FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Ramasamy Chellachamy

Katakan seseorang anggota atau pegawai polis meminta anda menunjukkan MyKad untuk pemeriksaan? Soalannya - bolehkah anda meminta anggota atau pegawai polis itu menunjukkan kad kuasa mereka terlebih dahulu?

Satu kes pendakwaan yang dibicarakan di Mahkamah Masjistret Kajang berhubung isu berkenaan menarik untuk diamati, lebih menarik lagi penghakiman yang diberikan bukan oleh satu, tetapi oleh dua mahkamah berkaitan persoalan tunjang berkenaan.

Pada tarikh 3 Mei 2018, kira-kira jam 8.15 pagi, C Preevan (34 tahun ketika kejadian) berada di hadapan sebuah rumah di Taman Rakan, Kajang untuk membantu sepasukan polis yang melakukan operasi untuk menahan seorang suspek berkaitan satu aduan jenayah.

Ketika Preevan menunggu di perkarangan kediaman berkenaan, dua anggota - seorang konstable dan seorang lans koperal - tiba untuk menolong pasukan pertama yang sedang melaksanakan operasi di situ. Melihat Preevan sedang merakam gambar menggunakan telefon bimbit, mereka meminta Preevan menunjukkan kad pengenalannya, tetapi dia enggan dan sebaliknya meminta mereka menunjukkan kad kuasa terlebih dahulu.

Berlaku sedikit 'pertengkaran' lalu Preevan dikenakan pendakwaan atas pertuduhan 'dengan sengaja menghalang seorang penjawat awam daripada menjalankan tugas dan sudah melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.'

Jika sabit kesalahan, Preevan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Di Mahkamah Majistret Kajang di mana prosiding berlangsung, S Sivashankar yang mewakili Preevan berhujah kejadian yang berlaku di Taman Rakan adalah satu salah faham dan bukan satu perlakuan yang disengajakan.

"Tertuduh (Preevan) telah meminta kad kuasa polis ditunjukkan sebelum dia bersedia menunjukkan kad pengenalannya. Ini adalah satu permintaan yang munasabah daripada seorang orang awam," katanya.

Ini, kata beliau, bertentangan dengan Police Regulations 1952 Bahagian 1 Regulation 2 Disciplinary Offences Sub Regulations 27 dan 39.

"Adalah amat jelas anggota polis terbabit telah melakukan kesalahan disiplin yang serius kerana gagal menunjukkan kad kuasa mereka apabila diminta oleh tertuduh," katanya.

Beliau turut menegaskan kedua-dua anggota polis itu turut tidak menyatakan dalam laporan yang dibuat terhadap tertuduh sama ada mereka ada menunjukkan kad kuasa seperti yang diminta Preevan.

Memperhalusi hujah, Majistret Nor Afidah Idris yang menghakimi kes berkenaan memutuskan apa yang berlaku adalah salah faham dan tidak timbul elemen tertuduh dengan sengaja menghalang tugas polis.

Malah, beliau berkata, anggota polis telah gagal memperkenalkan diri mereka sebagai anggota penguat kuasa undang-undang kepada tertuduh di tempat kejadian.

"Kedua-dua anggota polis itu juga gagal memaklumkan kepada tertuduh bahawa mereka sebenarnya dalam tugasan untuk membantu pasukan pertama yang membuat serbuan di lokasi kejadian," katanya.

Justeru, beliau dalam penghakimannya yang bertarikh 18 Disember 2019 membuat keputusan untuk melepas dan membebaskan Preevan daripada pertuduhan di akhir kes pendakwaan tanpa perlu membela diri.

Pihak pendakwaan yang tidak berpuas dengan keputusan berkenaan mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Tetapi Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Mohd Yazid Mustafa turut memutuskan perbuatan meminta seseorang anggota polis untuk menunjukkan kad kuasa bukan bermaksud menghalang tugas mereka.

Beliau berkata Police Regulations 1952 dengan jelas meletakkan tanggungjawab di pihak anggota dan pegawai polis untuk mendedahkan identiti sebelum melaksanakan tugas masing-masing.

"Seseorang awam tidak boleh dikatakan melakukan kesalahan (dengan menggalang seorang penjawat awam daripada menjalankan tugas) hanya semata-mata kerana dia meminta anggota polis itu menunjukkan kad kuasa," katanya.

Dalam rayuan pendakwa di Mahkamah Tinggi Shah Alam itu, Preevan diwakili peguam Jeyaseelan Anthony.

Jeyaseelan dalam penggulungan hujahnya menegaskan bahawa Regulation 26 sebagaimana terkandung dalam Police Regulations 1952 menetapkan seseorang anggota atau pegawai polis sebagai penjawat awam tidak boleh menyembunyikan identiti mereka.

Tambahan pula, katanya, Regulation 39 menyebut permintaan mana-mana orang awam untuk melihat kad kuasa seseorang anggota atau pegawai polis yang disangsikan penampilannya adalah munasabah dan tidak boleh ditolak.

Dan penetapan itu, kata peguam berkenaan, turut merangkumi anggota atau pegawai polis yang bertugas dengan berpakaian preman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2020 @ 7:30 AM