X
BAHAN berisiko tinggi seperti ammonium nitrat yang disimpan selama enam tahun di pelabuhan meletup mengakibatkan kemusnahan besar
BAHAN berisiko tinggi seperti ammonium nitrat yang disimpan selama enam tahun di pelabuhan meletup mengakibatkan kemusnahan besar
Nadir Al Nuri

BUMI Lubnan bukan bumi yang asing buat kami bekas pelajar Malaysia di Syria. Disebabkan sistem Syria yang tidak menggalakkan pelajar asing menuntut ilmu agama di maahad di sana, rata-rata pelajar tidak diberikan visa pelajar, malah hanya diberikan visa pelancong yang bertahan paling lama enam bulan.

Jalan keluar bagi kemelut itu dengan keluar ke Lubnan atau Jordan setiap enam bulan dan 'balik hari' semata-mata memperbaharui visa. Justeru, persinggahan ke sana ibarat outing pelajar asrama untuk menghalalkan kami duduk di bumi tempat menuntut ilmu.

Saya pernah melalui pengalaman sama, tetapi kurang bernasib baik. Setelah keluar ke Beirut dan siap segala urusan kami kembali semula ke Syria, tetapi tanpa alasan oleh pihak imigresen tidak dibenarkan untuk masuk semula lalu terpaksa berpatah balik ke sempadan Lubnan. Malangnya, Lubnan juga enggan memberikan kami cop masuk buat kali kedua pada hari sama, maka malam itu kami terpaksa tidur di no man's land di antara dua sempadan.

Keesokannya kami kembali ke Beirut dan dalam tempoh hampir seminggu tersekat, bumi yang dikenali sebagai the Paris of the Middle East ini sedikit sebanyak mula dikenali. Kenapa Paris? Sebab bumi ini atau lebih tepat ibu kota Beirut membawa gambaran kehidupan yang sangat maju dengan binaan yang moden dan masyarakat yang high class.

Hakikatnya, di balik kemajuan yang dilihat, Lubnan menyimpan 1001 rahsia.

Lubnan adalah kawasan yang pernah berada di bawah pemerintahan Khilafah Umayyad sebagai sebahagian Dimashq. Ia kemudian tercampak di dalam kancah Perang Salib dan dikuasai tentera Salib lalu dipecahkan di bawah kuasa Tripoli di utara dan Jerusalem di selatan. Ketika ini, kuasa Gereja Maronite yang majoriti di Lubnan mula menampakkan dominasi sebelum dijatuhkan semula oleh Salahuddin Al-Ayyubi pada 1187.

Zaman berubah dan Lubnan jatuh pula ke tangan Mamluk, kemudian Usmaniyyah pada 1516 sebelum diserahkan kepada kuasa Perancis dan seterusnya mandat Liga Kebangsaan pada 1920. Lubnan mencapai kemerdekaan pada 1943 tanpa banyak membawa perubahan kepada ketegangan sosio-politik di antara penduduk Kristian dan Muslim.

Malah, konflik menjadi semakin dahsyat apabila ia dibanjiri pelarian Palestin pasca Nakbah 1948 dan Naksah 1967. Lubnan menjadi tanah proksi pergelutan kuasa luar seperti Israel yang cuba memberi kuasa kepada pihak Kristian sementara negara seperti Syria menjaga kepentingan sendiri dengan mengangkat kuasa politik Muslim.

Sejarah panjang perang dan kemelut dalaman Lubnan, antaranya diwarnai Perang Saudara 1975-1990, pembunuhan pelarian Palestin Shabra-Shatila 1982, pembunuhan bekas Perdana Menteri Rafik Hariri 2005 dan serangan Israel untuk menghapuskan Hizbullah pada 2006.

Mutakhir Lubnan masih berdepan kegawatan ekonomi yang teruk dengan gagal membayar hutang kepada International Monetary Fund. Anggaran Bank Dunia 50 peratus penduduk akan jatuh ke bawah paras kemiskinan pada 2020, sistem politik yang masih gagal melalui pembaikan dan dicemari kadar rasuah yang tinggi selain risiko serangan baru Israel di sebelah selatan negara itu.

Letupan yang berlaku di Pelabuhan Beirut sebenarnya adalah gambaran situasi Lubnan yang memang menunggu untuk meledak. Bahan berisiko tinggi seperti ammonium nitrat yang disimpan selama enam tahun di pelabuhan adalah serpihan daripada bukti kegagalan sistem yang cacamarba secara keseluruhan.

Kini, Lubnan perlu bangkit semula dan sebagaimana yang disebut Datuk Bandaraya Beirut, kos sebanyak tiga sehingga lima bilion dolar diperlukan untuk membaik pulih bandar Beirut. Tetapi, kos untuk membaik pulih Lubnan secara keseluruhan dan keluar daripada kegagalan untuk bangkit semula, pastinya memerlukan lebih daripada wang ringgit. Doakan mereka.

Penulis rakyat Malaysia tunggal di Gaza dan pengasas NGO Cinta Gaza Malaysia serta Wisma Malaysia Palestin. Sumbangan secara terus kepada penduduk Gaza boleh disalurkan melalui akaun rasmi NGO Cinta Gaza, Maybank 564810507826

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 5:59 AM