Datuk Rosol Wahid

TIDAK pernah saya berangan, tidak juga bermimpi untuk menjadi seorang Timbalan Menteri.

Yang saya tahu hanya untuk berbakti pada nusa dan bangsa terutama kepada rakyat Hulu Terengganu yang memilih saya.

Orang mungkin kata itu rezeki, tetapi bagi saya ia satu amanah dan tanggungjawab cukup besar. Bukan sahaja kepada rakyat dan kerajaan, tetapi lebih utama kepada Allah SWT yang akan mengadili saya kelak.

Terima kasih dan penghargaan tidak terhingga kepada bos saya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberi kepercayaan saya mengganggotai barisan Kabinetnya dan seterusnya menggalas tanggungjawab yang sungguh mencabar ini.

Perjuangan dalam arena politik peringkat Parlimen dan negeri selama lebih 20 tahun kini membawa saya ke peringkat Persekutuan. Gugup ada, gementar pun ada. Saya berdoa semoga Allah sentiasa membantu di samping menggunakan pengalaman sebagai Adun Ajil selama tiga penggal, exco negeri dan pendidik.

Alhamdulillah, hari ini 10 Julai 2020, genap usia saya 56 tahun. Tidak dapat diungkap betapa bersyukurnya diri ini dikurniakan rahmat yang begitu luas oleh Allah SWT dari segi kesihatan, keluarga dan kerjaya.

Saya memulakan tugas Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selepas mengangkat sumpah pada 10 Mac 2020 lalu dengan tenang dan merangka beberapa pendekatan serta strategi ketika itu. Walaupun Covid19 bermula, tidak pernah terlintas ia akan 'menghantui' dan memberi kesan teramat hebat terhadap tugas ini.

Orang baru di peringkat Persekutuan, jawatan baru, kerajaan juga baru. Cabaran Covid-19 juga baru bukan sahaja kepada negara, tetapi seluruh dunia. Apabila kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), barulah saya tahu cabaran dan bahaya yang dihadapi.

Soal kesihatan rakyat, ekonomi yang terjejas teruk sehingga ramai kehilangan pekerjaan, urusniaga perniagaan terpaksa ditutup, jentera kerajaan terkesan dan aktiviti sosial terpaksa dihentikan.

Rakyat terutama yang tidak pernah menempuh pengalaman darurat tersentak. Ia mewujudkan situasi panik lantaran salah anggapan PKP adalah perintah berkurung, ditambah pula berita palsu yang berlegar di media sosial.

Pada 18 Mac lalu mencatat sejarah bagi negara kerana buat pertama kalinya rakyat dihadkan pergerakan bagi memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19. Terdapat laporan pembelian panik di mana rakyat membeli barang keperluan dalam kadar berlebihan kerana takut terputus bekalan.

Pastinya itu memerlukan tindakan pantas! Saya dan pegawai penguatkuasa kementerian terus turun padang membuat tinjauan di pasaraya besar di Cheras untuk melihat sendiri suasana pembelian panik pada hari ketiga PKP. Kekurangan bekalan serta pelbagai isu kepenggunaan berlaku pada peringkat permulaan namun Alhamdulillah ia dapat ditangani secara tersusun oleh semua pihak termasuk agensi kerajaan dan seluruh rantaian bekalan.

PKP meninggalkan kesan yang tidak pernah terfikir oleh kita. Tetapi darinya juga saya cepat belajar berkenaan fungsi dan gerak kerja kementerian. Darinya juga saya menyaksikan sendiri betapa pegawai kerajaan mempunyai ilmu, kemahiran dan dedikasi tinggi dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

Baru saya sedar betapa pegawai penguat kuasa KPDNHEP yang selama ini merupakan wira tidak didendang sepatutnya dinobatkan sebagai barisan hadapan juga. Alhamdulillah kerajaan bersetuju dengan cadangan kementerian dan pengorbanan mereka kini diiktiraf kerajaan dan rakyat. Merekalah yang memastikan bekalan dan harga barang keperluan stabil sepanjang PKP, PKPB, PKPD dan PKPP.

Masalah pengguna yang perlu diberi perhatian bukan saja di Semenanjung, malah Sabah dan Sarawak. Saya bersama pegawai KPDNHEP saban minggu turun padang ke serata pelosok tanah air untuk melihat dan mendengar sendiri denyut nadi masyarakat pengguna dan peniaga. Dari pusat pengedaran, pasar awam, pasar borong dan pasaraya, kilang pembungkusan minyak, LPG, roti dan pencuci sanitasi tangan hingga ke jeti pendaratan ikan. Semuanya harus dijejaki demi memastikan bekalan keperluan sentiasa mencukupi dan harga terkawal.

