INDONESIA bakal mengeluarkan 290 juta dos vaksin menjelang akhir 2021.
INDONESIA bakal mengeluarkan 290 juta dos vaksin menjelang akhir 2021.
Syarifah Dayana Syed Bakri

PERTENGAHAN bulan ini, Rusia mengumumkan berita yang dinantikan seluruh dunia di mana vaksin Covid-19 berjaya dihasilkan.

Negara itu mendakwa menjadi negara pertama berjaya menghasilkan vaksin Covid-19 dan menamakannya sebagai Sputnik V, sempena nama satelit Soviet.

Fasa tiga ujian klinikal sudah dilaksanakan dan pengeluaran dijangka bermula September nanti dengan 20 negara sudah melakukan pratempahan untuk lebih satu bilion dos.

Di sebalik berita gembira itu, muncul pandangan skeptikal yang mempersoalkan pengumuman Rusia memandangkan vaksin itu diluluskan hanya selepas dua bulan penggunaannya diuji terhadap manusia.

Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan pihaknya hanya meluluskan vaksin Covid-19 yang melepasi proses kelayakan ketat dan menyeluruh.

WHO sebelum ini mengumumkan terdapat 168 vaksin Covid-19 dibangunkan di seluruh dunia. Daripada jumlah itu, 28 daripadanya sudah memasuki peringkat ujian terhadap manusia.

Enam daripada 28 vaksin itu juga sudah memasuki fasa ketiga ujian klinikal. Bagaimanapun, badan dunia itu memaklumkan Sputnik V hanya baharu memasuki fasa satu, sedangkan Rusia mengatakan ia kini memasuki fasa tiga.

Tidak jauh dari Malaysia, negara jiran kita Indonesia turut mengumumkan usaha mereka menghasilkan vaksin Covid-19.

Dengan menamakannya sebagai vaksin Merah Putih, Indonesia menjangka pengeluaran secara besar-besaran dapat dilakukan pada pertengahan 2021.

Presiden Indonesia Joko Widodo berkata, penyelidikan dan pembangunan vaksin itu dilakukan Lembaga Biologi Molekuler Eijkman (LBM), menerusi kerjasama dengan syarikat dari China, menggunakan DNA virus asli Indonesia.

"Kita bisa (boleh) produksi lebih banyak dan kalau yang kita miliki berlebih, boleh dijual ke negara lain kerana di Asean saya lihat belum ada yang siap (menghasilkan) vaksin," katanya seperti dilaporkan Bernama.

Dilaporkan vaksin itu kini memasuki fasa ketiga ujian dan jika berjaya, Indonesia bakal mengeluarkan 290 juta dos vaksin itu menjelang akhir 2021.

Berita penghasilan vaksin ini ternyata memberi sedikit kelegaan kepada dunia yang mempercayai sains, namun ia pasti menimbulkan konflik fahaman dan menggugat pegangan segelintir kumpulan berhaluan kiri.

Kumpulan ini yang sentiasa mengaitkan penemuan sains dengan teori konspirasi pasti menyukarkan pelaksanaan pemberian vaksin kepada semua individu kelak.

AFP melaporkan di Australia, Perdana Menteri Scott Morrison akan mewajibkan semua 25 juta rakyatnya mengambil vaksin Covid-19, sekali gus mencetuskan perdebatan hangat mengenai perkara itu, khususnya daripada kalangan anti vaksin.

Katanya, hanya mereka yang mempunyai alasan munasabah dari segi perubatan akan dikecualikan daripada mengambil vaksin ini.

Pihaknya juga menjangka bantahan daripada kumpulan anti vaksin tetapi menegaskan bahawa risiko terlalu besar untuk membiarkan pandemik itu menular tanpa kawalan.

"Kita bercakap mengenai pandemik yang memusnahkan ekonomi global dan meragut ratusan ribu nyawa di seluruh dunia.

"Walaupun kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan, dianggarkan sehingga 95 peratus penduduk Australia perlu menjadi kebal terhadap virus ini sebelum ia dapat dihapuskan," katanya.

Australia adalah negara yang berpegang kepada dasar 'tiada suntikan, tiada aktiviti', yang mewajibkan kanak-kanak mengambil vaksin untuk penyakit seperti polio dan kancing gigi sebelum dibenarkan memulakan persekolahan.

Walaupun vaksin Covid-19 ini masih belum boleh dilihat secara nyata, namun tinggi harapan kita di Malaysia agar mereka yang ahli dalam bidang ini diberikan ilham untuk menghasilkan vaksin berkesan menghalang penularan virus itu.

Semoga kumpulan anti vaksin di Malaysia juga terbuka hati untuk menghulur lengan bagi disuntik vaksin Covid-19 ini kelak demi keselamatan seluruh rakyat Malaysia.

Hormatilah pandangan mereka yang ahli, bukan entah siapa-siapa di FB. Terimalah fakta dibentang pakar, jangan percaya hujah si 'kaki konar'.

Usahlah kita menjadi pengikut golok kayu iaitu orang bodoh yang mengaku pandai.

Penulis adalah Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2020 @ 5:59 AM