MOKHTAR antara legenda bola sepak tanah air.
MOKHTAR antara legenda bola sepak tanah air.

SAINGAN bola sepak Liga Super musim ini bakal menyaksikan lapan jurulatih asing membimbing pasukan berstatus FC berbanding hanya lima pada musim 2020.

Ironinya, penggunaan jurulatih luar ini bukan perkara baharu dalam dunia sukan antarabangsa termasuk di negara kita.

Cuma yang sering menjadi persoalan ialah bagaimana kita mampu memanfaat dan mengoptimumkan kehadiran mereka dalam meningkatkan kualiti dan mutu sukan terutama bola sepak di negara kita.

Untuk rekod, Liga Super kali ini jurulatih asing yang terbabit datang dari beberapa benua dan negara iaitu tiga dari Eropah, selain masing-masing satu dari Mexico, Chile, Amerika Syarikat, Australia dan Singapura.

Dalam hal ini, Eropah dilihat mendominasi kancah bola sepak elit musim ini iaitu dua daripada Jerman, manakala satu daripada Republik Czech.

Antara pasukan yang menggunakan perkhidmatan jurulatih asing ini ialah UiTM FC, Selangor FC, Penang FC, Perak dan Johor Darul Ta'zim (JDT).

Hakikatnya, kemasukan jurulatih asing ini mampu memberi impak dan nafas baharu kepada pasukan bola sepak tempatan.

Nama besar seperti Karl-Heinz Weigang, Robert Alberts, Ken Worden, Alan Vest serta ramai lagi adalah antara figura yang cukup terkenal dan pernah menempa nama di kancah bola sepak tempatan sejak era Liga Semi Pro.

Pasukan yang mereka kemudi merekodkan pelbagai kejayaan yang terus segar dalam ingatan peminat.

Namun, apakah itu saja yang kita mahukan dan sejauh mana ia memberi impak kepada prestasi skuad kebangsaan?

Jujurnya sebagai peminat bola sepak, penulis dan peminat sebenarnya mahu melihat kejayaan skuad bola sepak kebangsaan dan bukan hanya tertumpu kepada kejayaan pasukan negeri atau berstatus kelab dalam liga tempatan semata-mata.

Jadi, kita perlu mengoptimumkan kehadiran mereka ini sebaik yang mungkin.

Ringkasnya, perlu ada sasaran dan strategi serampang dua mata supaya boleh mencapai situasi menang-menang iaitu menghasilkan kejayaan kepada pasukan yang mereka bimbing dan pada masa sama boleh menyumbang secara tidak langsung ke arah kecemerlangan pasukan kebangsaan.

Jadi, kita berharap pihak pengurusan pasukan yang melantik jurulatih asing melihat semula peranan jurulatih ini.

Fokus tidak boleh hanya kepada meraih sebanyak mungkin piala dalam kancah bola sepak tempatan semata-mata, sebaliknya perlu diberi tugas dan tanggungjawab yang lebih besar dari itu.

Antaranya, perlu ada penetapan petunjuk prestasi utama (KPI) yang khusus seperti melatih secara serius pemain tempatan sehingga sejumlah daripada mereka layak menyarung jersi kebangsaan di samping memberi bimbingan profesional kepada pembantu jurulatih mereka iaitu jurulatih tempatan sehingga boleh menjadi jurulatih yang hebat.

Secara jujurnya harapan besar kita ialah dengan kemasukan jurulatih asing seperti ini kita dapat melahirkan lebih ramai lagi pemain tempatan yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa.

Namun, hakikatnya sehingga hari ini kita masih tercari-cari pengganti Santokh Singh, Soh Chin Aun, Mokhtar Dahari, R Arumugam, James Wong dan ramai lagi. Di mana silapnya?

Di samping itu, prestasi pasukan skuad kebangsaan juga tidak begitu membanggakan dan kejayaan yang direkodkan di peringkat Sukan SEA mahupun Piala AFF masih tidak konsisten, apatah lagi di peringkat Sukan Asia, kelayakan Sukan Olimpik dan kelayakan Piala Dunia.

Kita perlu akui pembabitan jurulatih asing ada banyak kelebihan. Di samping pengalaman dan kemahiran yang baharu, sudah tentu aspek taktikal, cara permainan serta corak persembahan pasukan yang mereka bimbing akan mengalami perubahan ketara.

Jadi, dengan pengalaman yang ada, kita mahu mereka melahirkan pemain tempatan yang hebat yang boleh mewakili negara.

Dalam hal ini, pengurusan pasukan misalnya boleh letak sasaran seperti sekurang-kurangnya lima pemain yang dilatih jurulatih ini mesti layak menerima panggilan skuad kebangsaan.

Pada masa sama, pastikan jurulatih asing ini juga menurunkan ilmu mereka sepenuhnya kepada jurulatih tempatan yang membantu mereka.

Kita tidak mahu mereka ini kedekut ilmu. Jurulatih tempatan yang sentiasa mendampingi jurulatih asing ini pula perlu bijak mengambil peluang untuk mengasah bakat kejurulatihan masing-masing.

Kita perlu fokus dan pelajari teknik, taktik dan corak latihan yang dibawa dan diterapkan jurulatih asing ini.

Hakikatnya, bola sepak adalah sukan nombor satu di negara kita dan peminat mahukan pemain tempatan memiliki kemahiran dan kemampuan yang hebat supaya dapat mewakili pasukan kebangsaan, sekali gus mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak negara.

Perlu diingat walaupun sudah lama jurulatih asing terbabit dalam sukan bola sepak di negara ini termasuk sebagai jurulatih pasukan kebangsaan, namun prestasi skuad negara tetap tidak begitu memberangsangkan dan sentiasa tidak konsisten.

Perkara ini perlu diteliti dengan baik kerana sepatutnya kita dapat melahirkan lebih ramai pemain yang berkaliber dan membentuk skuad kebangsaan yang mantap dengan penglibatan jurulatih asing baik di peringkat pasukan negeri mahupun kebangsaan.

Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2021 @ 6:30 AM