PELBAGAI program kesenian dijalankan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebagai amalan norma baharu bagi pencegahan penularan Covid-19.
PELBAGAI program kesenian dijalankan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebagai amalan norma baharu bagi pencegahan penularan Covid-19.
minda

Tidak keterlaluan dikatakan 2020 bukan tahun terbaik buat kebanyakan orang malah hampir seluruh penduduk bumi.

 Tahun yang dicanang bakal memberikan sinar bergemerlapan dan penuh kecanggihan, malangnya didatangkan malapetaka yang serba kedukaan.

 Penularan wabak Covid-19 ternyata mengubah 360 darjah kehidupan. Tidak ada yang terkecuali, semuanya meratapi nasib yang belum pasti kesudahannya. Entah gembira atau terus lara.

 Di negara kita, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu menjadi medan penentu untung rugi rutin harian selepas itu. Tidak ada siapa yang mampu menidakkan takdir apabila hampir semua industri dalam negara terkena tempiasnya.

 Syarikat mula mengalami defisit, membuang pekerja malah terpaksa gulung tikar lantaran sudah tidak mampu menanggung kerugian. Nasib ribuan pekerja hampir tidak terbela. Sana sini meminta bantuan demi meneruskan kehidupan. Bagi yang masih berkemampuan, kempen dan kutipan dana dipergiatkan.

 Begitu juga kisahnya dalam dunia hiburan. Warna-warni dan kemeriahan menjadi kelam. Lumpuh, lemas dan hampir tenggelam. Tanpa sebarang persediaan, pemain industri hanya mampu memandang dan merenung masa depan.

 Hanya tangisan dan kesengsaraan dikongsikan bagi membolehkan insan yang mempunyai sedikit kelebihan menghulurkan sumbangan. Tanpa mengira status terbaik, popular, diva atau suam kuku, masing-masing bersatu hati. Ketika ini juga 'warna sebenar' diri terserlah.

 Dalam keadaan serba tidak keruan, ada yang mengambil kesempatan untuk meraih perhatian. Sengaja mencetuskan perbalahan supaya diri terserlah kehebatan. Netizen pula bersedia 24 jam untuk menyerang. Salah sikit, netizen lancarkan perang.

 Drama, penerbit mengeluh, pengarah mula gelisah, kru belakang tabir mencari arah dan pelakon berkira-kira sama ada cukup atau tidak untuk menampung kos gaya hidup yang mewah. Sementara stesen TV pula mengulang tayang siaran yang ada untuk penonton yang terpaksa duduk di rumah.

 Persembahan pentas dihentikan. Penyanyi dan semua yang terbabit tergamam kerana pendapatan kian berkurangan. Beberapa konsert yang dirancang ditunda malah ada yang dibatalkan. Kerugian berganda kerana segala persediaan sudah dimulakan.

 Panggung wayang juga ditutup. Filem yang sudah masuk panggung, menanggung rugi kerana tidak ada penonton. Bagi filem yang bakal ditayangkan ditukar tarikh tayangan. Penerbit mula berfikir panjang, sama ada mahu tayang atau simpan.

 Kini, semuanya perlahan-lahan cuba bangkit bagi mengembalikan semula apa yang sudah hilang. Bunyinya mustahil, tapi itulah pengorbanan. Semua orang perlu kembali menjalani rutin demi sesuap nasi.

Program TV juga kembali bernyawa biarpun tanpa kehadiran penonton, namun tetap meriah. Jika pun ada, ia mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang tersedia dalam skala kecil saja. Bukan sumbat dengan lautan manusia yang datang bersorak dan terkinja-kinja.

 Kalau boleh diputarkan waktu, tidak mahu ada 2020. Padamkan ia dari kalendar kerana ia sungguh haru-biru. 2020 pergilah jauh. Walaupun mustahil dipadam daripada catatan waktu, 2020 memberikan kisah tersendiri yang bakal menjadi cerita buat anak cucu.

 Berbaki beberapa jam melangkah ke 2021, diharap ada sinar baru. Datanglah yang indah-indah, hadirkanlah warna dan berikanlah senyuman yang paling bermakna.

Penulis wartawan hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2020 @ 7:00 AM