SUDAH tiba masanya ujian makmal dilakukan terhadap semua produk yang menggunakan logo halal.
SUDAH tiba masanya ujian makmal dilakukan terhadap semua produk yang menggunakan logo halal.
Dr Mohd Sukri Hassan

RAKYAT Malaysia dikejutkan dengan isu kartel daging sejuk beku di tengah-tengah pendemik Covid-19 yang belum selesai.

Tambahan pula dilaporkan perkara ini sudah berlaku selama 40 tahun yang membabitkan dua generasi.

Walaupun kesahihan tempoh masa itu belum dipastikan, yang pasti rakyat Malaysia beragama Islam amat marah dengan pendedahan itu.

Pelbagai komen dan ulasan di suarakan di media sosial sama ada yang membina atau sebaliknya.

Akibatnya, ramai pengguna mulai ragu-ragu untuk membeli produk daging beku dan tertanya-tanya jenama apakah yang terbabit?

Ada yang mengambil keputusan memulaukan terus produk daging sejuk beku dan memilih daging tempatan walau pun harganya lebih mahal.

Ini boleh memberikan kesan kepada jenama lain yang tidak terlibat dan juga produk-produk berasaskan daging seperti burger, bebola daging dan sausage.

Persijilan Halal Malaysia (Halal JAKIM) adalah terbaik di dunia dan menjadi rujukan bagi badan persijilan halal lain di dunia.

Oleh itu, isu kartel daging sejuk beku memberikan satu tamparan pada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan agensi lain yang terbabit dan ia perlu ditangani segera.

Sudah pasti pihak Jakim telah dan sedang mengambil langkah untuk membendung supaya perkara itu tidak berulang dan mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap tagline Jakim, 'Yakini Halal Malaysia'.

Jakim seperti yang diketahui mempunyai sebuah makmal analisis halalnya sendiri iaitu Pusat Analisis Halal Malaysia atau lebih dikenali sebagai Malaysia Halal Analysis Centre (MyHAC) yang menelan belanja sebanyak RM56.7 juta di Bandar Enstek, Nilai dan sudah beroperasi sejak 2015.

MyHAC dirasmikan pada 29 Mac 2018 dan ia mempunyai cukup kelengkapan peralatan makmal yang serba canggih.

Matlamat asal penubuhannya ialah untuk menjadi pusat rujukan analisis halal di dunia. Namun, sehingga sekarang kemampuannya masih belum terbukti.

Semakan daripada portal Jakim menunjukkan MyHAC baru saja menjalani Penilaian (Pre-Assessment Audit) untuk MS ISO/IEC 17025 pada tahun ini dan hanya kaedah analisis alkohol yang dimohon setelah beroperasi hampir lima tahun.

Perkara ini amat memeranjatkan semua pihak dan Jakim perlu bergerak lebih pantas jika ingin menerajui bidang analisis halal sebagaimana digariskan pada awal penubuhannya.

Ada banyak lagi produk berasaskan daging yang menggunakan logo halal yang perlu dipantau oleh Jakim demi memastikan sesuatu produk itu melepasi ujian makmal setelah persijilan halal diberikan.

Ini perlu dilakukan dengan mengambil sampel rawak di pasaran dan melakukan ujian di makmal. Persijilan halal yang bergantung kepada dokumen perisytiharan halal tanpa disertai dengan ujian makmal tidak boleh diamalkana lagi setelah terbongkarnya isu kartel daging sejuk beku.

Kaedah analisis halal terhadap daging yang disembelih dan tidak disembelih dibangunkan penyelidik di dalam atau di luar negara dan ia boleh dirujuk untuk diguna pakai.

Sebagai contoh artikel 'Review MEATabolomics: Muscle and Meat Metabolomics in Domestic Animals' oleh Susumu Muroya (2020) yang diterbitkan pada Mei 2020 oleh Metabolites.

Dalam artikel ini dibincangkan penggunaan teknik kemometrik untuk menganalisis data multivariate daripada kromatografi dan spektroskopi.

Ia boleh dirujuk sebagai panduan untuk membangunkan kaedah analisis dan mendapat akreditasi MS ISO/IEC 17025. Ini penting supaya keputusan analisis diterima oleh mahkamah jika membabitkan pendakwaan.

Untuk langkah permulaan, Jakim boleh menggalakkan pengilang menghantar sendiri sampel untuk diuji di MyHAC atau makmal panel yang diiktiraf Jakim.

Ini boleh mendidik pengilang memahami kepentingan ujian makmal di samping memastikan status halal produk mereka sentiasa terjamin dan 'diyakini'.

Terdapat beberapa universiti dan syarikat swasta yang sudah lama mempunyai makmal halal dan memperoleh sijil akreditasi MS ISO/IEC 17025 bagi analisis produk halal.

Oleh kerana Jakim tidak mewajibkan analisis ke atas produk halal, ada antara makmal berkenaan sudah ditutup dan yang masih beroperasi sedang menunggu masa untuk ditutup.

Penglibatan mereka dalam membantu industri halal negara perlu diambil perhatian kerana sebagai menyahut dasar kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju bidang halal bukan saja bagi persijilan dan latihan malah dari sudut analisis halal.

Ujian makmal perlu dijalankan ke atas produk yang mempunyai logo halal Jakim supaya ia terus 'diyakini'.

Penulis Felow Penyelidik International Fatwa and Halal Centre (IFFAH)Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2021 @ 4:35 AM