SEBAGAI rakyat Malaysia, tidak kira di Semenanjung mahupun Borneo, ada peranan sangat penting untuk dimainkan bagi menjamin kedaulatan Sabah. FOTO Arkib NSTP
SEBAGAI rakyat Malaysia, tidak kira di Semenanjung mahupun Borneo, ada peranan sangat penting untuk dimainkan bagi menjamin kedaulatan Sabah. FOTO Arkib NSTP
Dr Muhammad Ashraf Fauzi

KINI kedengaran tuntutan Filipina terhadap Sabah sebagai sebuah wilayahnya. Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara Filipina dilaporkan sudah mencetak Sabah sebagai antara wilayahnya di dalam pasport negara itu.

Juga tular di peta Filipina yang menunjukkan bendera Filipina di Sabah yang dikatakan sebagai wilayah ke-14 negara itu dan nama-nama tempat turut dinamakan dalam bahasa Filipina.

Ia jelas satu tindakan yang dilihat mengancam kestabilan politik antara kedua-dua negara, sekali gus berupaya memecah belahkan keanggotaan Asean di rantau ini.

Di sebalik ancaman wabak pandemik Covid-19 dan pada masa sama isu tuntutan Laut China Selatan yang membabitkan pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat yang masih berpanjangan, tindakan Filipina ini boleh diibaratkan sebagai menangguk di air keruh.

Mereka menyerang kita pada saat sumber dan aset negara berada dalam keadaan genting di samping kedudukan ekonomi serantau dan politik tempatan yang goyah.

Meskipun isu itu membabitkan diplomasi politik antarabangsa dan Asean secara khususnya, namun setiap rakyat Malaysia berperanan besar dalam hal ini.

Pertama, tidak dapat dinafikan lagi Filipina menyuarakan dengan lantang tuntutan terhadap Sabah didorong oleh situasi politik di peringkat Persekutuan dan negeri yang tidak stabil sejak awal tahun ini.

Ini kerana wakil rakyat di Sabah diketahui umum amat mudah melompat parti kerana kepentingan tertentu.

Justeru, akta yang mencegah wakil rakyat melompat parti perlu diperkenal dan diluluskan di Parlimen secepat mungkin bagi menjamin wakil rakyat daripada melakukan perkara yang tidak bermaruah ini.

Filipina mungkin sudah melihat ini, menjadi antara titik lemah utama dalam politik negara yang menyebabkan mereka kembali menyatakan hasrat untuk memiliki Sabah.

Akta ini perlu digubal dengan memastikan sesuatu kerusi yang dimenangi itu tidak boleh bertukar selain daripada parti yang bertanding.

Kerajaan yang memerintah seharusnya melihat penggubalan akta ini sebagai akta tersangat penting bagi menjamin kedaulatan negara.

Bagi ahli politik yang berkepentingan, akta ini mungkin dilihat sebagai tidak menjamin kelangsungan mereka dalam arena politik.

Malah, akta ini juga mungkin dilihat sebagai pemusnah untuk mereka mendapat laba politik terutama apabila keputusan pilihan raya yang menyebabkan negeri tertentu mempunyai majoriti rendah pada PRU14 lalu seperti Sabah, Melaka, Kedah dan Johor.

Setiap wakil rakyat perlu berfikir lebih mendalam bahawa isu kedaulatan negara seharusnya mengatasi kepentingan diri.

Kedua, sebagai rakyat Malaysia, tidak kira di Semenanjung mahupun Borneo, ada peranan sangat penting untuk dimainkan bagi menjamin kedaulatan Sabah.

Bagi rakyat Sabah, isu warga Malaysia yang tidak mempunyai dokumen tinggal di Sabah perlu ditangani dari akar umbi.

Oleh kerana demografi Sabah sangat luas yang sebahagian besar geografinya terdiri daripada hutan semula jadi dan sempadan laut luas, isu migrasi pelarian Filipina amat sukar ditangani.

Namun, rakyat Sabah sendiri boleh berperanan dengan melaporkan aktiviti penyeludupan dan pendatang asing tanpa izin (Pati) ke perairan Sabah.

Makluman daripada mulut orang awam lebih tepat dan tidak dapat dicurigai oleh sindiket yang menjalankan aktiviti penyeludupan manusia ke Sabah.

Selain itu, rakyat di negeri lain dan Semenanjung terutamanya boleh berperanan sebagai duta dengan mempromosikan Malaysia sebagai satu negara yang terdiri daripada Malaysia Barat dan Malaysia Timur.

Lebih-lebih lagi pada Ogos dan September ini, rakyat perlu mempamerkan bahawa Malaysia teguh bersatu sebagai sebuah negara berdaulat.

Keunikan negara ini yang terdiri daripada Melayu, Cina, India dan Bumiputera Sabah dan Sarawak adalah satu masyarakat yang harmoni dan saling memerlukan antara satu sama lain.

Antara cara yang dilihat berkesan adalah rakyat boleh membawa isu ini ke media sosial dan mempamerkan kesatuan suara rakyat terhadap kepentingan Sabah.

Biar masyarakat dunia melihat bahawa semua rakyat bersatu teguh demi mempertahankan negeri ini daripada diganggu gugat dan provokasi politik.

Menggunakan hashtag seperti #SabahisMalaysia, #EastWestMalaysia atau seumpamanya boleh dilihat sebagai satu usaha untuk menunjukkan rakyat negara ini cakna akan kepentingan Sabah.

Selain itu, masyarakat antarabangsa akan turut melihat usaha mempertahankan Sabah ini adalah usaha akar umbi daripada seluruh rakyat Malaysia.

Pelancong yang pernah bertandang ke Sabah boleh turut mempromosikan bahawa Sabah adalah milik Malaysia.

Layanan baik dengan adat ketimuran perlu diberikan kepada mereka bagi menunjukkan rakyat Sabah terbaik.

Ia bagi mendapatkan sokongan pelancong asing untuk menggerakkan suara antarabangsa.

Justeru, kerajaan negeri mahupun Persekutuan boleh mengambil inisiatif menggerakkan usaha mengumpul sokongan rakyat dari seluruh negeri untuk turut serta menyumbang secebis tenaga, namun impaknya adalah teramat besar.

Tanggungjawab ini juga boleh dipikul badan bukan kerajaan (NGO).

Sesetengah NGO di Malaysia mempunyai sokongan individu yang sangat berpengalaman menguruskan konflik dan hubungan lateral antara dua negara.

Kemungkinan tuntutan Filipina ini adalah suatu rahmat untuk melihat semua bangsa di negara ini bersatu mempertahankan hak rakyat Sabah secara khusus dan Malaysia secara amnya.

Rakyat Malaysia akan lebih bersatu padu menghadapi ancaman yang disifatkan tidak sensitif ini.

Situasi ini dilihat tidak berubah seperti sebuah keluarga, misalnya jika ada adik-beradik yang kerap berkelahi akan bersatu jika bergaduh dengan orang lain.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Industri, Universiti Malaysia Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2020 @ 8:14 AM