SUASANA malam di River of Life sentiasa mendapat perhatian pengunjung.
Hafiz Ithnin


TERASA seperti berada di luar negara ketika penulis bersama jurugambar, Muhd Zaaba Zakeria mengikuti satu program lawatan sekitar Kuala Lumpur, biarpun kami berdua sudah menetap di bandar ini hampir 10 tahun lalu.

Mana tidaknya, di sebalik lorong dan jalan yang dilindungi bangunan pencakar langit, sebenarnya terselindung pelbagai daya tarikan pelancongan.

Bagi penulis sendiri terasa rugi kerana baru kini dapat rasakan Kuala Lumpur tidak ubah seperti kota besar di Eropah tetapi dalam acuan Asia yang membangun. Kedengaran seperti berlebihan, namun itulah kenyataannya!

Untuk adik-adik di luar sana jika ada rakan yang ke luar negara terutama ke bandar besar bersama keluarga mereka, jangan cemburu sebenarnya di Kuala Lumpur sendiri ada pelbagai tarikan. Sebut saja, daripada produk ekorimba hingga bangunan bersejarah semuanya ada.

Penulis mulakan pengalaman pengembaraan ini di Hotel Cosmo Kuala Lumpur kerana lokasinya agak strategik dengan tempat menarik.

Tambahan pula, kami juga membayar perkhidmatan pemandu pelancong dari hotel itu, Jane Rai bagi mendapatkan lebih ‘jiwa’ kononnya sebagai pelancong asing. Rasanya tidak salah jika melakukan sesuatu kelainan untuk melancong di negara sendiri.

Dari hotel berkenaan, kami melangkah ke jalan utamanya, Leboh Ampang untuk menuju ke River of Life Kuala Lumpur. Di simpang pertemuan Leboh Ampang, Jalan Tun Tan Siew Sin dan Jalan Benteng itu akan kelihatan deretan pelbagai kedai lama yang sebenarnya tersimpan sejarah pembukaan Kuala Lumpur.

Bagi penulis, Jane seorang pemandu pelancong yang mempunyai pengalaman luas berkenaan tarikan di Kuala Lumpur. Malah, dia adalah pemandu pelancong yang berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MoTac) sejak 1989.


JANE (tengah)mempunyai pengalaman luas mengenai sejarah Kuala Lumpur dan berkongsi kepada pelancong.

Jadi tidak sia-sia menggunakan perkhidmatannya sebagai pemandu pelancong pada hari itu kerana setiap bangunan lama yang kami lalui diceritakan secara terperinci sejarah berkait rapat dengan era pembangunan Kuala Lumpur.

Legasi perniagaan lama yang ditinggalkan tokoh perniagaan terdahulu seperti Yap Ah Loy dan sejarah Sutan Puasa membuka Kuala Lumpur juga diceritakan kepada kami dalam lawatan tiga jam itu.

Tidak sekadar itu, sebagai pemandu pelancong berpengalaman, dia juga sentiasa mengepit fail yang mengandungi foto bangunan lama dimilikinya untuk memberi gambaran lebih jelas kepada pelancong.

Jane berkata, Kuala Lumpur adalah bandar raya menarik tersimpan pelbagai sejarah jarang diketahui penghuninya meskipun kerap melalui jalan yang mempunyai kisahnya tersendiri.

“Kebanyakan bangunan lama di Leboh Ampang atau dulunya dikenali sebagai Ampang Road semakin ditelan zaman kerana arus pembangunan apabila ia dibina sekitar era 1900-an.

“Di jalan ini terdapat bangunan lama yang masih kekal tetapi dipulihara dan ada juga sudah diruntuhkan bagi membangunkan bangunan untuk syarikat korporat beroperasi.

“Disebabkan itu, foto lama yang dibawa bersama penting untuk memberi gambaran kepada pelancong berkenaan lokasi bersejarah di Kuala Lumpur,” katanya yang turut meminati pelancongan tinggalan sejarah.

Dari simpang pertemuan tiga jalan itu tadi, kami meneruskan langkah ke kawasan tarikan terbaru di Kuala Lumpur, River of Life yang boleh dikatakan sebagai lokasi pertemuan mercu tanda sinonim dengan Kuala Lumpur.


KEHADIRAN pelancong asing melawat lokasi tarikan bersejarah di ibu negara bukan sesuatu yang baru.

Seterusnya dari hadapan River Of Life kelihatan sisi belakang Bangunan Sultan Abdul Samad, kanannya pula Masjid Jamek yang dipenuhi pengunjung dan antara dua bangunan itu dipisahkan Sungai Klang.

Laluan pejalan kaki di River Of Life sememangnya boleh dipuji kerana bersih, mempunyai banyak papan tanda untuk pelancong selain menjadi destinasi terbaik bagi merakam gambar untuk menceritakan bangunan ikonik di Kuala Lumpur.

Sebelum mengunjungi kawasan itu, Muhd Zaaba memberitahu penulis River of Life adalah lokasi tumpuan jurugambar tempatan dan asing untuk merakam foto ketika senja atau awal pagi kerana ia mempunyai panorama yang sangat menarik.

Jadi dia mengajak penulis untuk kembali ke sana ketika senja untuk merakam gambar selepas selesai sesi ‘makan angin’ kami di beberapa lokasi lain yang sudah direncanakan Jane.


PASAR malam di Lorong Tuanku Abdul Rahman menawarkan pelbagai makanan tempatan.

Dari kawasan itu, kami meneruskan perjalanan menuju ke Jalan Masjid India yang terkenal dengan lokasi bazar membeli-belah. Sebenarnya di jalan itu bukan sahaja menjadi syurga jual beli tetapi penulis juga baru mengetahui di Jalan Melayu, terdapat kedai makanan yang usianya sudah mencecah 100 tahun.

Menurut Jane kedai makan itu menyediakan hidangan Punjabi dan sudah diuruskan generasi ketiga pemiliknya. Ternyata merasai chai (teh susu) yang mengandungi susu segar dan roti prata warisan perniagaan itu seolah-olah membawa penulis berada di India atau utara Pakistan!

Waktu ketika itu sudah menunjukkan sekitar jam enam petang dan Jane mengajak kami untuk menuju ke pasar malam di Lorong Tuanku Abdul Rahman. Di sini menjadi syurga membeli-belah makanan yang sebenar untuk pengunjung dan kebanyakan menu adalah makanan tempatan.

Perjalanan dari jam 4 petang menginjak ke 7 malam. Semua lokasi yang direncanakan Jane juga sudah dilawati kami termasuk mengunjungi sebuah restoran kedua yang boleh dikatakan antara tertua di Kuala Lumpur kerana beroperasi sejak 1921.

Ternyata meluangkan masa berjalan-jalan atau menjadi pelancong pada petang itu di Kuala Lumpur tidak menghampakan sama sekali. Sejarah, bangunan kolonial, makanan tempatan dan panorama senja membawa memori terindah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Disember 2018 @ 7:30 AM