SEORANG budak lelaki memegang gambar kartun yang menggambarkan Macron. FOTO EPA
SEORANG budak lelaki memegang gambar kartun yang menggambarkan Macron. FOTO EPA
Nadir Al-Nuri

Sambutan Maulidur Rasul tahun ini hadir dengan serangan hebat dan badai Islamofobia di seluruh dunia.

Ia dicetuskan Presiden Perancis Emmanuel Macron yang kerana hampir lemas dan tenggelam dalam kemelut negaranya, terpaksa mencari tempat berpaut.

Kerajaan Macron adalah kerajaan yang gagal dan sesetengah laman berita melabelnya sebagai Presiden Perancis paling dibenci dalam sejarah.

Demonstrasi kemarahan terhadap polisi-polisinya bermula sejak 2018 membabitkan krisis sosial yang teruk kemudian berterusan pada tahun lalu kerana membantah perubahan dalam sistem pencen, kenaikan harga minyak, keganasan polis serta pengangguran.

Ia berakhir dengan mogok pengangkutan awam yang melumpuhkan negara.

Kalau anda masih ingat pasca letupan bahan kimia di Pelabuhan Lubnan beberapa bulan lalu Macron hadir ke sana, cuba membaiki imejnya dengan menjadi 'hero' di pentas antarabangsa.

Nampaknya usaha itu gagal kerana dia terpaksa beralih ke strategi lebih agresif – memancing sokongan kelompok berhaluan kanan dengan menjual isu perkauman dan Islamofobia.

Apabila guru warga Perancis, Samuel Paty dibunuh pemuda Chechnya kerana menunjukkan karikatur Nabi Muhammad SAW ketika mengajar, retorik Macron semakin memuncak bagai api yang disimbah minyak.

Di sebalik kemelut yang berlaku, menarik untuk kita melihat latar belakang suasana beragama di Perancis dan saya berkongsi pengalaman seorang rakan bekas penuntut di sana, Dr Khaliesah Kamil yang sudah sembilan tahun memanggil Perancis sebagai rumah keduanya.

Petikan di bawah adalah suntingan perkongsian dari laman Facebook beliau.

Perancis adalah antara negara Eropah yang membuka sempadan pada awal 2000 untuk menyambut dan melindungi pelarian Islam dari Chehnya sebagai pelarian politik ketika peperangan di antara mereka dengan tentera Rusia.

Kita maklum Perancis adalah negara yang mengamalkan sekularisme yang dalam bahasa Perancis disebut laïcité iaitu pemisahan pengamalan agama daripada semua aspek kehidupan. Mengikut undang-undang, kami pelajar tidak dibenarkan menunjukkan kepada umum apa-apa pemakaian, simbol, tanda atau perbuatan yang berkaitan dengan agama kami.

Tetapi, disebabkan sifat tolak ansur, sebahagian mereka hanya memejamkan mata dengan perkara ini. Manakala, sebahagian lain yang berkeras akan merumitkan kelangsungan hidup kami sebagai mahasiswa dan pekerja seperti yang pernah dialami sendiri oleh saya dan wanita bertudung yang lain.

Disebabkan kejadian tadi (pembunuhan guru), sekali lagi kami yang terang-terangan beragama Islam ini terpaksa menanggung implikasi provokasi itu yang dianggap mewakili agama kami.

Pada 21 Oktober lalu, sebagai serangan balas, dua wanita Perancis-Algeria ditikam berkali-kali berdekatan Eiffel Tour selepas dipaksa membuang tudung mereka.

Dengan bantuan orang awam, mereka sempat dikejarkan ke hospital dan dapat diselamatkan.

Bagaimanapun, kelompok rakyat Perancis yang masih menyantuni penganut Islam dan tidak terpengaruh dengan provokasi ini adalah lebih ramai jumlahnya.

Dari segi kemudahan dan bantuan pula, kerajaan Perancis sangat pemurah, adil dan saksama tanpa mengira warganegara, bangsa dan agama menjadikan kami selesa berada di tanah air kedua kami ini.

Persengketaan fahaman dan ideologi adalah perkara yang amat kompleks untuk dileraikan dan memerlukan kesabaran.

Penulisan Dr Khaliesah ini jauh lebih panjang, tetapi terpaksa disunting.

Pokoknya isu Islamofobia tidak semudah memboikot produk dan membuat demonstrasi marah walaupun ia tidak salah.

Tetapi ,ia isu yang sangat sensitif dan perlu diurus dengan berhati-hati.

Hakikatnya, bila dan di mana sahaja ada rakyat Islam yang dihina, dicabut tudung dan dilayan dengan tidak saksama, di sebaliknya ada kelompok lebih besar yang mendokong kesamarataan dan kebebasan beragama.

Kerana itu apa-apa tindakan perlu ditimbang tara dengan neraca kebijaksanaan.

Jangan kerana tindakan tak berakhlak, nama agama semakin rosak. Jangan kerana bertindak tanpa berfikir, peluang dakwah makin terpinggir.

Bersempena Maulidur Rasul belek semula sirah Nabi dan perhalusi lemah-lembut Abu Bakar Alaihissalam yang mudah meluncur air matanya, pada masa sama jangan lupa Umar Al-Khattab Alaihissalam yang garangnya seperti singa.

Dan banyakkan berselawat kerana Baginda Rasulullah sebaik-baik teladan dan pedoman buat kita semua.

Penulis adalah rakyat Malaysia tunggal menetap di Palestin. Beliau boleh dihubungi melalui WhatsApp +60135132140 untuk pertanyaan dan kerjasama. Salurkan sumbangan ke Tabung Kecemasan Covid-19 melalui akaun Persatuan Cinta Gaza Malaysia Maybank 564810507826

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 7:15 AM