CENDOL fruity durian misang king disajikan menggunakan kuali yang ditempah khas.
LAKSA meletop dengan pilihan telur mata atau telur rebus juga dihidangkan dalam kuali khas untuk hidangan makanan.
PELANGGAN menikmati keenakan condol.
RAZALI bersama sajian utama cendol dan laksa utara yang disajikan kepada pelanggan.
Ainal Marhaton Abd Ghani


Melihat gambar tular di laman sosial Facebook milik seorang rakan menikmati hidangan cendol dalam kuali membuatkan penulis berusaha mencari siapakah gerangan yang berani mencari kelainan sebegitu rupa untuk menarik perhatian pelanggan.

Sebaik memperoleh maklumat, penulis terus ke lokasi dimaksudkan dan ternyata kelainan dipersembahkan itu mengundang pelanggan yang bukan sedikit untuk merasai keenakan cendol dihidangkan dalam kuali.

Hanya perkataan ‘wow’ mampu diungkapkan kerana cendol pulut durian musang king, cendol pulut dan cendol ‘fruity’ serta laksa utara yang tiba di meja penulis benar-benar memukau pandangan mata sekali gus membangkitkan selera.

Bukan hendak memuji tetapi pelanggan sendiri menunjukkan isyarat bagus apabila penulis meminta pandangan mereka berkenaan hidangan cendol kuali di Papa Sweet Home Corner (Papa Sweet) itu.

Pemiliknya Razali Abu, 45, berkata Papa Sweet menawarkan 15 jenis cendol yang pastinya menyukarkan pelanggan membuat pilihan kerana semuanya menggoda mata dan selera.

Antara menjadi pilihan adalah cendol durian musang king, cendol durian, cendol pulut durian, cendol fruity, cendol ais krim, cendol pulut dan pelbagai jenis cendol buah-buahan seperti mangga, pisang, betik dan nangka madu dijual antara RM5 hingga RM13.

Katanya, cendol kuali durian musang king RM13 hanya dijual setiap Sabtu dan Ahad kerana stok isi durian terhad selain harganya tinggi antara RM50 hingga RM70 sekilogram sementara durian kampung, D24, IOI dan udang merah pada harga antara RM15 hingga RM30 sekilogram.

Razali berkata, dia perlu menyediakan stok isi durian antara lima hingga 10 kilogram, pelbagai jenis buah-buahan antara empat hingga enam kilogram, jagung mentah (lapan kilogram) kacang merah (10 kilogram) setiap minggu bagi memenuhi permintaan pelanggan.

“Saya hanya menggunakan buah-buahan segar, jagung dan kacang merah serta isi cendol dimasak sendiri untuk mendapatkan rasa lebih asli lagi segar.

“Apa yang penting kepuasan pelanggan dan kualiti hidangan. Walaupun untungnya kecil, saya sangat berpuas hati apabila pelanggan menyukai produk kami dan mencadangkan kepada rakan lain untuk datang ke sini,” katanya ketika ditemui di Taman Cenderawsih, Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

Bagi penyediaan air gula, Razali menggunakan empat jenis gula iaitu gula melaka, gula merah, gula kabung dan gula pasir yang secara tidak langsung menjadikan air gula berkenaan mempunyai rasa lemak manis.

“Ini adalah campuran yang saya gunakan untuk mendapatkan air gula terbaik semua cendol dijual. Yang membezakan adalah pilihan cendol pelbagai mengikut selera pelanggan,” katanya yang mengusahakan Papa Sweet sejak lapan bulan lalu bersama isteri, Mariam Mohamed, 47.

Razali berkata, idea menggunakan kuali ditempah khas untuk sajian cendolnya itu bermula selepas menikmati hidangan mi dalan kuali ketika menetap di Pasir Gudang, Johor beberapa tahun lalu.

“Saya dan rakan mendapat idea berniaga cendol menggunakan kuali khas untuk hidangan makanan selain ternyata ia berjaya menarik minat pelanggan kerana aisnya dapat bertahan lama serta saya gunakan konsep sama apabila berpindah dan berniaga di sini,” katanya yang turut membekalkan isi cendol kepada peniaga lain.

Bukan hanya cendol yang pelbagai, Papa Sweet juga menawarkan menu istimewa laksa utara dalam tiga saiz berbeza iaitu laksa berapi dalam mangkuk kecil berharga RM3, laksa berasap mangkuk sederhana (RM5) dan laksa meletop dihidangkan dalam kuali (RM7) dengan pilihan telur rebus atau telur mata.

Selain itu, pelanggan juga mempunyai pilihan menikmati sajian popia lentoq (popia basah utara), kuih keria gula melaka dan ais krim Malaysia pelbagai perisa yang lebih digemari kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2017 @ 12:01 AM