WARGA Palestin melihat rumah mereka yang dirobohkan pihak berkuasa Israel di perkampungan Bani Naim, Tebing Barat.
WARGA Palestin melihat rumah mereka yang dirobohkan pihak berkuasa Israel di perkampungan Bani Naim, Tebing Barat.

Jika kamu diberikan masa 12 jam saja untuk hidup, apakah yang akan kamu lakukan?

Itu tempoh yang diberikan kepada penduduk Gaza untuk menyelamatkan diri dan harta masing-masing sebelum tentera penjajah Zionis masuk menyerang melalui jalan darat dalam peperangan 51 hari pada 2014.

Ada penduduk yang memaklumkan mereka hanya sempat mengambil dokumen penting atau mengumpul apa-apa harta yang dirasakan berharga, ada juga cuba menyelamatkan ternakan lembu dan ayam di ladang mereka dan ada yang hanya melambai pergi rumah dengan pandangan sayu kerana menjangka rumahnya hanya tinggal abu dan batu-bata selepas serangan tentera.

Ya, Julai adalah bulan yang gelap di Gaza kerana ia menandakan permulaan perang paling buruk dalam sejarahnya, enam tahun lalu.

Dalam perang di bulan Ramadan itu, tiada penduduk yang tidak berkorban, sama ada berkorban rumah dan harta, malah nyawa.

Saya sendiri kehilangan seorang adik ipar apabila tempat beliau bertugas dibom oleh roket penjajah sehingga menghasilkan lubang sedalam tiga meter.

Mujur jenazahnya ditemui dan selamat dikebumikan, juga dalam tempoh beberapa jam 'gencatan senjata' yang berlaku.

Saya ingat ketika itu, setiap kali pulang ke rumah tumpangan di tengah bandar Gaza, saya akan membuka televisyen dan memasang stesen Al-Aqsa dan mendengar berita berkaitan jumlah terbaharu korban, kematian dan kemusnahan.

Sehingga beberapa hari melakukan rutin sama akhirnya saya 'bertukar strategi'.

Selepas penat mengurus markas pelarian mangsa perang yang kami buka di Masjid Umari, mengatur makanan dan mengkoordinasi bantuan dengan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan lain, saya pulang dan memasang saluran FOX TV atau MBC.

Membiarkan fikiran sedikit lari dengan menonton Master Chef Australia dan CSI Miami, cuba melupakan kesakitan dan kesedihan yang menyelubungi.

Strategi itu berjaya walaupun saya tahu tidak sukar untuk hanyut daripada realiti di luar.

Hanya dengan menukar saluran TV dan menguatkan suara sehingga menenggelamkan bunyi jet dan letupan, saya boleh lupa yang saya berada di Gaza di tengah-tengah peperangan.

Justeru, saya tidak menyalahkan umat yang cepat lupa dan hanyut akan nasib saudara mereka, malah lali bila terlalu banyak gambar darah dan kematian disebarkan di media sosial.

Tetapi, dalam kepedihan itu ada sinar yang muncul.

Sinarnya ialah berita gembira setiap kali pejuang di Gaza, khususnya Briged Izzuddin Al-Qassam muncul dengan kejutan dan helah baharu berdepan penjajah.

Berita pertama yang mengejutkan dunia apabila muncul akhbar bagaimana pejuang melalui unit amfibia yang pertama kali beraksi mampu menerobos masuk ke pangkalan tentera laut Zikkim milik penjajah.

Hebat sungguh, dengan kelengkapan ringkas wetsuit, tangki oksigen, kompas dan AK-47 mereka menimbulkan huru-hara di pangkalan tentera yang dianggap antara yang termaju di dunia.

Mereka kemudian membawa lagi kejutan apabila bukan saja bertindak secara defensif mempertahankan sempadan Gaza daripada musuh, tetapi bergerak ofensif dengan menyerang pangkalan darat penjajah melalui terowong bawah tanah, melakukan operasi di sana dan kembali ke Gaza dengan selamat melalui jalan sama.

Tak lama selepas itu, tanah haram Israel gempar pula apabila kawasan paling jauh dari Gaza iaitu Haifa dibom pertama kali dalam sejarah dengan roket buatan tempatan Rantissi 120 atau R-120 yang menjangkau 120 kilometer.

Akhirnya, pejuang memperkenalkan dron tanpa juruterbang buatan mereka sendiri yang diberi nama Ababil dengan keupayaan bukan saja melakukan pemantauan, malah melakukan serangan di negara musuh.

Dengan kejayaan ini, penduduk Israel mula gugup dan ketika berita penangkapan tentera Zionis Arol Shaun tersebar, mereka akhirnya menekan kerajaan supaya menghentikan peperangan.

Ia pengalaman panjang yang menyakitkan dan walaupun detik hitam ini tidak akan dilupakan penduduk, mereka cukup tahu bahawa ia pengorbanan yang perlu dibayar demi mempertahankan bumi milik ummah ini.


Penulis rakyat Malaysia tunggal di Gaza dan pengasas NGO Cinta Gaza Malaysia serta Wisma Malaysia Palestin. Sumbangan secara terus kepada penduduk Gaza boleh disalurkan melalui akaun rasmi NGO Cinta Gaza, Maybank 564810507826

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2020 @ 6:00 AM