FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Maiamalina Mohamed Amin

Pada 15 September lalu, Mahkamah Sesyen Selayang dekat Kuala Lumpur membuat keputusan tegas apabila tidak membenarkan empat ahli lembaga pengarah dan seorang pengurus syarikat membaiki jentera berat, diikat jamin. Mereka berdepan dua pertuduhan berkaitan pembuangan bahan berbahaya ke dalam Sungai Gong, Rawang yang menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) milik Air Selangor Sdn Bhd dihenti fungsi pada 3 September.

Berikutan tindakan tidak bertanggungjawab itu, jutaan pengguna di 1,292 kawasan di tujuh wilayah di Lembah Klang menghadapi gangguan air selama seminggu. Ikut hati memang wajar si pelaku yang pentingkan diri dan hanya tahu mengkayakan syarikat sendiri dihantar terus ke Penjara Bentong sementara menunggu tarikh perbicaraan supaya mereka sedar dosa mencemarkan alam sekitar yang bukanlah kesalahan ringan, apatah lagi jika sudah mengganggu kehidupan masyarakat keseluruhannya.

Itu kes terkini yang menjadi perhatian rakyat Malaysia, belum lagi termasuk kes pencemaran yang tidak didedahkan, dipandang sepi dan dianggap kurang serius seperti pencemaran hutan.

Saya bangkitkan isu ini kerana sedih dengan sikap orang kita yang tidak pandai menghargai alam sekitar. Anda mahu sihat dan merasai suasana alam dengan mendaki gunung yang kebanyakannya berada dalam kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK). Malangnya, ada yang bersikap jelek dengan membuang sampah sesuka hati.

Adakah anda fikir ada pekerja pembersihan atau majlis perbandaran yang akan kutip sampah yang anda tinggalkan itu? Seorang pendaki yang sudah saya anggap seperti kakak lingkungan 50-an menyuarakan rasa kesal dengan sikap manusia pelik sebegini. Dia bukan sebarangan pendaki kerana sudah 'berkawan' dengan hutan dan alam semula jadi sejak beberapa tahun lalu, malah hampir setiap minggu mendaki mana-mana bukit atau gunung yang berkenan di hati.

Pada 12 September lalu, kami bersama mendaki Gunung Berembun di Jelebu, Negeri Sembilan. Malangnya kami disajikan dengan panorama yang kurang indah di Gua Kambing iaitu satu daripada pusat pemeriksaan atau checkpoint sebelum ke puncak. Selonggok plastik, bekas makanan, botol air kosong dan sisa sampah lain terbiar di atas pelantar di tepi batu besar di situ yang sangatlah mencacatkan pemandangan. Ada juga terselit di tepi batu.

Terfikir juga sama ada si pelaku yang meninggalkan sisa itu langsung tiada rasa bersalah kerana mengotorkan hutan.

"Kenapa botol air dan bekas makanan yang masih berisi boleh dipikul, dibawa mendaki bersama, tetapi apabila sudah kosong, sisanya ditinggalkan di mana-mana sudut di hutan?

"Padahal ia sudah tidak jadi beban pun kerana tiada isi," kata kakak kepada saya. Ada betulnya kenyataan dia. Jika anda pendaki tentu maklum bahawa beg berisi pelbagai kelengkapan dan makanan akan menjadi bebanan jika perlu menempuh laluan pacak. Soalnya, jika bekalan dibawa habis ditelan ketika perjalanan, bekas atau botol plastik (sebagai contoh) bukan lagi satu beban.

Lebih utamanya, kebanyakan plastik berciri kitar semula yang boleh dipenyekkan dan lebih ringan. Susahkah bawa turun bekas kosong itu berbanding membuangnya di dalam hutan? Saya kira orang begini jenis yang mementingkan diri, tiada kesedaran dan tidak sedar dek untung.

Syukur Jabatan Perhutanan negeri masih membenarkan trek hutan di bawah jajahan mereka untuk diteroka pencinta alam dan penggemar aktiviti lasak. Jadi, bantulah mereka dengan menjaga hutan kita. Sudahlah banyak kawasan hutan yang diteroka demi pembangunan. Jadi tinggalan yang masih ada ini seharusnya kita pelihara bersama-sama.

Tahukah anda bahawa Akta Perhutanan Negara 1984/ (Pindaan) 1993 memperuntukkan Seksyen 83 untuk kesalahan membuang sampah-sarap secara mengganggu dalam HSK. Bermakna pembuang sampah haram di hutan boleh dihukum denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Jika, ada bukti, boleh kita dakwa pencemar hutan ini seperti dakwaan ke atas wakil syarikat yang dituduh mencemarkan Sungai Gong. Hukuman bunyinya keras, tetapi jika itu saja cara untuk mendidik rakyat Malaysia supaya mencintai khazanah bumi, apa salahnya ia dikuatkuasakan.

Takkan kita mahu hanyut dalam mentaliti kelas ketiga yang kurang kesedaran sivik dan tiada amalan nilai murni. Sudah masanya kita hayati tanggungjawab sebenar sebagai rakyat Malaysia. Menjaga negara bukan hanya memelihara kedaulatannya, tetapi menjadi warga negara yang bersopan santun dan bersusila antara masyarakat serta khazanah seisinya. Jadilah juga hamba Allah SWT yang dilantik sebagai khalifah di muka bumi bukan untuk mengutamakan ketuanan dan kekuasaan sebaliknya, mengabdikan diri kepada Yang Esa serta berbuat kebaikan kepada seluruh makhluk bumi.

Penulis adalah Penolong Pengarang Berita, Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 7:00 AM