JEMPUTAN Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri dari 13 negara.
Aniza Zainudin


SEBANYAK 29 media antarabangsa dan pengusaha industri pelancongan dari 13 negara yang menyertai program 'Malaysia Mega Familiarisation' berpeluang merasai sendiri kemeriahan rumah terbuka tradisional Malaysia sempena Aidilfitri.

Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri itu dianjurkan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan bersama Kementerian Wilayah berlangsung di Muzium Diraja, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jemputan turut mewakili negara masing-masing yang terdiri daripada Kemboja, China, India, Itali, Jepun, Laos, New Zealand, Filipina, Arab Saudi, Thailand, Turki, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Malah penganjurannya disifatkan bertepatan apabila jemputan berpeluang menyaksikan sendiri tradisi 'merewang' dan perpaduan masyarakat setempat dalam penyediaan majlis perayaan mahupun keramaian.

Terlebih dulu, jemputan turut menghadiri seminar khas berkenaan industri pelancongan tempatan termasuk Kempen Tahun Melawat Malaysia 2020, pembangunan pantai Desaru, Johor dan Encore Melaka dan hotel serta syarikat penerbangan Malaysia.

Kumpulan ini turut berpeluang mengunjungi beberapa lokasi menarik termasuk Muzium Komik dan Kartun Malaysia, River of Life, Helipad Lounge Bar, Genting Highlands, Melaka dan Ipoh.

Program yang menerima sokongan daripada Malaysia Airlines, Turkish Airlines dan ParkRoyal Kuala Lumpur ini turut dibanjiri pelancong tempatan dan asing yang ingin menikmati persembahan tradisional serta makanan tipikal Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 8:42 AM