MASJID Kapitan Keling seakan-akan Taj Mahal.
Hafiz Ithnin

Pulau Pinang bukanlah calang-calang nama dalam kemampuannya menarik kunjungan pelancong asing. Kekuatannya didasari kepelbagaian daya tarikan yang menggabungkan keunikan sejarah, makanan, masyarakat, alam semula jadi sehingga konsep pembangunan moden.

Di sebalik terkenal dengan pembangunan industri pelancongannya, rumah ibadat turut menjadi mercu tanda penting bagi Pulau Pinang yang sentiasa menarik perhatian pelancong asing dan tempatan untuk melawatinya dari semasa ke semasa.

Sekiranya berada di Georgetown sudah pasti Masjid Kapitan Keling di tengah-tengah laluan sibuk di bandar berkenaan mencuri pandangan kerana ia antara bangunan bersejarah yang masih terpelihara dengan baik.

LOKASI strategik memudahkan pelancong melawatnya.

Berusia 218 tahun, masjid yang di Jalan Masjid Kapitan Keling ini diiktiraf sebagai tapak warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Ketua Biro Dakwah Masjidnya Kamarudin Abdullah berkata, masjid berkenaan sememangnya mempunyai daya tarikan tersendiri terutama mengenai sejarah kewujudannya dan reka bentuk seakan-akan Taj Mahal di India.

Beliau berkata, setiap tahun Masjid Kapitan Keling menarik kehadiran kira-kira 3,000 pelancong asing dan ketika berlangsungnya Hari Warisan Dunia Georgetown yang diadakan setiap tahun, jumlah pelancong meningkat kepada 2,000 orang sehari.

KAKITANGAN masjid bersedia memberikan penerangan.

“Kakitangan kami sentiasa bersedia menunggu kedatangan pelancong untuk memberi maklumat yang tepat mengenai sejarah dan penjelasan ajaran Islam.

“Sememangnya aktiviti melawat Masjid Kapitan Keling dalam kalangan pelancong asing jika ke Georgetown bukan sesuatu yang asing kerana mereka dapat mempelajari pelbagai perkara dan kita juga boleh memberi penjelasan dalam sesi soal jawab,” katanya.

Kamarudin berkata, masjid berkenan juga menyediakan kemudahan seperti jubah bagi menutup aurat pelancong ketika melawat kawasan dalaman.

Katanya, kemudahan seperti ini memberi pendedahan kepada pelancong bahawa masjid adalah satu kawasan yang boleh dilawati semua orang tetapi ada adab yang perlu dipatuhi khususnya membabitkan soal pakaian. Ia juga mengajar pelancong bahawa masjid adalah rumah ibadat yang mementingkan kesopanan.

ANTARA seni bina klasik yang masih utuh.

“Pelancong berpuas hati kerana mereka bukan sahaja dapat melihat tinggalan sejarah di negeri ini tetapi mempelajari mengenai ajaran Islam yang sudah lama bertapak di sini.

“Bukan sekadar itu, pelancong juga diberi pendedahan mengenai cara orang Islam melakukan ibadat seperti sembahyang dan mengambil wuduk yang menunjukkan pentingnya soal kebersihan serta kesucian. Perkara seperti ini sudah tentu dapat menarik minat mereka untuk mengetahui lebih mendalam mengenai Islam,” katanya.

Masjid Kapitan yang terletak di kawasan strategik di bandar berkenaan sememangnya mudah diakses dan begitu hampir dengan beberapa destinasi tarikan pelancong lain di sekitarnya seperti Padang Kota Lama.

Bagi mereka yang ingin berjalan dari mana-mana lokasi di bandar berkenaan untuk menuju ke masjid berkenaan juga tidak sukar kerana terdapat banyak papan tanda sebagai penunjuk arah. Jika masih ragu-ragu, tanya saja kepada penduduk setempat. Mereka akan berbesar hati membantu anda.

ASPEK kekemasan dan kebersihan sentiasa dititikberatkan pihak masjid.

Masjid berkenaan yang dibuka setiap hari bermula jam 11.30 pagi hingga 6 petang untuk kunjungan pelancong tidak dikenakan sebarang bayaran kemasukan atau kos penerangan.

Katanya, memandangkan Masjid Kapitan Keling sebagai destinasi pelancongan, ia sentiasa dijaga rapi dan infrastruktur binaannya juga tidak boleh diubah sesuka hati memandangkan bangunan itu diiktiraf sebagai warisan UNESCO.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Ogos 2018 @ 1:12 PM