KERUGIAN akibat letupan dianggarkan mencecah AS20 bilion (RM84 bilion).
KERUGIAN akibat letupan dianggarkan mencecah AS20 bilion (RM84 bilion).
Syarifah Dayana Syed Bakri

DI kala dunia masih suram berdepan musuh halimunan diberi nama Covid-19, berita kejadian letupan di pelabuhan Beirut, Lubnan hanya menambah lagi kehibaan yang sudah lama bersarang dalam hati.

Melihat kes jangkitan Covid-19 yang terus meningkat saban hari di beberapa negara, ia memberi bayangan bahawa betapa penduduk dunia kini terus dihimpit kesusahan berikutan banyak aktiviti ekonomi belum membuahkan hasil.

Lubnan juga antara negara terjejas teruk akibat Covid-19 dan hospitalnya beroperasi pada skala penuh untuk mengendalikan pesakit virus berkenaan.

Berdasarkan laporan agensi berita Xinhua, hingga kini, Lubnan mencatatkan lebih 5,000 kes jangkitan Covid-19 dengan lebih 60 kematian.

Ia mula membuka aktiviti ekonomi secara beransur-ansur selama dua hari Selasa lalu sebelum memulakan sekatan pergerakan lima hari dalam usaha mengekang penularan pandemik berkenaan.

Lubnan juga tidak terlepas menjadi mangsa 'kekejaman' Covid-19 apabila ia turut berdepan gangguan ekonomi yang dahsyat.

Ribuan syarikat dan perniagaan terpaksa ditutup menyebabkan angka pengangguran dan kemiskinan meningkat akibat tiada peluang pekerjaan.

Berdasarkan laporan dikeluarkan akhbar bebas tempatan, dianggarkan 150,000 warga Lubnan hilang pekerjaan rentetan kemerosotan ekonomi semasa.

Keadaan dijangka lebih buruk selepas insiden letupan yang berlaku Selasa lalu.

Kerosakan akibat letupan itu dianggarkan mencecah AS$20 bilion (RM84 bilion) dengan gambar baharu dron dan satelit menunjukkan kawasan di sekitar letupan itu mendatar dan hangus.

Malah, imej satelit memaparkan pembentukan kawah seluas padang bola sepak selepas letusan berlaku.

AFP melaporkan, Gabenor Beirut, Marwan Abboud berkata, letupan itu diibaratkan umpama 'hari kiamat' dan menyebabkan hampir 300,000 orang hilang tempat tinggal.

Seorang penduduk, Elie Zakaria yang menetap di kawasan perumahan berhampiran pelabuhan meluahkan rasa ngeri menyaksikan kejadian itu.

Katanya, ia umpama pembunuhan beramai-ramai atau tidak kurang umpama dilanda tsunami.

Kesannya juga diibaratkan seperti apa yang berlaku di Hiroshima.

Traumanya mungkin berpanjangan kerana menyaksikan mayat berserakan di tengah jalan dipercayai tercampak dari balkoni dan bumbung akibat letupan itu.

Lebih menyukarkan keadaan apabila hospital di Beirut yang sedia sesak dengan pesakit Covid-19 kini perlu berdepan tambahan pesakit mangsa letupan berkenaan.

Apa yang berlaku di Beirut menimbulkan beberapa spekulasi.

Berdasarkan siasatan awal, tindakan gudang bunga api yang menyimpan 2,750 tan ammonium nitrat tanpa langkah keselamatan didakwa menjadi punca letupan.

Namun, berdasarkan laporan stesen televisyen LBCI, letupan itu berlaku selepas tercetusnya api hasil aktiviti kimpalan.

Dikatakan, seseorang mengimpal lubang kecil pada pintu gudang untuk mengelakkan kejadian curi.

Selain itu, timbul juga andaian bahawa terdapat kemungkinan letupan itu berlaku disebabkan serangan.

Ini kerana ammonium nitrat adalah bahan yang digunakan secara meluas dalam industri pembinaan dan perlombongan serta pernah menjadi punca kepada beberapa kejadian letupan sama ada disengajakan atau tidak di beberapa negara.

Ia turut digunakan kumpulan militan dan serangan pengganas di Oklahoma City, Amerika Syarikat pada 1995.

Tidak kira apa juga spekulasi yang timbul, letupan dahsyat itu menyebabkan seseorang kehilangan ahli keluarga.

Seseorang lain kehilangan tempat tinggal.

Kejadian yang disangka hanya kebakaran biasa, rupa-rupanya menjadi titik permulaan kesengsaraan penduduk Lubnan.

Kita yang jauh ribuan kilometer dari Lubnan, turut berasa pilu atas apa yang berlaku, apatah lagi mereka yang diduga sebegitu rupa. Semoga Lubnan kuat menghadapi dugaan ini.

Hanya Allah Maha Mengetahui dan Allah jugalah Maha Melindungi.

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2020 @ 5:59 AM