TANDA hormat tiga jari digarap dari filem The Hunger Games.
TANDA hormat tiga jari digarap dari filem The Hunger Games.
Syarifah Dayana Syed Bakri

TEH susu adalah minuman biasa boleh didapati di mana-mana. Hanya perlu campuran susu dan teh bagi menghasilkan teh susu yang enak.

Namun, siapa sangka 'resipi' teh susu ini mampu membangkitkan semangat luar biasa anak muda.

Teh Susu atau Milk Tea Alliance adalah satu gerakan solidariti dalam kalangan pengguna internet dari Hong Kong, Taiwan dan Thailand yang pada asalnya hanyalah 'meme' internet yang timbul berikutan munculnya hasut maya China di media sosial.

Kemudiannya berkembang menjadi gerakan protes mendorong demokrasi dan hak asasi manusia di Asia Tenggara.

Sejak beberapa bulan lalu, Bangkok dilihat sedikit tegang dengan beberapa siri perhimpunan mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri Prayut Chan-O-Cha.

Prayut juga mengambil keputusan mengumumkan darurat dan melarang perhimpunan melebihi empat orang bagi mengekang lebih banyak demonstrasi diadakan.

Namun, semua itu tidak dapat melunturkan semangat anak muda Thailand yang dilihat menjadi koordinator utama demonstrasi ini melalui gerakan digelar Free Youth.

Mengambil contoh dan semangat atas apa yang berlaku di Hong Kong tahun lalu, gerakan di Bangkok mengikut taktik yang digunakan sekutu teh susu mereka.

Malah, aktivis Hong Kong turut menyatakan sokongan mereka, menawarkan tip berkaitan pakaian pelindung ketika demonstrasi diadakan, memastikan kemudahan sambungan internet, hingga cara berdepan situasi jika berlaku kecederaan.

Berdasarkan laporan BBC, demonstran di Bangkok turut menggunakan tanda hormat tiga jari, cara yang diambil dari filem hasil garapan buku Suzanne Collins, The Hunger Games.

Dalam filem berkenaan, watak utamanya Katniss Everdeen, seorang remaja berusia 16 tahun daripada kelompok miskin memimpin revolusi menentang golongan kaya dan berkuasa.

Kalangan demonstran ini melihat titik persamaan perjuangan mereka dengan Everdeen dan mengambil serius penggunaan tanda hormat tiga jari itu.

Bagaimanapun ia bukanlah sesuatu yang baharu berlaku di Bangkok. Pada 2014, rangkaian panggung wayang di Thailand sudah menarik balik filem The Hunger Games: The Mocking Jay - Part 1 selepas beberapa penunjuk perasaan pelajar ditahan kerana menggunakan isyarat yang diambil daripada filem itu.

Lima pelajar dengan kemeja-T yang bertulis slogan 'Kami tidak mahu rampasan kuasa' ditahan ketika Prayut menyampaikan ucapannya. Prayut dilaporkan memimpin rampasan kuasa dan kemudian menjadi ketua pemerintah tentera.

The Independent melaporkan tanda hormat berkenaan sebenarnya boleh dikesan sejak Revolusi Perancis yang membawa maksud kebebasan, persaudaraan dan persamaan.

Namun, demonstran muda hari ini lebih mengenalinya daripada filem The Hunger Games. Malah, filem berkenaan bukan satu-satunya mempengaruhi demonstran Bangkok kerana mereka juga dilihat berpakaian atau menggunakan rujukan kepada Harry Potter dan watak kartun Jepun yang popular seperti Hamtaro dan Naruto.

Siri tunjuk perasaan itu berlarutan sehingga kini dengan episod besar-besaran berlangsung sejak minggu lalu.

Masih mengambil contoh dari Hong Kong, demonstran Bangkok menghantar makluman melalui kumpulan yang baharu terbentuk di Telegram kerana aplikasi itu lebih selamat.

AFP melaporkan di bandar Asok, sekumpulan demonstran berlatih memberi isyarat tangan untuk saling memberi amaran jika pihak berkuasa mengeluarkan tindakan keras.

Profesor sejarah di Universiti Chulalongkorn, Wasana Wongsurawat berkata, mereka perlu menggunakan cara inovatif untuk berkomunikasi selepas peranti dan pembesar suara dirampas.

Beliau menyaksikan demonstran menggunakan 'telefon hutan' untuk memberi tanda kedatangan polis atau meminta alat-alat yang diperlukan seperti payung bagi mereka yang berada di baris hadapan.

Seseorang akan menjerit 'meriam air datang' dan maklumat itu akan tersebar ke seluruh kumpulan.

Khamis lalu, Prayut membatalkan perintah darurat selepas gagal mengawal demonstrasi harian yang menuntut pengunduran dirinya.

Malah, demonstran memberi tempoh tiga hari untuk Prayut memenuhi tuntutan mereka atau mereka akan kembali dengan permintaan lebih tinggi.

Sehingga artikel ini ditulis, Prayut masih memegang jawatan Perdana Menteri Thailand dan gerakan anak muda di negara berkenaan pasti tidak berputus asa memastikan permintaan mereka dipenuhi.

Sebagaimana francais baharu The Hunger Games yang dikatakan bakal ditayangkan tahun ini, drama demonstrasi Bangkok juga mungkin berterusan. Apa yang berlaku di negara jiran kita harapnya dapat diselesaikan dengan baik seperti peribahasa 'buruk dibuang dengan rundingan, baik ditarik dengan muafakat'.

Penulis adalah Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 5:59 AM