Mohd Zaini Othman

SAMBUTAN Hari Kebangsaan diadakan pada setiap tahun bagi meraikan kemerdekaan negara, manakala sambutan Hari Malaysia pula disambut bagi meraikan ulang tahun penubuhan Malaysia.

Seperti kebiasaannya sambutan Hari Kebangsaan akan dimulakan dengan Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang sebagai menandakan bermulanya kempen sambutan Hari Kebangsaan dengan pengibaran Jalur Gemilang secara besar-besaran di seluruh negara.

Pada tahun ini, tema Malaysia Prihatin yang dipilih menjadi tema sambutan Hari Kebangsaan memberi makna mendalam kepada rakyat Malaysia dan negara kerana kita masih berdepan pandemik Covid-19.

Ringkas temanya, hanya gabungan dua patah perkataan, tetapi ia sudah cukup menggambarkan kebersamaan seluruh rakyat Malaysia memerangi wabak ini dan kecaknaan kerajaan yang melaksanakan pelbagai inisiatif merangkumi aspek ekonomi serta kebajikan demi kelangsungan hidup rakyat dalam tempoh sukar ini.

Angkara Covid-19 juga kerajaan sudah memutuskan acara sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini akan diadakan tanpa acara perbarisan seperti kelazimannya, tetapi masih disambut dengan sambutan Hari Kebangsaan akan diadakan di Kuala Lumpur pada 31 Ogos manakala Hari Malaysia diraikan di Sibu, Sarawak pada 16 September.

Pada tahun ini juga, Malaysia turut meraikan usia Jubli Emas Rukun Negara yang diisytiharkan secara rasmi pada 31 Ogos 1970 oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Tuanku Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin.

Antara tujuan utama Rukun Negara diwujudkan ialah bagi memupuk dan memperkasakan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang pelbagai kaum, agama, bangsa dan budaya. Sejak merdeka lebih enam dekad ini, jika ditelusuri pemimpin terdahulu amat berhati-hati apabila mengambil tindakan yang menyentuh kontrak sosial, agama, pendidikan dan kebudayaan kerana tidak mahu keharmonian antara kaum diperjudikan.

Tindakan yang cermat ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus dan tepung tidak berselerak, inilah rahsia kemakmuran Malaysia sehingga kini.

Bersempena kita sudah berada dalam sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020 bertemakan Malaysia Prihatin, ambillah peluang untuk kita juga prihatin terhadap sejarah negara ini, kembali menghayati jerih-perih dan onak duri pembentukan pertiwi ini supaya rasa cinta padanya terus mekar dan harum mewangi.

Antara yang perlu kita hayati adalah berkaitan prinsip keadilan kerana ini tidak boleh dikesampingkan. Apa yang kita fahami dengan konsep bahagi dalam matematik selama ini ialah sama rata, tidak lebih dan tidak terkurang.

Bagaimanapun, dalam realiti kehidupan, pendekatan bahagi yakni kesamarataan tidak boleh terpakai pada semua keadaan kerana kita perlu bersandar pada satu lagi prinsip yang lebih utama iaitu keadilan.

Adalah kurang tepat jika berpegang utuh pada kepercayaan bahawasanya dengan mengambil pendekatan kesamarataan ia akan membawa kepada keadilan. Perlu difahami kesamarataan (equality) tidak semestinya membawa kepada keadilan (equity) kerana kedua-duanya mempunyai pemberat yang berbeza dan tidak boleh terpakai pada semua keadaan.

Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara yang dikenali dengan kemajmukan rakyatnya, mengambil pendekatan kesamarataan dalam menggubal sebarang dasar khususnya berkaitan rakyat perlu dibuat secara berhati-hati oleh kerajaan. Teringat penulis pada satu dialog yang dilafazkan oleh Laksamana Hang Tuah yang dilakonkan oleh Datuk M Nasir dalam filem epik Puteri Gunung Ledang. Pesan Hang Tuah, "kalau nak menurut biar berakal, kalau mengikut biar pintar!"

Sememangnya diakui jelas tertulis dalam Perlembagaan Malaysia Fasal (8) Perkara 1 bahawa semua orang adalah sama rata dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang, tetapi penafsirannya tidak harus dibuat secara selapis saja kerana terbukti ada pihak kurang bertanggungjawab menggunakan hujah ini untuk menghapuskan hak kaum lain pula.

Ketaasuban memperkenalkan konsep kesamarataan pastinya akan membunuh konsep keadilan yang lebih insani dan tidak menzalimi. Tragedi rusuhan 13 Mei adalah antara peristiwa sejarah hitam yang besar pasca pembentukan Malaysia sewajarnya mengajar kita akan bahaya untuk melaksanakan konsep kesamarataan sebagai asas utama kepada sebarang pelaksanaan dasar yang membabitkan kaum di negara ini.

Penulis berpegang kepada prinsip bahawa sesuatu dasar yang ingin diangkat perlu berdasarkan kepada realiti sebenar dan teras sejarah pembentukan negara ini. Ia bukannya bersandarkan kepada andaian yang tidak berpijak di bumi yang nyata, diselubungi sentimen berlebihan dan lebih malang lagi demi memenuhi kepentingan sesetengah pihak saja.

Ayuh semarakkan Bulan Kebangsaan dengan kibarkan Jalur Gemilang!

Penulis Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik Usim serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (Pragmatis)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 5:59 AM