CHEF Saifol ketika menyediakan sajian di seksyen halal.
Nurul Husna Mahmud

Pelayaran bersama kapal persiaran mewah sambil menyaksikan pemandangan matahari terbenam, antara pengalaman ingin dinikmati peminat aktiviti pelancongan tempatan.

Elemen penting menyebabkan pelayaran kapal mewah seperti Dream Cruises menjadi pilihan kerana pelbagai keistimewaan.

Ini termasuk kemudahan bilik penginapan selesa mengikut kemampuan dan cita rasa penumpang selain ruang rekreasi di dalam atau di dek kapal yang boleh diakses secara percuma berdasarkan pakej tertentu.

Tidak terkecuali ruang menjamu selera sebagai tarikan utama kepada hospitaliti sepanjang berada di atas kapal persiaran berkenaan.

Umumnya sebelum ini penumpang percutian mewah menjadi pilihan warga Eropah dan China menyebabkan fokus penyediaan makanan lebih terarah terhadap kumpulan sasaran ini. Namun November lalu, pelancong Muslim sudah boleh menikmati sajian tanpa waswas apabila seksyen halal mula disediakan untuk mereka.

SELEKSI menu terdapat dalam sajian halal.

Menurut Cef Eksekutif Genting Dream Cef Saifol Iskandar, pertambahan jumlah pelancong Muslim dari Singapura, Indonesia, Malaysia dan Timur Tengah yang memilih pelayaran berkenaan menyebabkan pihaknya terpanggil untuk menyediakan stesen khas bagi penyediaan hidangan halal.

Katanya, selaku individu Muslim, sudah menjadi tanggungjawab beliau menyediakan hidangan halal untuk keperluan penumpang beragama Islam.

LOGO halal terpamer di ruang berkenaan.

“Kami melalui proses penyediaan sijil halal daripada pelbagai aspek dan peringkat. Ini termasuk akses bahan mentah dan masakan, penyimpanan bahan mentah, peralatan dapur, stesen penyediaan hingga kepada ruang saji semuanya sudah disaring terlebih serta dinilai panel Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Kami melalui proses penilaian intensif hampir dua bulan dibantu pegawainya memastikan ruang ini mendapat persijilan halal. Kami sedia maklum sijil ini bukan saja diperakui di Malaysia malah dunia yang melihat negara kita antara terbaik dalam pengendalian status halal sesuatu produk terutama makanan.

UNTUK kemudahan penumpang Muslim.

“Jadi penumpang Muslim tidak lagi perlu khuatir dengan status makanan yang mereka nikmati sepanjang belayar bersama kami. Malah bukan saja Muslim, seksyen ini turut mendapat sambutan penumpang bukan Islam kerana sajian disediakan menampilkan hidangan Melayu,” katanya.

Ditanya cabaran sebalik proses mendapatkan pensijilan halal, kata Cef Saifol, beliau tidak pernah rasa terbeban dengan pengalaman itu, sebaliknya gembira mendapat sokongan pegawai JAKIM yang komited membantu pihaknya.

MENARIK sajian dihidangkan di seksyen halal.

“Saya rasa proses itu tidaklah sukar kerana sedia maklum dengan keperluan dan tanggungjawab bersama kumpulan kru dapur seksyen halal untuk memberikan terbaik bagi keselesaan penumpang kapal. Pegawai JAKIM yang mengendalikan proses berkenaan sangat membantu.

“Selain itu saya juga bersyukur pihak pengurusan Genting Dream sendiri yang memberi ruang dan kepercayaan kepada kumpulan saya menyediakan stesen ini bagi kemudahan pelanggan. Kami berharap ini akan memberi contoh kepada kapal persiaran mewah lain dalam pendekatan perkhidmatan lebih mesra Muslim,” katanya.

TURUT menjadi tumpuan penumpang bukan Muslim.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 5:00 AM