TRAVELOKA sentiasa menyediakan perkhidmatan terbaik buat pengunjungnya.
TRAVELOKA sentiasa menyediakan perkhidmatan terbaik buat pengunjungnya.
Susunan Suliati Asri


Traveloka mengumumkan kejayaannya meraih kira-kira AS$500 juta melalui pelaburan daripada peneraju pelancongan dalam talian bertaraf global Expedia, Inc (NASDAQ: EXPE), East Ventures, Hillhouse Capital Group, JD.com dan Sequoia Capital sepanjang tahun lalu.

Pelaburan oleh Expedia, Inc. akan memperkukuh kerjasama sedia ada dari segi bekalan hotel, membolehkan Traveloka menyediakan pilihan inventori penginapan antarabangsa yang lebih luas kepada pelancong Asia Tenggara.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Traveloka Ferry Unardi, berkata jalinan kerjasama dengan syarikat pelancongan dalam talian yang terkemuka di dunia itu membolehkan Traveloka memberi tumpuan kepada pertumbuhan berterusan dalam bidang pelancongan talian.

“Kerjasama ini juga secara tidak langsung membolehkan Traveloka memenuhi matlamat menyediakan pengembara dengan pilihan pelancongan terbaik serta pengalaman tempahan berkualiti tertinggi.

“Perkongsian yang diperluas ini juga memberikan pengembara Traveloka akses kepada set penginapan antarabangsa unik yang pelbagai dan kerjasama dengan Expedia ini dapat meluaskan perkhidmatan kami di Asia dan seluruh dunia,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Expedia, Inc Dara Khosrowshahi berkata Traveloka adalah peneraju pelancongan dalam talian yang ternama di Indonesia dan berkembang pesat di seluruh Asia Tenggara.

“Perkongsian ini akan mendapat manfaat daripada kepakaran dan pengetahuan tempatan kedua-dua pihak, selain mempercepat pertumbuhan bersama kami.

“Justeru, kami berasa amat teruja dapat terus memperluas kehadiran kami di Asia, belajar daripada pasukan Traveloka yang berbakat serta membuka lebih banyak tawaran pilihan pelancongan untuk pengembara Traveloka dan Expedia di seluruh dunia,” katanya.

Expedia, Inc ialah syarikat pelancongan dalam talian antarabangsa yang diiktiraf di peringkat global dan pelaburan terkini dalam Traveloka ini mengesahkan keluasan dan minat antarabangsa yang semakin meningkat terhadap sektor pelancongan Asia Pasifik.

Pendapatan dalam industri pelancongan Asia Tenggara dianggarkan mencecah AS$83 bilion menjelang akhir tahun 2017.

Menerusi pusingan pelaburan terbaharu ini, Traveloka akan terus memberi tumpuan untuk memberikan pengalaman pelancongan terbaik dengan membangunkan pelbagai projek Penyelidikan & Pembangunan menerusi keupayaan kepintaran buatan dan pembelajaran mesin.

Selain itu, Traveloka juga akan memberi tumpuan yang teliti terhadap tingkah laku pelanggan yang unik mengikut negara masing-masing, serta memanfaatkan data demi memberikan pengalaman pelancongan dalam talian yang lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2017 @ 12:16 PM