X
Sudirman Mohd Tahir


KENAPA artis kita susah nak kaya dengan hasil titik peluh sebagai anak seni?

Itu persoalan yang bermain dalam fikiran setiap kali melihat kehidupan anak seni baik penyanyi, pelakon, pelawak, pengacara dan sebagainya yang hidup serba kekurangan.

Itu belum lagi isu penggiat seni yang terpaksa tebalkan muka meminta bantuan bagi menampung kelangsungan hidup seharian.

Bunyinya agak menyedihkan, tapi ia hakikat yang tidak boleh dinafikan. Faktanya, sudah banyak yang berlaku depan mata dan disiarkan.

Sekali gus 'menelanjangkan' warna di sebalik rutin kehidupan yang dianggap glamor dan indah dipandang mata.

Ada juga suara sumbang cuba menafikan industri hiburan tempatan tidak segah industri hiburan luar negara yang jauh lebih menguntungkan.

Tolak tepi Hollywood, Bollywood atau Korea Selatan, contoh terdekat adalah Indonesia. Sehinggakan sesiapa saja yang menjadi pemain industri di negara itu mampu hidup senang lenang.

Apa cuba disampaikan adalah jelas industri kita tidak mampu menjamin keselesaan dan kesenangan kepada pemainnya. Ia hanya sekadar nama semata-mata.

Memang ada yang boleh 'buat duit' dan berjaya dengan hanya berbekalkan karier seni, tapi berapa ramai saja? Adakah peratusan itu jauh lebih tinggi dengan angka penggiat seni yang ada masa kini?

Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan kenyataan ini dengan menyifatkan artis terbabit dibayar mahal dan boleh membuat simpanan dalam jumlah yang banyak.

Apabila bercakap soal bayaran, perkara ini sudah menjadi isu utama dan 'penyakit' kepada anak seni. Maka, disebabkan itu ramai yang tidak mampu survive dan akhirnya memilih menjadi orang biasa.

Seperkara lagi, sedar atau tidak mereka yang hidup mewah dengan hasil kerja seni di negara ini adalah individu yang 'memperdagangkan' industri.

Jika dia pandai 'kipas' stesen televisyen, mengampu penerbit dan sanggup 'berbelanja' demi kepentingan peribadi, hiduplah dia. Panjanglah hayatnya dalam bidang ini.

Berbalik kepada persoalan pokok, kenapa artis kita susah nak kaya dengan hasil seni mereka, itulah antara sebabnya.

Tidak ramai sebenarnya yang menghargai makna kerjaya itu. Puncanya, wujud 'tangan-tangan' jahanam yang sanggup makan seorang dengan membiarkan orang yang sepatutnya menikmati hidangan.

Apabila perkara ini masih wujud dan mungkin akan kekal berterusan, sampai bila-bila pun artis kita hanya 'hidup' pada nama saja.

Jika ada pun, mereka ini sudah terbabit dalam bidang perniagaan yang dianggap lebih menguntungkan dan menjanjikan kemewahan. Kerjaya seni mereka sekadar sampingan dan diibaratkan melepaskan rasa kebosanan.

Atau mungkin juga mereka memilih untuk berkahwin dengan golongan kenamaan. Tidak perlu bersusah payah berada 24 jam dan tujuh hari seminggu di lokasi atau menyanyi yang hanya mendapat bayaran ratusan ringgit.

Namun, berapa ramai yang akan setia dan sanggup mati atas nama perjuangan seni mereka? Orang seperti ini yang sepatutnya kaya-raya dengan hasil kerja seni mereka. Tapi, malangnya tidak ramai di antara mereka.

Apa pun, selagi wujud individu yang hanya 'menjual' seni tanpa menghargai pemain industri, sampai bila-bila pun kehidupan akan terus berada di takuk sama.

Bagi anak seni sejati, mereka akan terus memartabatkan kerjaya mereka, sebaliknya mereka hanya menjadikan kerjaya ini persinggahan sementara untuk menakluk 'pentas' berbeza.


Penulis, Wartawan Hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2020 @ 6:00 AM