X
Syarifah Dayana Syed Bakri

BARU-BARU ini saya berpeluang menonton siri program permainan terbitan stesen televisyen British berjudul Flinch.

Program ini memerlukan peserta berdepan 'seksaan' dan sekiranya mereka tersentak dengan kejutan yang ditampilkan, mereka akan 'dihukum.'

Ada beberapa bentuk seksaan dilihat sedikit ekstrem seperti menghayunkan gergaji atau mesin basuh tepat ke muka peserta, meletakkan makanan di muka peserta untuk mengumpan tikus dan menyalakan api marak di sebelah peserta.

Namun, ada juga seksaan yang dilihat tidak mencabar langsung khususnya bagi orang Asia.

Ini kerana terdapat episod yang memerlukan peserta berdepan beberapa makanan yang dikategorikan sebagai busuk dan menjijikkan.

Makanan ini akan dibawa menggunakan kereta api mainan dan berhenti tepat di hadapan muka peserta.

Makanan pertama yang dibawa adalah segumpal daging busuk dikerumuni ulat. Makanan kedua adalah surströmming manakala yang ketiga adalah durian!

Bagi orang Asia, apalah sangat bau durian itu jika dibandingkan dengan dua lagi hidangan yang ditampilkan namun kebanyakan peserta tidak tahan dengan bau raja buah itu.

Ada peserta yang mengatakan bahawa durian adalah benda paling busuk pernah dihidu seumur hidupnya.

Walaupun dilabel busuk dan menjijikkan bagi segelintir individu namun durian mempunyai peminat tersendiri termasuk warga China.

Pada bulan lalu, media melaporkan durian Malaysia kekal menjadi pilihan dan rebutan dalam kalangan rakyat China.

Penasihat Komersial di Kedutaan China di Malaysia, Shi Ziming berkata, minat rakyat China terhadap durian tetap tidak berkurang meskipun rantaian bekalan di Malaysia terjejas pada awal 2020 akibat pandemik Covid-19.

Katanya, durian Malaysia jadi pilihan pembeli di China untuk dijadikan hadiah premium kepada rakan dan keluarga.

"Tekstur dan rasa durian Malaysia tiada tandingannya di dunia. Ia selalunya dibeli sebagai hadiah untuk keluarga dan rakan," katanya.

China mengimport 600,000 tan durian bernilai AS$1.7 bilion (RM7.24 bilion) pada tahun lalu.

Mungkin kerana durian kini menjadi rebutan orang luar dan dianggap barang premium, pasaran tempatan juga berdepan tempias sama.

Jika 20 tahun dulu, sebakul besar durian kampung boleh dibeli pada harga RM10 namun kini usah mimpi untuk dapat harga begitu.

Kalau ada pemilik dusun durian yang meletakkan harga murah, pasti sekejap sudah diborong orang lain dan kemudian dijual semula pada harga berkali ganda.

Lebih melucukan baru-baru ini Harian Metro melaporkan ada peniaga durian tepi jalan dipercayai menjadikan kenderaan pelanggan sebagai kayu pengukur untuk meletakkan harga pada raja buah itu.

Sekiranya pelanggan singgah membawa kenderaan mewah, harga durian naik dua hingga tiga kali ganda.

Mungkin berasakan wujudnya peniaga durian bersikap tamak, Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) mahu kerajaan campur tangan memperkenalkan harga siling durian klon mengikut gred.

Bernama melaporkan, Presiden PPMM, Leftenan Kolonel (B) Che Hassan Che Johan berkata, adalah tidak wajar memberikan alasan tidak boleh mengawal harga durian kerana ia buah bermusim.

"Nasihat saya apabila beli durian, jangan bawa balik sekali dengan kulit, sebaliknya kupas durian dan letak isi dalam bekas terlebih dahulu," katanya.

Kisah harga durian mahal ini pasti berulang lagi tahun depan. Tidak kira apa juga grednya, pasti ada keluarga yang tidak mampu merasa.

Sekiranya tiada campur tangan tegas pihak berkuasa, tidak mustahil durian menjadi hidangan 'kluster kayangan' saja sebagaimana udang galah atau kaviar.

Namun, untuk melihat harga durian kembali murah seperti satu ketika dulu boleh diibaratkan seperti peribahasa - kalau kucing keluar tanduk, barulah ayam boleh bersusu.

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 6:59 AM