FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri


Sebelum wujudnya laman e-dagang, aktiviti membeli-belah dilakukan dengan menjelajah pasar raya, membelek setiap barang untuk pastikan tiada kecacatan dan mencuba pakaian sehingga yakin dengan saiz dipilih.

Ia lebih meriah apabila tiba musim perayaan di mana pusat beli-belah berlumba-lumba menghias segenap ruangan.

Ketika itu, tempat letak kenderaan pasti sesak, malah untuk ke tandas juga terpaksa beratur panjang.

Namun, keadaan berubah selepas munculnya laman e-dagang yang membolehkan aktiviti sama dilakukan tanpa perlu keluar rumah.

Saya mula membeli secara dalam talian pada 2015 di mana produk pertama yang dibeli adalah beg tangan.

Sebelum pembelian dibuat, saya meneliti gambar yang dipaparkan dan turut mengambil pembaris untuk mengagak ukuran beg itu supaya ia tidak terlalu kecil bagi memuatkan barangan peribadi.

Sementara menanti barang yang dipesan itu tiba, beberapa kebimbangan bermain dalam fikiran. Antaranya, adakah rupa beg itu sama seperti dalam gambar? Adakah warnanya secantik yang dilihat dalam komputer? Atau adakah kualitinya setanding di kedai?

Selepas beg tangan itu tiba di tangan, saya berpuas hati dengan pembelian dibuat. Maka, bermulalah episod beli-belah maya yang lebih kerap dengan senarai pelbagai produk.

Ketika itu, tidak banyak portal e-dagang yang ada di pasaran dan jumlah peniaga juga tidak begitu ramai. Malah, produk yang dijual juga adalah dari pasaran tempatan.

Namun, bermula 2018 dapat dilihat sektor ini semakin berkembang dengan lebih banyak tawaran menarik daripada peniaga tempatan dan luar negara yang seterusnya membolehkan perbandingan harga lebih mudah dilakukan.

Sebagai contoh, baru-baru ini saya ke pasar raya untuk membeli Milo yang pada ketika itu diletakkan pada rak tawaran harga rendah.

Saya mencapai telefon dan membuka aplikasi e-dagang. Ternyata Milo yang ditawarkan di laman itu sedikit murah, berbeza 50 sen.

Namun, atas faktor tempoh dan kos penghantaran, saya memilih membeli Milo di pasar raya.

Saya pasti bukan saya seorang saja membuat perangai cheapskate ini kerana jualan 9.9 yang berlangsung baru-baru ini membuktikan rakyat Malaysia gemarkan tawaran harga rendah.

Lebih banyak diskaun, lebih bagus walaupun barang itu mungkin tidak diperlukan ketika itu.

Berdasarkan data diperoleh daripada jualan 9.9 yang berlangsung baru-baru ini, ia menyaksikan trafik dan jumlah jualan direkodkan lebih baik berbanding tahun lalu.

Platform rebat tunai ShopBack Malaysia mencatatkan peningkatan lima kali ganda jumlah trafik pada jualan kali ini berbanding tahun lalu.

Tiga kategori pembelian yang tertinggi adalah barangan rumah, kesihatan dan kecantikan serta elektronik.

Bagi platform Shopee, tarikh berkenaan menyaksikan lebih 12 juta barangan dijual dalam tempoh sejam pertama.

Malah, pihaknya menyifatkan kempen kali ini paling berjaya pernah dikendalikan.

Berdasarkan data yang direkodkan, pengguna lelaki lebih banyak membeli telefon pintar sementara sabun pencuci pakaian menjadi kegemaran dalam kalangan wanita.

Selain itu, produk bayi termasuk lampin bayi, tisu basah dan pelitup muka untuk kanak-kanak sangat popular dalam kalangan pengguna berusia 18 hingga 34 tahun.

Pengguna berusia 35 hingga 50 tahun pula kebanyakannya membeli kelengkapan rumah seperti rak dan kotak storan serta bekalan untuk membasuh seperti sabun pencuci dan span.

Lebih menarik, pengguna daripada semua peringkat umur tanpa mengira jantina dan bangsa dilihat 'memburu' Milo sehingga menjadikan produk itu paling laris setakat tahun ini.

Di sebalik kesedihan akibat pandemik Covid-19 yang menyebabkan ada perniagaan gulung tikar, ternyata ada sinar buat mereka yang berniaga seorang diri di sebalik komputer dan telefon pintar.

Sesuai dengan peribahasa seluk air mandikan diri yang bermaksud berusaha sendiri dan jangan harapkan bantuan orang lain, saya yakin platform e-dagang menjadi lubuk duit
buat peniaga berjiwa kental.

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2020 @ 7:01 AM