X
ZED Zaidi. FOTO NSTP
ZED Zaidi. FOTO NSTP
Georgie Joseph

Dalam tempoh seminggu dua ini, kecoh mengenai desas-desus pembabitan golongan selebriti dalam beberapa kes jenayah berprofil tinggi.

Pertama, pengubahan wang haram oleh sindiket Macau Scam dan perjudian dalam talian, manakala kedua sindiket pelacuran kelas atasan.

Sejauh mana kebenaran pembabitan mereka sama ada secara langsung atau dianiaya, hanya pihak berkuasa mampu merungkai butirannya. Bak kata pepatah, kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang.

Apakah yang membuatkan mereka terdetik untuk membabitkan diri dalam jenayah itu? Padahal mereka adalah figura awam yang sepatutnya lebih berwaspada bagi mengekalkan reputasi baik.

Jika wang menjadi kiblat, tergamak mereka menggunakan 'jalan pintas' ini semata-mata demi memenuhkan poket sendiri? Tindakan sebegitu hanya menggadaikan maruah dan lebih teruk menjejaskan periuk nasi.

Selama ini, kita hanya menggeleng kepala apabila membaca cerita sebegini dari luar negara. Contohnya seperti kes beberapa selebriti di Indonesia yang terpapar luas hingga akhirnya mereka meringkuk dalam penjara atas kesalahannya.

Apabila terjadi dan mula dibongkar di negara sendiri, semestinya isu ini memberi tamparan hebat kepada industri hiburan khususnya. Apatah lagi, rata-rata golongan selebriti sentiasa menjadi ikutan netizen setiap masa.

Tidak dinafikan, ramai dalam kalangan mereka berjaya mengekalkan reputasi dan konsisten menunjukkan contoh yang baik.

Golongan selebriti inilah yang sepatutnya memberi inspirasi kepada yang lain untuk kekalkan profil terpuji.

Dalam era sekarang, selebriti mudah menjadi sasaran netizen untuk dihentam. Semulia mana pun dan betapa berhati-hati di media sosial, mereka tidak terlepas daripada kata-kata nista termasuklah hasut maya.

Apatah lagi apabila selebriti dikaitkan dengan jenayah berprofil tinggi yang semestinya akan diingati untuk tempoh masa yang panjang.

Tidakkah mereka bimbang dengan impak terhadap diri sendiri, keluarga, kerjaya dan lain-lain dalam tempoh itu?

Justeru, dalam hal ini, sesiapa juga harus menyokong tindakan pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membanterasnya. Demikian juga usaha Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) perlu diperkukuhkan lagi.

Apapun, pujian harus diberikan kepada Seniman apabila lantang bersuara mengenai dua kes jenayah yang semakin panas ini. Sekurang-kurangnya mereka tegas untuk memastikan industri hiburan tidak dipandang hina.

Seperti yang disarankan presidennya, Zed Zaidi, selebriti terbabit perlu ada sikap bertanggungjawab dan tampil memberi penjelasan kepada pihak berkuasa jika rasa ada kaitan dengan sindiket itu.

Manakala, untuk kes pelacuran kelas atasan itu, tindakan menyenarai hitam artis yang bersalah adalah langkah terbaik.

Kebimbangan terbesar adalah hanya disebabkan segelintir selebriti, ia boleh mencemarkan imej industri hiburan tanah air.

Pokok pangkalnya, setiap selebriti baik terbabit atau tidak patut memegang amanah untuk memberi tanggungjawab dalam hal ini.

Bagi yang terbabit, sebaiknya carilah jalan penyelesaian terbaik dengan pertolongan pihak berkuasa. Tidak kisah prosedurnya bagaimana, asalkan mereka ambil tanggungjawab itu secara bermaruah.

Apa juga alasan untuk terjebak dalam 'perniagaan kotor' itu seharusnya dipadam terus dari fikiran setiap selebriti.

Konsepnya mudah sahaja, mereka perlu mengukur baju di badan sendiri sekiranya terdesak sekali pun. Ini tidak, masing-masing berlumba hendak menayang gaya hidup mewah sehingga terpaksa gadaikan maruah demi membiayai kehidupan sebegitu.

Sebenarnya, senario inilah yang sangat membimbangkan terutama apabila sudah membabitkan nama figura terkenal.

Tidak mustahil selepas ini industri hiburan dan rasa hormat terhadap golongan selebriti tidak akan ada lagi.

Paling membahayakan, apabila cara salah yang dipilih selebriti itu menjadi ikutan generasi muda terutamanya. Tidakkah nanti gelombang baharu generasi kategori sebegini merosakkan keharmonian dalam masyarakat pula nanti?

Hakikatnya, sekarang pun bibit-bibit corak pengaruh sebegitu makin terserlah menerusi media sosial. Lihat saja remaja yang masih di bangku sekolah sudah pamer kehidupan ala 'kayangan' sedangkan belum melangkah ke alam pekerjaan.

Senario ini mungkin kelihatan remeh dan tidak perlu dilayan. Namun, yang remeh itulah paling membahayakan suatu hari nanti, bertukar menjadi tabiat dan natijahnya, terjerumus dalam kes jenayah kotor berprofil tinggi.

Penulis Wartawan Hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 6:59 AM