Hafiz Ithnin


SEBAIK suis dihidupkan, deruan enjin mula berkumandang mengisi setiap sudut laluan perlumbaan. Bahkan, bendera bercorak dam hitam dan putih dikibarkan penjaga masa yang menandakan semua pelumba dibenarkan berlepas, sekali gus berpeluang menikmati pengalaman memandu di atas litar.

Situasi itu seakan-akan membawa jiwa sang pelumba amatur untuk terus memecut dan mengalahkan pesaing lain yang mengenali antara satu sama lain. Lebih mencuri perhatian apabila ada antara pelumba itu yang masih terkial-kial untuk mengendalikan kenderaan.

Masakan tidak, kenderaan itu tidak memiliki stereng kuasa, chasing kenderaan yang agak berat dan paling mencabar sudah tentu tiada gear untuk membolehkan mereka maju atau mengundur ketika memandu. Pasti ia memberi cabaran terutama bagi mereka yang kali pertama merasainya!

Tamat saja perlumbaan di atas litar sepanjang 970 meter itu, nama pelumba amatur pantas tersenarai di skrin digital bersama masa yang direkodkan tiba di garisan penamat.

Meskipun hanya dalam 10 minit, pelumba amatur itu berpeluh bagaikan berlari atau berjoging selain rasa puas terpancar di wajah masing-masing. Semuanya ini dialami selepas menikmati aktiviti go-kart yang sudah lama wujud di Malaysia.


Berkesempatan mengunjungi sebuah pusat rekreasi go-kart, Pinanacle Kart di USJ Subang, Selangor yang beroperasi sejak empat tahun lalu sememangnya memberi gambaran jelas kepada penulis aktiviti itu amat menyeronokkan untuk memanfaatkan waktu santai bersama keluarga ataupun rakan.

Bagi mereka yang tidak pernah mencubanya pasti membayangkan ia hanya pusat latihan untuk pelumba profesional. Sebenarnya, aktiviti go-kart adalah permulaan untuk orang ramai mengetahui asas pemanduan kenderaan itu sebelum berjinak-jinak dalam dunia perlumbaan sebenar.

Meskipun kini berada di dalam salah satu cabang sukan permotoran, go-kart asalnya aktiviti rekreasi yang sesuai untuk disertai semua orang termasuk kanak-kanak yang mempunyai ketinggian melebihi 110 sentimeter.

Bagaimanapun, perkara paling penting mereka boleh memandu dan memahami arahan yang diberikan untuk diamalkan ketika di litar. Bagi kanak-kanak, di sesetengah pusat go-kart menyediakan kenderaan khusus untuk saiz mereka.

Pemilik pusat go-kart berkenaan, Jefry Talib menjelaskan, aktiviti itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu rekreasi dan perlumbaan. Malah, bagi perlumbaan empat roda elit dunia Formula 1 (F1), go-kart adalah asas kepada teknik pemanduan.

Katanya, sebelum pelumba profesional dapat mengendalikan kenderaan dalam kategori perlumbaan, mereka akan diperkenalkan dengan cara pemanduan go-kart untuk rekreasi terlebih dahulu.

“Ketika memandu go-kart, mereka akan mempelajari cara asas seperti mengendalikan stereng, keluar dan masuk simpang, mengawal kelajuan serta tidak ketinggalan memahami isyarat pergerakan di litar iaitu bendera.

“Di sini, pelanggan akan diberi taklimat terlebih dahulu cara mengendalikan kenderaan dan memahami isyarat berkenaan. Perkara ini penting kerana kami mahu memastikan tidak berlaku kemalangan.

“Selain itu antara persediaan awal yang perlu diketahui orang ramai sebelum memandu go-kart ialah mereka wajib memakai kasut dan tidak dibenarkan memakai selipar.

“Dari segi pakaian tidak perlu sut perlumbaan tetapi biarlah bertutup atau berseluar panjang kerana aktiviti ini dalam kategori kegiatan lasak. Selain itu, kami sediakan topi keledar kami untuk dipakai ketika memandu,” katanya.


GOKART antara aktiviti yang terdapat di Speedway PLUS Karting, USJ. FOTO Muhd Zaaba Zakeria

Persepsi aktiviti lasak itu mahal bukan sesuatu yang baru kerana pada harga pasaran, pemilik go-kart menawarkan harga antara RM40 hingga RM60 bagi tempoh 10 minit pemanduan dan untuk tambahan masa seterusnya kebiasaannya lebih murah.

Dalam aktiviti go-kart terdapat dua kategori kenderaan iaitu ‘funkart’ yang khusus untuk rekreasi dan ‘racekart’ digunakan bagi tujuan perlumbaan. Setiap satunya mempunyai ciri berbeza.

Ujarnya, dari segi ciri yang terdapat pada ‘funkart’ ialah chasingnya lebih berat, memiliki enjin empat lejang, hanya boleh memecut sehingga 70 kilometer sejam dan tidak memerlukan ketelitian penetapan untuk pemandu.

“Berbanding ‘racekart’, chasing lebih ringan, memiliki enjin dua lejang, enjin mampu memecut sehingga 100 kilometer sejam, perlu mempunyai ketelitian penetapan untuk pemandu dan tayarnya juga perlu memiliki kompaun lembut,” katanya.

Jefry berkata, memandu go-kart memberi kepuasan tersendiri terutama perlu tahu mengendalikan kenderaan dan lebih menarik aktiviti itu disertai ahli keluarga atau rakan untuk bersantai.

“Di tempat kami, litarnya mempunyai ciri berbukit yang sememangnya dapat memberi cabaran kepada pemandu dan sesuai untuk menguji kemampuan pemandu amatur mengawal kenderaan di atas litar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 7:15 AM