YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama anakanda Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah (dua dari kiri) berkenan beramah mesra dengan mangsa banjir cilik ketika berangkat melawat pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Isap, Kuantan, semalam. FOTO BERNAMA
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama anakanda Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah (dua dari kiri) berkenan beramah mesra dengan mangsa banjir cilik ketika berangkat melawat pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Isap, Kuantan, semalam. FOTO BERNAMA
Syafil Syazwan Jefri

Tahun 2020 menyaksikan pelbagai perkara dan insiden mengejutkan berlaku, sekali gus meninggalkan kesan buat hampir semua penduduk dunia.

Tatkala semua orang mendambakan sesuatu yang lebih baik, Tuhan jentik hati kita semua dengan dugaan besar apabila dunia dilanda musibah Covid-19.

Melabuhkan tirainya, kita semua melangkah masuk ke 2021 dengan iringan doa serta harapan supaya tahun baharu ini menjadi tahun yang lebih baik.

Namun, hati kita semua sekali lagi diduga apabila pembukaan 2021 dimulakan dengan pelbagai ujian buat sebahagian daripada kita terutama mereka yang tinggal di pantai timur.

Ketika ramai bersiap untuk meraikan sambutan tahun baharu dengan normal baharu, negara dikejutkan dengan insiden ombak besar yang menghempas persisiran Terengganu.

Rentetan daripada peristiwa itu, Malaysia berdepan bencana banjir. Pahang menjadi antara negeri yang berdepan situasi banjir besar dan pada masa sama, diduga pula dengan insiden tanah runtuh di beberapa kawasan tanah tingginya. Begitu juga dengan Johor.

Saat kita berharap supaya 2021 menjadi tahun yang lebih baik, siapa sangka, pembukaan tahun ini sudah menitiskan air mata ramai orang.

Dalam pada negara kita terutama barisan petugas barisan hadapan berjuang memerangi Covid-19 yang entah bila penghujungnya, datang pula dugaan besar ini.

Selebriti juga tidak putus-putus menitipkan doa supaya dugaan ini dapat diangkat Tuhan dan dihapuskan.

Antara yang menitipkan doa adalah penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang meluahkan simpati dan sedih apabila keluarganya turut terjejas akibat banjir.

Lebih menyayat hati, Siti berkongsi gambar sekolah tempatnya menuntut ilmu yang keadaannya hampir tenggelam.

Tidak hanya Siti, ada juga selebriri lain yang turut menunjukkan rasa simpati, bahkan turun padang menyumbangkan apa yang termampu antaranya, Shuib Sepahtu.

Bercakap mengenai banjir, rasa terkilan muncul apabila di media sosial ada juga pihak yang masih menuding jari di saat orang lain giat membantu dan bersusah payah menyelamatkan diri.

Kata orang, kalau kita tak mampu membantu dari segi fizikal atau material, gunakan lidah dan tadah tangan untuk berdoa.

Bukan menulis ciapan yang boleh menimbulkan pertelingkahan dan pada masa sama, tidak memberi manfaat kepada mangsa banjir.

Isu mengenai siapa salah dan siapa punca banjir tidak salah diperdebatkan, cumanya, buat masa sekarang, kita sebagai anggota masyarakat seharusnya bersama-sama membantu dan memberi sokongan moral kepada mangsa.

Belum seminggu pertama, pelbagai dugaan dan ujian diturunkan Tuhan. Harapnya, kita semua terus kuat untuk menghabiskan sisa 2021 yang masih panjang. Insya-Allah.

Penulis wartawan hiburan, Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2021 @ 7:20 AM