TAMAN Ikan Air Tawar Kuala Selangor memperlihatkan pelbagai spesies ikan air tawar.
HM Digital

Di bina pada 2004 dan mula beroperasi pada 1 Januari 2009, Taman Ikan Air Tawar Kuala Selangor tempat sesuai untuk mempelajari hidupan ikan air tawar dan lokasi rekreasi seisi keluarga.

Terletak di rezab Hutan Simpan Taman Alam dan bersebelahan Bukit Malawati, mengunjunginya, sejumlah 1,500 ikan daripada 60 spesies ikan air tawar seperti Ikan Buaya, Kelah (Tor Tambra), Keli (Walking Catfish), Toman (Giant Snakehead), Lampam (Javenese Crap), Belida (Featherbask) dan Kelisa (Golden Arowana) boleh dilihat di sini.

Menariknya, kebanyakan ikan yang boleh dilihat di taman ini diperoleh daripada Sungai Selangor, Kuala Selangor.

Selain dapat mempelajari pelbagai jenis ikan, di taman ini juga terdapat satu galeri yang dapat memberikan maklumat kepada pengunjung mengenai hidupan air tawar, sejarah ikan air tawar di Kuala Selangor, konsep akuarium dan jenis ikan yang ada.

Pengunjung juga boleh melihat dengan lebih dekat habitat ikan air tawar seperti haruan, sepat, puyu dan pelbagai peralatan menangkap ikan seperti bubu udang, bubu daun, raga batang, serkap dan banyak lagi.

Akuarium terbuka, akuarium tertutup, kolam ikan air tawar, galeri, bilik audio visual, laluan pejalan kaki, gerai cenderahati, surau dan tandas antara kemudahan disediakan di sini.

Untuk ke sini, perjalanan dari Kuala Lumpur ke Taman Ikan Air Tawar ini mengambil masa satu jam setengah dan 45 minit daripada Klang.

Bagi mereka yang ingin menaiki bas, perkhidmatan Selangor Bas (warna merah) dari hentian Puduraya Kuala Lumpur kemudian menaiki teksi untuk ke Taman Ikan Air Tawar pasti memudahkan anda.

Jika perjalanan dari Klang pula perkhidmatan bas Transnasional beroperasi daripada Hentian Bas Klang Central sampai ke Pekan Lama Kuala Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2017 @ 12:00 AM