hangat tahi ayam. Buat perokok dan pemilik premis makanan, kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan ini sewajarnya diambil sebagai peringatan kembali bahawa larangan merokok ini 'masih jalan' bukannya di atas kertas semata-mata.

Sebenarnya semua ini boleh dielakkan jika individu berkenaan meninggalkan terus tabiat merokok kerana dari segi saintifik sudah lama dibuktikan merokok membahayakan kesihatan! Setiap tahun pada 31 Mei seluruh dunia meraikan sambutan Hari Tanpa Tembakau dengan tema sambutan sempena Hari Tanpa Tembakau di Malaysia pada tahun ini adalah Generasi Muda Mesti Dilindungi. Mengapa generasi muda perlu dilindungi daripada rokok? Tafsiran penulis kerana kebanyakan perokok mula berjinak-jinak dengan rokok ketika usia remaja dan tidak kurang juga ketika masih kanak-kanak. Dua punca utama remaja terjebak dengan rokok adalah kesan pengaruh rakan sebaya dan keinginan diri sendiri untuk mencuba akibat terbiasa dengan suasana sekeliling yang penuh dengan mereka yang merokok.

Jumlah perokok di Malaysia kini sekitar 24 peratus atau lima juta orang dengan 47 peratus daripadanya adalah lelaki. Ini jumlah yang sangat besar dan membawa masalah kesihatan yang memerlukan kos besar, malah merokok juga menyumbang kepada lebih 10,000 kematian setahun di negara kita dengan 30 peratus daripadanya disebabkan oleh kanser seperti paru-paru, mulut, esophagus dan tekak. Lebih menyedihkan saban tahun juga, kira-kira 10,000 perokok dimasukkan ke hospital kerajaan di seluruh negara akibat sakit jantung, kanser dan penyakit sekatan pulmonary kronik dan ia memberi kesan besar kepada negara apabila kerugian kira-kira RM20 bilion setahun bagi menanggung kos rawatan dan kehilangan produktiviti.

Masalah merokok ini bersifat global kerana tembakau adalah bahan utama di dalam sebatang rokok membunuh lebih daripada lapan juta orang di seluruh dunia setiap tahun. Daripada jumlah ini, lebih tujuh juta kematian adalah disebabkan oleh penggunaan tembakau secara langsung dan sekitar 1.2 juta adalah disebabkan bukan perokok yang terdedah kepada asap rokok terpakai (second hand smoke).

Ia terjadi melalui asap rokok basi yang dihasilkan perokok tetap berlegar di ruangan apabila ia dihasilkan walaupun untuk tempoh yang lama dan masih bertoksik kerana mengandungi logam berat, karsinogen atau bahan penyebab kanser serta bahan radioaktif.

Dalam situasi semasa dunia dan negara dilanda Covid-19, perokok mempunyai risiko yang tinggi untuk dijangkiti bakteria dan virus berbahaya seperti Covid-19 kerana aktiviti merokok bukan saja mendedahkan mereka kepada pelbagai penyakit, tetapi ia juga boleh melemahkan sistem imuniti manusia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui kenyataan yang dikeluarkan pada 27 Mei 2020 dan disokong dengan beberapa kajian yang dijalankan di luar negara mendapati golongan perokok adalah berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi yang lebih teruk jika dijangkiti virus Covid-19 kerana sifatnya yang akan menyerang terutama paru-paru dulu. Merokok merosakkan fungsi paru-paru, menjadikan badan kita lebih sukar untuk melawan Covid-19 dan penyakit lain.

Di dalam Islam, Allah SWT melalui firman-Nya di dalam al-Quran jelas melarang hamba-Nya mencampakkan diri ke dalam bahaya kebinasaan dan membazirkan harta dan boros untuk sesuatu yang sia-sia. Pilihan untuk setiap perokok memulakan nafas baharu sentiasa ada dan tidak pernah ada istilah sudah terlewat. Ambil tanggungjawab untuk bertindak segera demi menjaga kesihatan diri sendiri serta melindungi orang yang dikasihi.


Penulis adalah Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik Usim serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (Pragmatis) Usim. Penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 6:00 AM