AKTIVITI luncur udara di Bukit Maras,Terengganu. FOTO Aswadi Alias.
Hafiz Ithnin


SEBUT saja aktiviti lasak terutama menyelam skuba di Semenanjung Malaysia, Terengganu bukan sesuatu yang asing. Memiliki pelbagai pulau kecil yang cantik dan kualiti air laut jernih amat menonjol sebagai destinasi wajib dikunjungi jika ingin melakukan aktiviti itu.

Bagaimanapun, produk pelancongan di negeri itu kini sudah dipelbagaikan terutama membabitkan pelancongan eko kerana terdapat kekayaan sumber hijau yang amat sesuai untuk mereka yang gemarkan aktiviti lasak di darat.

Baru-baru ini, penulis sendiri agak teruja apabila diperkenalkan dengan Bukit Maras, 328 meter di daerah Kuala Nerus iaitu salah satu lokasi pendakian begitu popular berhampiran Kuala Terengganu.

Pemanduan dari Kuala Terengganu ke kaki Bukit Maras tidaklah begitu jauh kerana hanya mengambil masa sekitar 30 minit atau 20 kilometer sahaja.

Jadi jika bertandang ke Kuala Terengganu bersama keluarga, si kaki aktiviti lasak tidaklah bosan melayan aktiviti membeli-belah atau ‘makan-makan’ semata-mata.


KEMUDAHAN untuk berkhemah dan bersantai di Bukit Maras.

Apa menariknya Bukit Maras? Sebenarnya di bukit ini terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan. Pertama, ia cukup terkenal sebagai destinasi luncur udara solo atau ‘paragliding’ secara tandem.

Setiausaha Persatuan Luncur Udara Terengganu (PLUT), Anuar Ngah berkata, Bukit Maras mula menjadi sasaran peminat aktiviti luncur udara sama ada profesional atau amatur sejak tahun lalu.

Bagaimanapun aktiviti itu hanya dilakukan sekiranya mendapat permintaan atau mereka yang datang secara berkumpulan minimum 10 orang. Bagi yang berhasrat untuk melakukan ‘paragliding’ secara tandem boleh menghubungi pihaknya.

“Di sini, kita mempunyai tiga operator yang menawarkan khidmat untuk membawa mereka yang tidak mempunyai lesen luncur udara profesional secara tandem dengan kadar bayaran promosi ketika ini RM150 seorang termasuk kos pengangkutan dari kaki bukit sehingga ke atas puncak Bukit Maras.


PEMANDANGAN dari puncak Bukit Maras yang memukau.

“Waktu yang sesuai untuk melakukan aktiviti ini bermula Mac hingga Oktober kerana ketika itu bukan dalam musim tengkujuh dan hujan. Sebaik-baiknya waktu ia dilakukan pada jam antara 12 tengah hari hingga 3 petang,” katanya.

Merasai pengalaman melakukan paragliding secara tandem sememangnya menawarkan pengalaman berharga buat penulis kerana ketika berada di ruang udara bersama pemandu aktiviti itu atau tandem master, Yusof Mamat selama 15 minit keindahan melihat panorama sekitarnya amat menarik.

Berada di ketinggian sekitar 500 meter dari aras laut membolehkan mereka yang melakukan aktiviti itu melihat secara jelas Kuala Nerus dan Kuala Terengganu dari kaca mata burung.

Aktiviti di Bukit Maras sebenarnya tidak hanya tertumpu kepada luncur udara kerana yang paling mendapat sambutan pastinya kegiatan mendaki dan pada tahun lalu sahaja dijangkakan sekitar 12,000 pendaki sudah menawannya.

Bagi mereka yang ingin mendaki ke kawasan itu, terdapat tiga trek yang boleh dilalui iaitu Trek Tanah Merah dengan jarak 1.8 kilometer (km), Trek Denai A (jarak 3.3km) dan Trek Denai B (jarak 5.8km).

Menariknya aktiviti mendaki di sini ialah pendaki boleh menikmati laluan yang agak mencabar dan dibayar dengan keindahan serta keselesaan ketika berada di atas puncak Bukit Maras terutama untuk menyaksikan panorama matahari naik dan terbenam.

Dengan kata lain, sebenarnya di Bukit Maras terdapat pelbagai aktiviti luar yang menarik bagi mereka yang gemarkan cabaran dan panorama alam semula jadi.


BUKIT Maras menjadi destinasi santai yang menarik di Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 9:53 AM