KRU produksi penggambaran sebuah drama mengenakan  pelitup muka dan penjarakan fizikal mengikut SOP yang ditetapkan.
KRU produksi penggambaran sebuah drama mengenakan pelitup muka dan penjarakan fizikal mengikut SOP yang ditetapkan.
Najiy Jefri

Rezeki itu milik Allah. Dia memberi rezeki itu kepada sesiapa sahaja di dunia ini dengan apa cara sekali pun.

Maka, bersyukurlah dengan apa yang sedang kita miliki pada waktu yang sukar dan mencabar ini.

Walaupun sedikit tetapi dalam sedikit itulah keberkatannya kerana Dia sahaja yang tahu.

Melihat keadaan dan situasi negara yang mencatatkan peningkatan kes positif Covid-19, ramai di antara kita yang sedang berjuang untuk meneruskan kehidupan.

Tiada siapa mahu menagih simpati atau mengharapkan bantuan semata-mata. Selagi mampu bekerja menggunakan tulang empat kerat, selagi itulah setiap orang masih gigih bekerja keras dan kuat untuk mencari rezeki halal.

Begitu juga dengan penggiat seni dan kru produksi belakang tabir yang sanggup bekerja siang dan malam semata-mata mencari rezeki untuk keluarga.

Maka, janganlah kita sebagai manusia begitu kejam sehingga ada segelintir yang mahu memboikot acara hiburan daripada terus berlangsung untuk tatapan penonton di rumah.

Dalam keadaan sukar ini apa saja rezeki yang ada, insan seni atau kru belakang tabir akan rebut peluang kerana mereka bukan menerima gaji bulanan seperti majoriti rakyat Malaysia yang mempunyai pendapatan tetap dan hidup selesa.

Sebaliknya, kru produksi kebanyakannya hanyalah pekerja kontrak yang menunggu tawaran kerja untuk mereka laksanakan dengan jayanya.

Ada kerja adalah duit. Kalau tiada kerja di belakang tabir, bagaimana individu ini mahu meneruskan hidup? Di manakah kita sewaktu mereka memerlukan?

Jadi janganlah kita bersikap terlalu sombong dan menghentam sesuka hati.

Cubalah pandang sesuatu perkara itu dari sudut yang positif dan fikirkan impaknya kepada diri mereka.

Percaya atau tidak, tiada siapa nak bekerja atau keluar rumah ketika kes Covid-19 sedang mencatatkan angka yang tinggi.

Pastinya kita semua nak duduk rumah saja kerana mahu bilangan kes positif berkurang dengan segera.

Namun nak buat macam mana. Jika inilah punca rezeki mereka untuk meneruskan kehidupan, jangan pula kita yang mempunyai gaji tetap setiap bulan ini mahu menyekatnya.

Konsepnya mudah, jika acara hiburan yang ditayangkan secara langsung di televisyen mengganggu penglihatan anda, janganlah tonton. Itu saja!

Jika anda tidak menyokong program hiburan diadakan di kaca TV, jadi janganlah sokong.

Mereka tidak marah atau berkecil hati kerana mereka tahu ada penonton lain yang sudi dan menghargai penat lelah mereka.

Janganlah kita melihat sesuatu acara hiburan itu di atas pentas atau depan kamera sahaja, sebaliknya lihatlah berapa ramai tulang belakang yang perlu menyiapkan sesuatu acara itu untuk berlangsung dengan sempurna.

Ramai dalam kalangan orang produksi yang memerlukan kerja ketika ini. Jika tidak percaya tunggu sehingga di akhir rancangan dan lihatlah nama-nama individu yang masih perlukan kerja untuk meneruskan kehidupan di bahagian ending credit.

Soal prosedur operasi standard (SOP) janganlah risau kerana acara yang berlangsung di TV wajib mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan selain dipantau Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Jika berlaku perlanggaran, penganjur akan dikenakan tindakan.

Justeru, janganlah setiap program hiburan yang ingin dilakukan di kaca TV terus dibantah atau diboikot tanpa mengambil kira individu lain yang mengharapkan tawaran itu untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka.

Sebagai individu tanamkan sikap saling sayang-menyayangi dan janganlah pentingkan diri sendiri sahaja.

Penulis, Wartawan Hiburan Harian Metro

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2020 @ 5:59 AM