FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Rencana

Sejahtera, sihat dan cergas adalah anugerah yang paling berharga dalam kehidupan seseorang. Namun, untuk mencapai dan memiliki tahap kesihatan serta kecergasan diri yang baik bukanlah sesuatu yang mudah. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kesihatan ialah satu tahap atau keadaan seseorang individu sempurna dari segi fizikal, mental dan sosial yang juga bukan sekadar bebas daripada penyakit, kecacatan serta kecederaan.

Kesempurnaan dari aspek fizikal, mental dan sosial adalah satu konsep kesihatan secara menyeluruh yang memberikan kesan positif dalam kehidupan seseorang. Konsep kesihatan dan kecergasan pada masa kini dilihat lebih dinamik dan sentiasa berubah mengikut gaya hidup dan keadaan semasa.

Masyarakat kini menunjukkan kesedaran terhadap aktiviti fizikal bagi meningkatkan kesihatan dan kecergasan diri. Namun, adakah kesedaran yang ditunjukkan seiring dengan amalan dan aktiviti fizikal yang dilakukan?

Dalam satu kajian yang dilakukan oleh Hishamudin & Hafiz (2015) bagi mengukur tahap kesedaran dan amalan kecergasan fizikal dalam kalangan kakitangan di sebuah universiti mendapati tahap kesedaran adalah lebih tinggi berbanding amalan kecergasan fizikal. Dapatan ini memberikan gambaran bahawa seseorang individu mempunyai kesedaran yang tinggi berbanding amalan kecergasan fizikal dalam kehidupan seharian.

Kesihatan dan kecergasan diri adalah satu pilihan dan bukan secara kebetulan

Bagi meningkatkan kesihatan dan kecergasan diri seseorang perlulah memilih mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengamalkan konsep kecergasan menyeluruh merangkumi aspek fizikal, rohani, emosi, intelektual dan sosial.

Konsep multi dimensi dalam kecergasan menyeluruh mampu memberikan kesan yang positif terhadap kesihatan dan kecergasan diri seseorang apabila dilakukan secara konsisten.

Komponen kecergasan fizikal menekankan kepada keupayaan individu untuk berfungsi secara berkesan dalam menghadapi cabaran dan tugasan harian serta menggunakan masa lapang dengan efektif di samping mempunyai lebihan tenaga untuk menghadapi kecemasan.

Komponen kecergasan rohani merujuk kepada keupayaan individu untuk membentuk satu sistem nilai, bertindak berlandaskan kepercayaan dengan menetapkan dan melaksanakan matlamat kehidupan yang bermakna dan konstruktif. Seterusnya bagi kecergasan emosi pula, merujuk kepada keupayaan untuk mengawal tekanan dan menyatakan emosi dengan sewajarnya.

Kecergasan intelektual pula adalah keupayaan individu untuk belajar dan menggunakan pelbagai informasi secara efektif untuk diri sendiri, keluarga dan perkembangan kerjaya. Kecergasan sosial pula merujuk kepada keupayaan inidividu berinteraksi dengan orang lain bagi mewujudkan hubungan yang bermakna ke arah peningkatan kualiti kehidupan.

Dalam kesibukan kerja seharian, kita perlulah bijak memilih dan melakukan aktiviti yang memberi manfaat kepada kesihatan dan kecergasan diri seperti selalu menggunakan tangga serta meletakkan kenderaan lebih jauh dari tempat kerja. Kita juga boleh melakukan sedikit senaman ringan di tempat kerja dengan meregangkan tangan atau meluruskan kaki supaya peredaran darah dapat berjalan dengan baik. Selain itu, menarik nafas panjang beberapa kali mampu memberikan sedikit kelegaan dan ketenangan. Sentiasalah memberikan senyuman kepada rakan sekerja dan bertanya khabar antara satu sama lain juga mampu memberikan kesan positif kepada seseorang.

Carilah masa sekitar 20 hingga 30 minit sehari sama ada pada waktu pagi atau petang untuk melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya tiga hingga empat kali seminggu seperti bersenam, berbasikal, berlari, berenang dan pelbagai aktiviti lain kerana kesan daripada melakukan aktiviti fizikal ini bukan saja baik untuk kesihatan, malah baik untuk aspek psikologi serta sosial.

Aktiviti fizikal juga mampu mengurangkan tekanan darah, kebimbangan, kesedihan serta mengawal berat badan seseorang. Individu yang sentiasa bersenam dan melakukan aktiviti fizikal mampu meningkatkan sistem kardiovaskular, meningkatkan daya pemikiran serta mampu mengawal emosi diri.

Bagi memudahkan kita merancang dan melakukan aktiviti fizikal dan senaman, bolehlah merujuk kepada piramid aktiviti fizikal dan senaman bagi meningkatkan tahap kesihatan dan kecergasan diri mengikut keperluan masing-masing. Perlu diingatkan, setiap individu mempunyai tahap kecergasan yang berbeza, oleh itu bagi memulakan aktiviti fizikal seseorang individu itu perlulah peka terhadap respons tubuh semasa melakukan senaman atau aktiviti fizikal. Mulakan aktiviti senaman atau riadah dengan intensiti yang rendah dan penambahan intensiti boleh dilakukan mengikut keperluan dan jenis aktiviti yang dilakukan.

Tip bagi memulakan aktiviti fizikal atau riadah

a. Rancang sesi senaman/fizikal anda

b. Mulakan aktiviti regangan dan memanaskan badan (warm-up)

c. Lakukan aktiviti dengan intensiti yang rendah terlebih dahulu

d. Pastikan persekitaran tempat aktiviti adalah selamat

e. Peka terhadap perubahan kepada tubuh yang berlaku semasa melakukan aktiviti

f. Berhenti jika terlalu penat

g. Melakukan aktiviti menyejukkan badan (cool down) setelah selesai aktiviti fizikal

Aktiviti fizikal yang dilakukan secara konsisten akan memberikan kesan yang positif kepada sistem tubuh dengan mengurangkan risiko penyakit kronik, menguatkan jantung, meningkatkan stamina, melancarkan peredaran darah, meningkatan sistem pertahanan tubuh, mengurangkan lemak dan mampu mengekalkan berat badan yang ideal serta meningkatkan motivasi diri seseorang. Jadi jangan tunggu lagi, jom bersenam dan lakukan aktiviti fizikal sekerap yang boleh. Kekal sihat dan cergas itu satu pilihan.

Penulis Pensyarah Kanan Sains Sukan, Sekolah Pendidikan,

Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,

UTM Skudai, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2020 @ 7:00 AM