Cyberjaya mempunyai lebih 30 kamera di lokasi tumpuan utama
Hartini Mohd Nawi


BANDAR Cyberjaya sinonim dengan mercu tanda teknologi dan inovasi Malaysia memandangkan kedudukannya di lokasi teras inisiatif Koridor Raya Multimedia (MSC).

Pada masa ini, 60 peratus daripada pusat data negara berpangkalan di Cyberjaya dengan lebih 40,000 pekerja berpengetahuan dan 506 syarikat berstatus MSC.

Sebahagian besar warga kerja bandar teknologi itu aktif bertugas 24 jam sehari memandangkan syarikat tempat mereka bekerja memberi khidmat kepada pelanggan di zon masa yang berbeza.

Sebagai pemaju utama Cyberjaya, Setia Haruman Sdn Bhd (Setia Haruman) bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk mempertingkatkan ciri-cirinya sebagai sebuah bandar yang sesuai didiami termasuk meningkatkan keselamatan dan kawalan bagi penduduknya.

Ketua Pegawai Operasi Setia Haruman, Wendy Li, menegaskan komitmen syarikat itu dalam usaha mempromosi dan membangunkan Cyberjaya sebagai sebuah pusat teknologi global dalam memenuhi keperluan populasinya yang kian meningkat.


CYBERVIEW Resort & Spa turut menawarkan persekitaran hijau mendamaikan.

“Keselamatan dan kawalan bagi warga Cyberjaya adalah satu keutamaan yang amat dititikberatkan dan diusahakan secara kolektif oleh setiap pemegang berkepentingan di Cyberjaya.

“Aspek keselamatan ini diberi penekanan memandangkan sebahagian besar pekerja di sini terbabit dalam profesion yang memerlukan mereka bekerja pada syif malam,” katanya ketika meraikan Hari Penghargaan Wanita Dalam Media, sempena Hari Wanita Sedunia 2019 anjuran Setia Haruman di Cyberview Resort & Spa, baru-baru ini.

Kenyataan itu diakui Kayathri Maheswaren, 35, yang berpengalaman kerja selama lebih sembilan tahun di syarikat perkhidmatan teknologi maklumat antarabangsa di Cyberjaya.

“Bekerja syif malam tidak lagi menjadi sesuatu yang membimbangkan dalam kalangan pekerja seperti saya dengan adanya perkhidmatan bas menerusi Sistem Dedikasi Pengangkutan (DTS) yang membantu memudahkan perjalanan mereka yang tinggal di bahagian lain di Lembah Klang.


BANGUNAN yang sarat dengan kehijauan ini sebenarnya sebuah pusat beli-belah, Tamarind Square.

“Malah warga kerja yang memandu pulang ke rumah atau ke tempat kerja pada sebelah malam juga akan mendapati jalan di Cyberjaya diterangi lampu dan sentiasa dalam rondaan polis,” katanya.

Dalam usaha mencapai sasaran sebagai bandar bebas jenayah, Cyberjaya turut disokong sebuah ekosistem keselamatan yang cekap iaitu sistem kamera litar tertutup (CCTV) 999 Tindakan Kecemasan Malaysia (MERS) bersepadu yang kali pertama dilancarkan pada 2009. Malah bandar berkenaan juga mempunyai lebih 30 kamera di lokasi tumpuan utama.

Tempat menarik di Cyberjaya

Tidak hanya memberi tumpuan kepada aspek keselamatan semata-mata kerana Cyberjaya turut menyenaraikan pelbagai tempat menarik buat anda kunjungi.

Dash Box Hotel umpamanya, menawarkan reka bentuk bangunan ala hipster dan trendy. Persekitarannya sesuai untuk anda abadikan di media sosial seperti Facebook dan Instagram.


MANJAKAN diri anda di Sembunyi Spa.

Salah satu lokasi hebat dan menarik untuk beriadah sama ada berjoging atau berkelah, Taman Tasik Cyberjaya antara yang dicadangkan.

Menginap pula di Cyberview Resort & Spa dalam suasana penuh kehijauan sambil memanjakan diri di Sembunyi Spa dengan tawaran pakej menarik yang rugi jika dilepaskan.

Lengkapkan kunjungan dengan singgah menunaikan solat di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah atau lebih dikenali Masjid Cyberjaya kerana ia sarat dengan seni bina unik.

Masjid ini sesuai dijadikan model bangunan yang menepati Piawaian Bangunan Hijau (GBI) berikutan penggunaan bahan kitar semula dan peralatan yang menjimatkan tenaga sekali gus mengurangkan kos. Selain dikatakan menjadi masjid pertama yang menggunakan panel solar untuk menjana elektrik.


KEUNIKAN di penginapan ala hipster dengan kemudahan kolam renang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 1:44 PM