Penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza. FOTO AIZUDDIN SAAD
Penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza. FOTO AIZUDDIN SAAD
Norhayati Nordin

WALAUPUN kini negara dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akibat Covid-19, kita masih belum menang.

Malah, kes baharu dicatat setiap hari ada turun dan naiknya hingga angka dua digit.

Ternyata, sukar membuat ramalan bila ancaman Covid-19 berakhir.

Seiring penularan pandemik yang belum berpenghujung, industri hiburan tanah air juga tak kurang hebat muncul dengan pelbagai cerita.

Sebagai pengamal media arus perdana, setiap berita ditulis berkaitan penggiat seni sama ada pelakon, penyanyi, pengarah, penerbit dan sebagainya tetap berlandas fakta.

Cuma apa yang diutamakan pada perkongsian berita hiburan itu lebih kepada kisah peribadi, gosip, sensasi semasa dan kerjaya.

Apapun, selama terbabit dalam penulisan berita hiburan ini diakui kebanyakan pengamal media sangat menghormati penghibur ternama tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Siti yang sudah 25 tahun membina nama dalam kerjaya seni, tidak pernah melatah apatah lagi melenting apabila kisah peribadinya lebih menjadi perhatian.

Dari awal pembabitan beliau sebagai penyanyi pada 1995, kemudian ketika di alam percintaan dan berumah tangga hingga kini baharu memiliki cahaya mata selepas 11 tahun menunggu, Siti tidak pernah mempersoalkan penulisan media.

Walaupun suatu ketika dahulu ada sahaja berita mengenainya yang ditulis lebih kepada gosip dan cerita sensasi berbanding perkembangan karier, beliau sentiasa positif.

Ini kerana sebagai figura yang menjadi perhatian ramai, Siti memahami betapa cerita peribadi mengenai dirinya yang ingin diketahui peminat selain kerjaya.

Malah, belum pernah Siti membuat perkongsian di media sosial seperti Instagram, Facebook dan Twitter bertanya kenapa kisah peribadinya yang lebih ditulis selama ini.

Padahal, ada pelbagai program hiburan dihadiri beliau termasuk sesi fotografi dijayakan namun kisah ditulis tetap pada sisi peribadinya.

Tahap profesional yang tinggi pada diri Siti membuatkan beliau disenangi.

Justeru, tidak hairan apabila nama dan bakatnya mampu bertahan lama dan kekal jadi perhatian.

Justeru, dalam soal ini berita hiburan walaupun berkaitan kisah peribadi yang lebih banyak ditulis, ia tetap satu publisiti buat selebriti.

Apapun, semoga Siti terus maju jaya dalam kerjaya seninya termasuk sentiasa bahagia serta gembira selalu di sisi keluarga tersayang.

Selamat ulang tahun perkahwinan ke-14 pada hari ini.

Selain itu, baru-baru ini juga industri hiburan dikejutkan dengan aktiviti plagiat beberapa filem tempatan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Filem seperti Town Mall, Ada Apa Dengan Dosa (AADD) dan Keluarga Iskandar The Movie yang ditayang Astro First menjadi mangsa cetak rompak.

Sangat menyedihkan apabila kos untuk pembikinan filem yang menelan belanja mencecah ratusan ribu hingga jutaan ringgit oleh penerbit, akhirnya karya itu dijual pada harga serendah RM1.

Malah, perkhidmatan jualan kepada pelanggan pula dibuat pihak tidak bertanggungjawab
itu menerusi platform e-dagang terkenal.

Situasi yang berlaku ini membuatkan penerbit filem terbabit berang dan salah seorangnya ialah Datuk Ayu Puteh yang menerbitkan filem AADD.

Ayu yang juga pemilik produksi Pencil Pictures & Records Sdn Bhd mendedahkan pihaknya bakal menyaman platform e-dagang terkenal itu sebanyak RM50 juta.

Sehubungan itu, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pula memaklumkan siasatan dibuat berhubung filem tempatan dicetak rompak secara dalam talian.

Semoga isu ini dapat diselesaikan segera, berikutan hal membabitkan cetak rompak sudah lama berlaku dalam industri dan hingga kini belum berupaya diselesaikan.

Penulis Wartawan Hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 6:00 AM