SEMUA peserta selamat tiba di puncak Gunung Ulu Semangkuk. FOTO Zulkepli Osman
Mohamad Azim Fitri Abd Azizazi

BAGI yang menggemari aktiviti pendakian namun belum bersedia untuk menempuh laluan yang sukar dan berliku, anda boleh menjadikan Gunung Ulu Semangkuk sebagai latihan pendakian sebelum beralih ke gunung lebih mencabar.

Terletak di Kuala Kubu Baru, Selangor dan hanya 10 kilometer dipisahkan dengan pusat peranginan Bukit Fraser menjadikan Gunung Ulu Semangkuk sangat strategik dan sesuai buat mereka yang baru berjinak dengan aktiviti pendakian kerana laluan ke puncak gunung sudah tersedia.

Jika melalui pekan Kuala Kubu Baru, pendaki perlu memandu 45 minit untuk sampai ke kawasan permulaan pendakian dan meninggalkan kenderaan di kawasan parkir yang sudah disediakan pihak berkuasa tempatan.

Gunung yang berketinggian 1,394 meter dari aras laut itu turut menawarkan pemandangan indah kepada pendaki sebaik tiba di puncak yang boleh didaki dalam masa sehari.


PESERTA pendakian berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan.

Penulis yang berpeluang menyertai aktiviti pendakian ke Gunung Ulu Semangkuk baru-baru ini dapat merasakan cabaran ke puncak gunung itu boleh disahut sesiapa sahaja tanpa mengira peringkat umur kerana laluan pendakiannya yang boleh disifatkan tidak terlalu mencabar.

Namun perlu diingatkan, 35 minit pertama pendakian adalah saat yang paling getir kerana ia menguji kekuatan kaki dan otot pendaki untuk menempuh pendakian yang sedikit menegak.

Oleh itu, persediaan fizikal seperti aktiviti regangan anggota badan wajib dilakukan bagi mengelakkan pendaki mengalami kecederaan ketika mendaki terutama kekejangan otot yang sering menimpa mereka yang tidak memanaskan badan.

Permulaan laluan pendakian yang terletak di tepi jalan Kuala Kubu Baru, Bukit Fraser itu menuntut pendaki melalui laluan sedikit menegak selain perlu berpaut pada dahan dan akar kayu.

Di situ kekuatan tangan dan fokus diperlukan bagi mengelakkan pendaki tergelincir atau mengalami kecederaan.

Selepas 35 minit pendakian, laluan yang landai dan sedikit mudah ditempuhi pendaki yang kemudian akan membawa mereka ke puncak Gunung Gap yang berketinggian 1,183 meter.


PESERTA pendaki berhati-hati melalui kawasan trekyang cerun.

Penulis yang memulakan pendakian kira-kira jam 10 pagi tiba ke Puncak Gunung Gap satu setengah jam kemudian sebelum bertemu beberapa pendaki lain yang dalam perjalanan turun selepas selesai menikmati keindahan matahari terbit di puncak Gunung Ulu Semangkuk.

Sebaik berehat kira-kira 20 minit dan selesai bergambar di papan tanda puncak gunung, penulis bersama 26 lagi rakan pendaki terdiri daripada kalangan pegawai dan anggota bomba serta pengamal media kembali meneruskan perjalanan ke Puncak Gunung Ulu Semangkuk.


LALUAN berakar menjadi cabaran pendaki untuk ke puncak.

Selepas kira-kira satu jam menempuh perjalanan turun dan naik selain melalui laluan denai hutan yang sedikit mendatar, akhirnya kumpulan pertama tiba jam 1 tengah hari di puncak.

Pemandangan hijau di kiri, kanan, depan dan belakang di samping tiupan angin membuatkan penulis terlupa seketika akan penat dan ranjau ditempuhi kira-kira tiga jam pendakian sebelum sampai ke puncak.

Kawasan puncak yang mampu menampung kira-kira 40 pendaki dalam satu masa juga sering didaki mereka yang ingin melihat keindahan matahari terbit seawal jam 4 pagi. Bagi yang gemar melakukan pendakian bersama keluarga, Gunung Ulu Semangkuk sememangnya lokasi sesuai buat mereka.


PENDAKIAN Gunung Ulu Semangkuk mencabar fizikal dan mental pendaki.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 8:48 AM