SUASANA damai Kompleks Sukan Luncur.
GELANGGANG luncur satu-satunya di Asia yang mempunyai elemen seni bina yang ‘skateable’ seluas satu padang bola sepak.
AKSI menarik pengunjung di gelanggang luncur.
PENGUNJUNG memakai abah-abah sebelum memulakan pendakian di dinding tiruan.
AKSI lincah kanak-kanak mendaki dinding tiruan di Kompleks Sukan Mendaki.
PENUNGGANG basikal melakukan aksi di denai ‘downhilll’.
PENGUNJUNG berehat di pondok yang sediakan sebelum memulakan kayuhan di denai hutan.
Suliati Asri


Menghabiskan hujung minggu bersama keluarga dengan aktiviti lasak bagaikan trend terkini yang semakin popular dalam kalangan masyarakat kini.

Seawal pagi lagi, si ayah dan abang sudah bersiap sedia untuk mengayuh di dalam denai hutan kebun getah dan kelapa sawit.

Si ibu pula tekun mempersiapkan anak yang lain bermain skuter, basikal dan papan luncur di kawasan meluncur.

Kelincahan si kecil mendaki dinding tiruan dalam aktiviti 'wall climbing' pula cukup mengagumkan. Itu belum lagi keberanian pengunjung yang mendaki dinding tiruan hingga ke puncak tertinggi.

Sesekali terdengar sorakan tanda sokongan daripada rakan dan keluarga. Tidak ketinggalan juga suara halus ayah dan ibu mengajar si anak melakukan sesuatu aktiviti dengan betul.

Tatkala penat, mereka sekeluarga berehat dan menikmati makanan ringan dibawa atau membelinya di kafe yang tersedia sebelum memulakan kembali aktiviti masing-masing.

Itulah suasana pagi Ahad yang penuh semangat kekeluargaan yang dirasai penulis saat mengunjungi Taman Cabaran Putrajaya, Presint 5, baru-baru ini.

Kunjungan atas tiket melakukan tugasan itu nyata cukup mengujakan penulis. Kagum melihat semangat kekeluargaan setiap pengunjung yang datang.

Belum lagi semangat setia kawan pengunjung yang sama-sama berkayuh di dalam denai hutan. Walau ada yang tidak mengenali, dek minat yang sama, mereka boleh ‘sekepala’ sekali gus bersahabat.

Taman Cabaran Putrajaya itu adalah fasiliti sukan lasak yang lengkap, terbaik dan terbesar di rantau Asia.

Berkeluasan 30.33 hektar, taman cabaran yang dibuka kepada orang ramai pada 2 Oktober 2009 ini adalah ‘one stop centre’ untuk aktiviti lasak dan terbahagi kepada dua iaitu Kompleks Sukan Luncur dan Kompleks Sukan Mendaki.

Kompleks Sukan Luncur

Dibuka setiap hari bermula jam 10 pagi, Kompleks Sukan Luncur ini menjadi tumpuan buat sang peminat sukan papan luncur, skuter, kasut roda dan berbasikal.

Kompleks sukan luncur ini adalah bangunan yang satu-satunya di Asia yang mempunyai elemen seni bina yang ‘skateable’ dan mengandungi gelanggang sukan luncur sendiri seluas satu padang bola sepak.

Ia juga mengandungi tiga kombinasi tiga lengkokan Bowl yang dikenali Hips, Spine dan Street Spine.

Semua elemen Street Obstacle gelanggang luncur ini diadaptasi dari Hubba Ledge Los Angeles, Handrail Hollywood High, Wallride Burnside, Portland Oregon.

Dengan itu, dapat melakukan pelbagai aksi meluncur yang terbaik dengan kemudahan yang tersedia.

Si kecil dengan skuter, berbasikal BMX atau bermain kasut roda juga boleh meluncur dengan baik di sini.

Denai Basikal Lasak

Selain meluncur, bagi mereka yang ingin menguji ketangkasan dan mencabar diri, denai berbasikal lasak (Mountain Bike Trail) menanti mereka.

Dibuka kepada orang ramai seawal jam 7 pagi, denai ini dibina di puncak dan lereng bukit Taman Cabaran di kawasan hutan kebun getah dan kelapa sawit.

Panjang keseluruhan denai adalah 9.1 kilometer dan mempunyai pelbagai jenis dan peringkat halangan seperti Core Trail Loop, XC Loop, Downhill, Downhill Fun Ride, Free Cross dan Slope Style Line.

Untuk Thrill Park, laman ini dibina berdekatan dengan gelanggang sukan luncur. Ia adalah pusat latihan basikal Dirt Jump yang sistematik di Asia bagi penggemar Mountain Bike dan BMX Dirt Jump.

Antara cabaran yang disediakan termasuk Pump Track, Dirt Jump With North Shore Element dan Slope Style Jump.

Selesai berbasikal, pengunjung bukan saja boleh membersihkan diri di ruang mandi yang tersedia, mereka juga boleh membersihkan basikal mereka daripada tanah atau lumpur saat melalui denai sebelum membawanya pulang.

Walau tidak dikenakan sebarang bayaran, keselamatan pengunjung tetap dititikberatkan dengan pemantauan 24 jam di sekitar denai.

Alunan muzik yang dimainkan di sini juga menambahkan kerancakan pengunjung melakukan aktiviti sukan lasak yang diminati.

Kompleks Sukan Mendaki (Wall Climbing)

Di kompleks sukan mendaki, bangunan yang berkeluasan satu padang bola sepak itu mempunyai elemen seni bina modern architectural.

Menawarkan aktiviti sukan lasak mendaki dinding tiruan, dewan mendaki yang berbumbung ini adalah yang terbesar

di rantau Asia.

Dinding mendaki di kompleks ini berbentuk trapezional, bersaiz 42 meter lebar, 42 meter panjang dan 20 meter tinggi.

Dinding tembok sukan mendaki ini juga terbahagi kepada 5 zon iaitu A (Expert Boulder), B Intermediete Boulder, C (expert Lead Climbing), D (Beginner Top Roping, D (Speed Climbing), E (Advanced Lead Climbing).

Bayaran masuk hanya RM3 untuk kanak-kanak dan RM6 untuk dewasa, pengunjung boleh mendaki dinding tiruan ini seharian.

Bagaimanapun, untuk peralatan seperti abah-abah, kasut dan perkakasan lain untuk mendaki, ada bayaran lain dikenakan.

Kemudahan lain yang disediakan di kompleks ini termasuk dewan mendaki, bilik mendaki kanak-kanak, bilik perasingan untuk kanak-kanak bawah 12 tahun, bilik persalinan lelaki dan perempuan, bilik pertolongan cemas, surau, kafetaria, tandas dan kedai barangan aksesori mendaki.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2017 @ 1:21 PM