Isu kenaikan harga ayam yang mendadak ketika menjelang musim perayaan dan sektor ekonomi dibuka semula semasa PKPB memberi cabaran lain kepada saya dan kementerian. Saya berjanji tidak akan menggunakan pendekatan 'kalau ayam mahal, jangan makan ayam'.

Saya membuat libat urus dan melawat sendiri pemborong, pembekal ayam, pusat penyembelihan dan peruncit dan mengetahui punca kenaikan harga. Saya tahu saya perlu mengimbangi kepentingan pengguna dan peniaga.

Sasaran pertama pengguna. Anda mesti menjadi pengguna bestari. Saya terkesan apabila pengguna sanggup ke pasar basah dan membeli ayam dengan harga mahal melebihi RM9 sekilogram sedangkan pasaraya yang tidak sampai 700 meter dari pasar basah itu menjual pada harga RM6 sekilogram.

Dari situ saya lihat advokasi pengguna bestari harus diperhebatkan. Justeru, saya harus menjadi champion supaya orang ramai menggunakan aplikasi Price Catcher untuk membuat perbandingan harga dan dapat melakukan pembelian bijak untuk poket mereka.

Ketika saya memperkenalkan kembali aplikasi itu, ramai terkejut kerana kurang pendedahan mengenainya, malah ramai juga berterima kasih kerana mereka kini tidak lagi perlu pening kepala memikirkan premis dan lokasi untuk membeli barang keperluan pada harga berpatutan.

Dalam mendepani Covid-19, saya bersyukur kerana Hulu Terengganu kekal sebagai zon hijau. Pun begitu, kebajikan penduduk di kawasan tidak saya kesampingkan. Covid-19 memberi kesan ekonomi yang agak parah pada orang kebanyakan.

Bantuan disalurkan kepada sebahagian besar penduduk Hulu Terengganu yang memerlukan. Sesungguhnya, jika bukan kerana 72,000 pengundi di Hulu Terengganu tidak mungkin saya boleh sampai ke tahap ini. Saya percaya pemimpin yang baik juga adalah kerana rakyat yang selalu mendoakan pemimpinnya. Itu yang saya harapkan.

Banyak perkara perlu dibuat untuk kesejahteraan rakyat. Kemudahan mesin ATM dan Bank Islam antara keperluan mendesak di kawasan perlu saya segerakan. Bangunan guna sama untuk penduduk mendapatkan perkhidmatan one-stop centre, kemudahan pengangkutan awam sedang saya usahakan untuk memudahkan urusan rakyat kawasan saya.

Sebagai rakyat Malaysia, ahli politik dan wakil rakyat, saya gembira dengan kehidupan yang dilalui. Kerajaan di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin ikhlas dan bersungguh-sungguh membantu rakyat menerusi pelbagai pendekatan dan skim. Pandemik Covid-19 memberi hikmah tentang wujudnya perpaduan dan kesetiaan rakyat kepada negara. Rakyat lebih berminat mendengar pengumuman atau membicarakan kisah wabak penyakit ini berbanding soal politik picisan.

Ini terbukti apabila Malaysia diumumkan sebagai antara empat negara teratas yang berjaya mengawal pandemik ini. Kita kini melalui fasa pemulihan ekonomi PKPP. Usaha kerajaan menggerakkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) merupakan langkah terkedepan dalam memastikan rakyat pelbagai lapisan dapat bangkit semula mengharungi kehidupan.

KPDNHEP sendiri memulakan pelbagai inisiatif untuk membantu peniaga dan sektor peruncitan kembali berkembang antaranya menerusi kempen besar-besaran, Kempen Beli Barangan Malaysia 2020 dan Kempen Jualan Malaysia 2020.

Empat bulan bukannya mudah. Banyak pahit getir dilalui. Apa yang rakyat rasa, itulah yang saya rasa. Berilah masa kepada saya, kementerian dan kerajaan untuk meneruskan rekod baik dalam tempoh empat bulan ini sehingga Malaysia benar-benar berjaya keluar dari pandemik ini.

#KitaJagaKita #KitaMestiMenang

Penulis ialah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Ahli Parlimen Hulu Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2020 @ 6:59 AM