Poster filem Cuties.
Poster filem Cuties.
Syah Rul Aswari Abdullah

Urut dada kerana amat tidak selesa. Itu reaksi penulis selepas menonton filem penuh kontroversi Cuties di Netflix.

Apa tidaknya, terlalu banyak unsur lucah membabitkan kanak-kanak yang tersembunyi dalam filem yang meraih anugerah arahan terbaik, World Cinema Dramatic Directing Award pada Festival Filem Sundance 2020 ini.

Netflix membeli hak filem Cuties sebelum ia ditayangkan pada festival di Amerika Syarikat (AS) itu.

Awal-awal lagi, platform penstriman itu sudah menempa kontroversi apabila menggunakan imej empat budak perempuan dalam pakaian yang mencolok mata menerusi poster promosi global berbanding foto yang sopan untuk pasaran di negara asal, Perancis.

Bagaimanapun, itu hanya teaser kepada filem itu yang mengangkat tema yang ratusan kali ganda lebih kontroversi.

Terkesan dengan pendapat awal mengenai filem itu, Netflix bertindak menukar poster promosi kepada gambar lebih sopan.

Ringkasnya, filem ini berkisarkan mengenai kisah kanak-kanak Muslim berketurunan Senegal tinggal di Perancis bernama Amy yang berusia 11 tahun.

Dia menyertai satu kumpulan penari kanak-kanak untuk bertanding dalam satu peraduan tarian.

Di atas kertas, filem ini mempamerkan dilema yang dihadapi kebanyakan daripada anak imigran Muslim di negara barat.

Kebanyakan daripada mereka - seperti Amy - berdepan krisis identiti untuk terus mengamalkan cara hidup ibu bapa dan ajaran agama mereka atau perlu berasimiliasi dengan gaya hidup barat.

Ia juga mengangkat tema yang amat dekat kepada remaja pada hari ini iaitu kesan pengaruh rakan sebaya dan gaya hidup yang 'bertuhankan' media sosial. Ia mendorong seseorang sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapat tanda suka daripada individu tidak dikenali meskipun terpaksa melakukan perkara bodoh.

Apa yang tidak sedapnya, dalam usaha untuk mengetengahkan isu ini, produser dilihat memaparkan unsur hypersexualisation atau elemen lucah melampau membabitkan kanak-kanak.

Semuanya dilakukan atas tiket kebebasan untuk berkarya.

Daripada satu babak ke babak, pengarah menggunakan camera trick untuk menyelitkan secara halus atau ada ketikanya, terang-terangan, elemen seks membabitkan pelakon kanak-kanak.

Ada satu babak memaparkan dialog antara kanak-kanak perempuan di sekolah yang membincangkan secara bersahaja mengenai seks oral.

Demi untuk dianggap 'kool' oleh rakannya, Amy dipaparkan terpaksa mencuri telefon bimbit milik saudara lelakinya. Tetapi, apabila kantoi mencuri, dia cuba menawarkan 'rasuah' seks kepada individu berkenaan.

Pada satu ketika, Amy juga memuat naik gambar alat sulitnya di akaun media sosialnya semata-mata untuk mendapatkan lebih banyak tanda suka.

Ini belum lagi adegan membabitkan tarian termasuk aksi twerking yang dilakonkan semua pelakon kanak-kanak.

Babak lain memaparkan seorang remaja perempuan berkenaan yang secara tidak sengaja mendedahkan sebelah payu dara ketika melakukan penstriman di media sosial. Semuanya dilakukan demi untuk tanda suka di media sosial.

Benar, kreativiti itu perlu bebas. Tidak realistik jika penerbit mahu menggunakan individu yang bukan di bawah umur untuk melakonkan watak kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.

Sama juga amat tidak logik apabila drama Melayu memaparkan babak pelakon wanita yang lengkap berhijab ketika mahu tidur seperti yang sering dipaparkan dalam drama Melayu ketika ini.

Namun, kebebasan bukan perkara mutlak. Kebebasan dalam berkarya juga perlu ada hadnya di samping seiring norma hidup dan budaya masyarakat setempat.

Malah, ia juga perlu mengikut garis panduan penyiaran dan undang-undang berkaitan yang ditetapkan pihak berkuasa sesebuah negara.

Mungkin ramai akan bersetuju dengan kenyataan Ketua Eksekutif Netflix, Ted Sarandos berhubung kontroversi Netflix bahawa adalah tidak logik pada zaman ini untuk menapis penceritaan dalam karya kreatif.

Tetapi, pandangan berkenaan hanya terpakai jika individu yang menontonnya dapat menilai secara matang berhubung mesej yang cuba dipaparkan dalam filem ini.

Isunya di sini adalah Cuties boleh mengundang golongan pedofil untuk terus berfantasi mengenai kanak-kanak.

Kebanyakan daripada golongan ini semestinya 'amat suka' dengan babak Amy dan rakannya yang berpakaian yang tidak sopan menari dalam unsur mengghairahkan demi untuk menjuarai pertandingan nyanyian.

Secara peribadi, pengalaman menonton filem ini boleh disamakan seperti ketika menonton Thirteen, filem AS pada 2003 yang berkisarkan mengenai isu remaja.

Ia memaparkan realiti hidup remaja, tetapi dengan cara paling menakutkan.

Bagaimanapun, Thirteen dibuat ketika zaman sebelum Facebook, Twitter dan Instagram. Ia sekali gus tidak menzahirkan dilema sosial remaja hari ini.

Susulan kontroversi yang melanda filem ini, tanda pagar Cancel Netflix menjadi trending di AS. Malah, ketika ini, hakim di Texas, AS sudah memulakan proses pendakwaan terhadap Netflix berhubung penyiaran filem berkenaan.

Namun, apa yang menghairankan, filem sebegini masih bebas ditayangkan untuk penonton di negara ini. Adakah kita sebenarnya tidak kisah?

Penulis adalah Penolong Pengarang Berita, Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2020 @ 7:30 AM