ACARA berbasikal yang banyak dianjurkan di Malaysia memberi peluang kepada semua golongan beriadah secara sihat. FOTO NSTP
Hafiz Ithnin

AKTIVITI bercuti bersama keluarga menjadi sesuatu yang paling bermakna kerana bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan, malah saling memahami kehendak antara satu sama lain.

Di negara ini terdapat pelbagai lokasi percutian yang sesuai dikunjungi semua peringkat usia. Dikongsikan lima aktiviti yang sesuai untuk anda seisi keluarga tanpa mengira usia.

Berbasikal

Berkayuh basikal antara aktiviti santai bersama keluarga yang paling popular sama ada di laluan denai, mengembara dan di kawasan bandar.

Antara yang menarik, berbasikal kembara membolehkan ibu bapa bersama anak-anak mereka berkayuh merentasi kawasan kampung yang tidak sibuk.

Aktiviti basikal kini tidak lagi hanya dikaitkan dengan golongan atlet profesional tetapi menjadi pengisi masa lapang yang sesuai buat semua peringkat usia untuk bersama-sama mengamalkan gaya hidup sihat.

Larian

Jika menyelak laman sosial pasti ada antara rakan yang aktif dalam aktiviti larian maraton atau denai.

Bermula hanya sebagai larian santai dengan menyertai kategori lima kilometer, ia menjadikan seseorang itu semakin ‘ketagih’ untuk mencabar diri menyertai larian lebih jauh.

Di Malaysia, setiap kejohanan sama ada untuk larian amal atau perlumbaan pastinya pelbagai peringkat usia dapat dilihat menyertainya.

Malah, lebih menarik apabila seisi keluarga menyertai kejohanan larian yang diadakan. Paling tidak, jika si ibu atau bapa yang berlari, anak-anak menjadi kumpulan penyokong di luar garisan.

Tambahan pula, aktiviti larian kini disukai warga emas untuk menjalani gaya hidup yang lebih sihat. Jika dahulu mereka sinonim dengan aktiviti ‘orang pencen’ seperti melayan cucu di rumah atau berkebun, kini aktiviti larian menjadi antara pengisian pada waktu santai.


LARIAN santai boleh disertai seisi keluarga. FOTO Hairul Anuar Rahim

Mendaki

Di Malaysia terdapat banyak gunung dan bukit yang menyediakan beraneka bentuk cabaran untuk diterokai golongan yang gemarkan aktiviti lasak. Meskipun dahulunya dianggap aktiviti yang lasak dan tidak sesuai untuk golongan kanak-kanak dan warga emas, persepsi itu kian berubah.

Harian Metro sebelum ini pernah melaporkan kanak-kanak seawal usia lapan tahun berjaya menawan lapan gunung tertinggi di Semenanjung.

Bermakna pada hari ini ibu bapa semakin terbuka untuk menggalakkan anak-anak mereka menyertai aktiviti mendaki yang mungkin sebelum ini dilihat sebagai kegiatan luar berisiko tinggi dari segi keselamatan.

Bagaimanapun bagi ibu bapa, pelbagai langkah perlu diambil sebagai persediaan awal keselamatan untuk melindungi si kecil daripada ditimpa masalah ketika mendaki.

Ini termasuk memastikan anak anda benar-benar bersedia dari segi mental dan fizikal, menggunakan khidmat penunjuk arah profesional dan menyediakan peralatan mendaki yang mencukupi.

Begitu juga dengan golongan warga emas, mereka boleh menyertai kegiatan ini memandangkan ia gaya hidup sihat yang boleh diamalkan.

Namun mereka juga harus membuat persediaan rapi ketika melakukan aktiviti berkenaan terutamanya membawa ubat-ubatan, tidak mendaki seorang diri dan memahami keadaan diri dari segi mental serta fizikal.


SEMAKIN ramai ibu bapa menggalakkan anak mereka menyertai aktiviti mendaki. FOTO NSTP

Mendaki tembok tiruan/tebing batu

Aktiviti yang sinonim bermain dengan tempat tinggi ini sering kali dilihat hanya sesuai untuk mereka yang masih muda terutama remaja kerana ia membabitkan pendakian secara menegak di kawasan batu atau tembok tiruan.

Di Malaysia ketika ini banyak gimnasium mendaki tembok tiruan dibuka bagi membolehkan peminatnya berlatih dari segi teknikal dan membuat persediaan fizikal untuk mencabar diri menguasai laluan pendakian yang lebih mencabar.

Antara lokasi popular yang sering dikunjungi orang ramai untuk menyertai aktiviti mendaki tembok tiruan ialah di Taman Cabaran, Putrajaya yang menyediakan pelbagai laluan pendakian sesuai untuk golongan amatur dan profesional. Menariknya, terdapat juga ruang khas untuk kanak-kanak.

Dari segi mendaki tebing batu, terdapat beberapa lokasi yang popular seperti di Gua Damai Extreme Park, Batu Caves. Di sini juga amat terkenal untuk mereka yang baru berjinak-jinak untuk mencuba aktiviti lasak berkenaan.

Berkhemah di dalam hutan

Bagi mereka yang gemarkan aktiviti riadah di kawasan hutan, pastinya berasa cukup bertuah kerana Malaysia kaya dengan kawasan hijau yang masih terpelihara seperti air terjun.

Lebih bermakna apabila kawasan perkhemahan itu memerlukan anda meredah sedikit laluan denai dan ia memberi cabaran menarik untuk anda sekeluarga terutama kanak-kanak yang baru berjinak-jinak dengan dunia hutan.


AKTIVITI berkhemah antara yang semakin menjadi pilihan untuk memberi pendedahan kepada anak mencintai alam semula jadi. FOTO Muhaizan Yahya

Melakukan aktiviti berkhemah di dalam hutan seisi keluarga juga agak menarik kerana dapat mengeratkan hubungan keluarga terutama kanak-kanak untuk belajar menjadi lebih berdikari.

Jika ingin melakukan aktiviti perkhemahan bersama si kecil, pastikan soal keselamatan tidak diketepikan seperti memastikan tapak perkhemahan selamat

selain kanak-anak sentiasa dalam pemantauan. Lebih baik jika aktiviti ini dimulakan di kawasan perkhemahan yang menyediakan kemudahan asas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 11:00 AM