GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Noor Mohamad Shakil Hameed

Serangan pandemik Covid-19 boleh dikatakan sudah menghilangkan sinar dan harapan yang kita sandarkan pada tahun 2020 sebagai tahun yang istimewa kepada seluruh rakyat Malaysia.

Ironinya, bukan saja kita, tetapi seluruh penduduk dunia terkesan dan mengharungi kehidupan yang penuh mencabar sepanjang tahun 2020 akibat wabak ini.

Jujurnya kita tidak pernah menduga mahupun membayangkan krisis kesihatan yang disusuli dengan krisis ekonomi seperti ini akan menghantui kehidupan sepanjang tahun 2020.

Hakikatnya, sejak 12 bulan yang lalu, pandemik ini sudah mencetuskan krisis kesihatan yang sangat serius, melumpuhkan ekonomi dunia, memberi tekanan yang luar biasa kepada masyarakat dan hampir empat bilion individu terkurung di rumah.

Ringkasnya, 2020 adalah tahun yang mengubah landskap dunia dengan cara yang tidak pernah kita bayangkan sama sekali. Lebih 1.68 juta individu maut dan lebih 76 juta penduduk dunia disahkan dijangkiti virus Covid-19.

Bagi rakyat kita, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Pemulihan (PKPP), PKP Diperketatkan (PKPD) dan PKP Bersyarat (PKPB) yang mengubah cara hidup secara total adalah suatu persekitaran yang cukup baharu.

Ini ditambah pula dengan tuntutan untuk mengadaptasi dan mengamalkan pelbagai norma baharu terutamanya dari segi penjagaan kesihatan.

Malah, budaya bekerja dari rumah (BDR), pelaksanaan pelbagai mesyuarat, program dan aktiviti secara dalam talian, termasuk sesi pembelajaran dan pengajaran (PdP) dan kerancakan aktiviti perniagaan dan jual beli secara dalam talian atau maya dilihat mula menjadi kebiasaan baharu dalam kehidupan seharian kita.

Di samping kesan dari segi kesihatan, rakyat juga berhadapan dengan kesan dan impak ekonomi yang cukup dahsyat akibat penularan wabak ini yang dikatakan berpunca dari Wuhan, China.

Akibatnya pada 2020, ramai yang hilang pekerjaan apabila majikan terpaksa menamatkan perkhidmatan demi mengurangkan kerugian dan kos operasi, peniaga juga menanggung kerugian yang besar apabila terpaksa menutup operasi untuk suatu tempoh yang lama, malah banyak perniagaan dan syarikat terpaksa gulung tikar sepenuhnya kerana sudah tidak mampu bertahan lagi.

Lebih tragis lagi, penutupan sekolah untuk tempoh masa yang lama pula dilihat memberikan kesan yang besar kepada pencapaian akademik anak-anak, ini ditambah pula dengan keadaan pembelajaran dalam talian yang dilihat masih kurang efektif. Dalam pada itu, serangan pandemik politik pada 2020 juga dilihat mengeruhkan lagi keadaan apabila mula mengganggu kehidupan rakyat serta ketenteraman awam di negara kita.

Negara menyaksikan runtuhnya sebuah kerajaan dalam tempoh 22 bulan dan muncul pula sebuah kerajaan dengan gabungan yang baharu. Akibatnya, kita menerima pelantikan Perdana Menteri yang ke-8 pada Mac lalu.

Namun pergolakan politik belum berakhir apabila kestabilan kerajaan terus dipertikai, berlakunya aktiviti lompat parti dengan agresif serta bertukar gantinya beberapa kerajaan negeri.

Jadi, secara keseluruhannya, 2020 adalah tahun yang cukup menggerunkan dan mahu kita lupakan dengan segera, sekali gus memulakan 2021 dengan sinar harapan yang baharu.

Antara harapan besar 2021 ialah, kemasukan vaksin yang dijangka Februari ini secara berperingkat boleh membantu mengeluarkan kita daripada trauma dan krisis kesihatan dihadapi.

Dalam konteks ini kita berharap pihak kerajaan dapat menangani dengan segera golongan anti vaksin serta menyelesaikan persoalan dan polemik berkaitan status halal vaksin itu demi keselamatan dan keyakinan seluruh rakyat Malaysia. Kita juga berharap ekonomi rakyat dan negara akan mula pulih dan berkembang dengan segera.

Semoga pelbagai inisiatif dan insentif yang telah disediakan oleh kerajaan melalui Belanjawan 2021 akan mula memberikan impak yang positif terhadap kebajikan dan kehidupan rakyat serta pertumbuhan ekonomi negara.

Harapan terbesar ialah pasaran kerjaya akan kembali rancak dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan, di samping aktiviti perniagaan juga akan mula mencatatkan momentum yang positif.

Dunia politik tanah air juga bakal melalui pembaharuan yang besar pada 2021 apabila Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dijangka diadakan pada bila-bila masa selepas serangan wabak Covid-19 ini berakhir atau reda.

Besarlah harapan kita agar dapat membentuk kerajaan yang kuat dan stabil berpaksikan rakyat serta sentiasa menjunjung demokrasi.

Hal ini sangat penting kerana kita memerlukan sebuah kerajaan yang dapat merasai denyut nadi rakyat, menjaga kebajikan, kesihatan dan keselamatan rakyat serta sentiasa bersama rakyat baik ketika susah mahupun senang.

Justeru, kita berharap tahun baharu ini akan mengubah mentaliti ahli politik kita yang sering meletakkan kepentingan peribadi mengatasi kepentingan rakyat.

Jujurnya, kita memerlukan ahli politik yang berintegriti, matang, rasional, adil dan saksama yang boleh memberikan sumbangan tanpa mengira agama, bangsa dan ideologi politik.

Tuntasnya, 2020 bukanlah tahun yang kita dapat miliki semua yang dihajati, sebaliknya menjadi tahun yang mengingatkan kita keperluan untuk mensyukuri dan menghargai apa yang kita ada selama ini.

Semoga kita ambil iktibar dan memulakan tahun 2021 dengan sinar harapan yang lebih positif.

Umpama pelangi selepas hujan, kita berharap kehidupan manusia akan lebih baik dan kembali ceria pada tahun baharu. Selamat menyambut tahun baharu 2021.

Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2021 @ 6:00 AM