BERSNOKEL di Taman Laut Pulau Perhentian antara aktiviti wajib yang menyeronokkan.
DIKERUMUNI ikan berwarna-warni saat bersnokel sememangnya cukup mengujakan.
BOT laju adalah pengangkutan utama di Pulau Perhentian.
PEMANDANGAN nan indah yang disajikan di Perhentian Kecil.
Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


Kelibat si ikan ‘nemo’ atau nama sebenarnya inggu yang berenang berdekatan dengan buran laut cukup mengujakan. Ikutkan hati, mahu saja penulis menyelam dan menangkapnya.

Namun, apakan daya. Ia ikan yang cukup lincah persis watak di dalam filem animasi Finding Nemo dan penulis juga tidak berani untuk menyelam kerana tidak mahir berenang.

Itu belum saat melihat penyu yang berenang bebas tidak jauh dari pantai. Ia nyata menambahkan keterujaan.

Keindahan terumbu karang dan khazanah lautannya juga cukup mempesona sekali gus membuatkan sesiapa saja yang melihatnya terpesona.

Itulah yang rasai penulis saat bersnorkel di Pulau Perhentian ketika berkunjung bersama rakan, baru-baru ini.

Atas tiket ‘Girls Trip’, percutian ke Pulau Perhentian yang menjadi lokasi menyelam dan rekreasi pantai terbaik sangat berbaloi serta tidak mengecewakan.

Dinamakan Pulau Perhentian kerana sering menjadi tempat persinggahan pedagang satu masa dahulu, pulau ini adalah lokasi menyelam dan rekreasi pantai yang mempesona.

Pulau ini terbahagi kepada Pulau Perhentian Besar dan Pulau Perhentian Kecil.

Selepas kira-kira empat tahun tidak berkunjung, ternyata pulau yang pernah disenaraikan di kedudukan ke-13 daripada 50 pantai tercantik menurut kaji selidik dibuat rangkaian berita CNN mengenai 100 pantai terbaik dunia sudah banyak berubah.

Pasir Panjang atau Long Beach yang sememangnya mempunyai pantai yang mempesona dan pasir memutih kini kian meriah.

Penginapan dan kedai makan tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Tapak perkhemahan, chalet dan hotel mewah yang ada di sini masing-masing menawarkan pelbagai pakej menarik.

Oleh itu, pengunjung punya banyak pilihan penginapan bersesuaian dengan bajet yang ada.

Walau pembangunan yang ‘pesat’, suasana yang damai terutama pada waktu pagi masih dapat dirasai.

Panorama indah matahari terbit di ufuk timur masih boleh dihayati dengan ketenangan yang tidak tergambar dengan kata-kata.

Meluangkan masa selama tiga hari dua malam di pulau nan indah ini, Mohsin Chalet yang lengkap dengan perkhidmatan bot laju dan makan selama berada di situ menjadi pilihan penulis dan rakan.

Sampai tengah hari di pulau ini, tidak banyak aktiviti yang boleh dilakukan kerana keadaan yang panas terik.

Namun, tatkala senja menjelma, suasana di pesisir pantai yang tadinya sunyi sepi menjadi riuh-rendah dengan suara pengunjung yang melakukan pelbagai aktiviti pantai.

Bersantai sambil menikmati kesegaran air kelapa dan bersiar-siar di tepi pantai juga antara aktiviti yang menjadi pilihan pengunjung.

Keriuhan dan gelak ketawa anak kecil bermain air menggambarkan betapa gembira dan terujanya mereka.

Jika kebiasaan pulau akan lengang di sebelah malam, di Pasir Panjang ini pula berlainan. Usai makan malam, pengunjung akan bertumpu di tepi pantai bagi melihat pertunjukan api yang memukau.

Dek tarikan itu juga, pengunjung yang menginap di kawasan sekitar Perhentian Kecil ini berkunjung ke Pasir Panjang menaiki perkhidmatan bot laju atau ‘teksi air’ untuk sama-sama merasai kemeriahan malam.

Pemandangan matahari terbit yang menjadi santapan pagi itu nyata mempesona sekali gus menjadikan permulaan hari kami menceriakan.

Pada hari kedua ini, jadual kami akan dihabiskan dengan aktiviti snorkeling di lokasi terpilih sekitar Pulau Perhentian ini.

Warna-warni terumbu karang yang dilihat dengan air laut yang jernih sangat mempesona. Kelincahan pelbagai jenis ikan yang berkeliaran di bawah laut juga menambahkan keterujaan.

Dikerumuni ikan dek roti yang dipegang juga membuatkan aktiviti bersnorkel semakin menarik.

Itu belum lagi melihat kelibat penyu yang bebas ‘berangan’ di kawasan pengunjung bersnorkel.

Ia benar-benar membuatkan penulis, rakan serta pengunjung lainnya teruja.

Apabila matahari mula meninggi, kami singgah sebentar di Kampung Nelayan, Perhentian Kecil untuk menjamu selera sebelum memulakan kembali aktiviti snorkeling.

Ternyata kampung itu juga sudah banyak perubahannya berbanding empat tahun lalu.

Menikmati malam terakhir di pulau yang mempesona ini, kami disajikan hidangan berbeku selain melakukan pelbagai aktiviti santai termasuk sesi karaoke.

Angin yang bertiup lembut ditambah bunyi unggas hutan bagai turut sama bernyanyi sekali gus memberikan kedamaian.

Mengunjungi Pulau Perhentian Kecil kali ini nyata pengalaman bermakna yang tidak dapat dilupakan. Dengan keindahan dan kedamaian yang dijanjikan di Pulau Perhentian ini, terlupa segala kekusutan fikiran.

Terasa bagai tidak ingin pulang. Namun, apakan daya, kami perlu pulang ke dunia realiti.

Pulau Perhentian biasanya akan ditutup untuk kunjungan pada November hingga Mac setiap tahun kepada musim tengkujuh. Jadi, anda masih punya waktu untuk menempah atau merancang percutian ke pulau yang indah itu.

Ia pasti tidak akan mengecewakan anda.

Bagaimana ke sini

Dari Kuala Lumpur, anda boleh memandu terus ke Jeti Kuala Besut, Terengganu.

Jika menaiki kapal terbang, ambil penerbangan ke Kota Bharu, Kelantan kemudian menaiki kereta sewa, Grab, Uber atau teksi yang akan membawa anda terus ke Jeti Kuala Besut.

Perjalanan dianggarkan kira-kira sejam 30 minit dengan bayaran sekitar RM70.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 1:00 PM