PEMANDANGAN di Pantai Batu Pelanduk.
Nurul Husna Mahmud


KETIKA meniti batu besar di Pantai Batu Pelanduk, Kuala Abang, Dungun, Terengganu baru-baru ini teringat kembali kenangan menyusuri pantai di The Great Ocean Road di Australia.

Meskipun berbeza, ia mempunyai tarikan yang hampir sama kerana pengunjung di kedua-dua lokasi pasti bergambar dengan batu dan pemandangan pantai yang menarik.

Bagi pengunjung yang berhasrat meniti batu-batuan yang terdapat di pantai Batu Pelanduk itu, diingatkan lebih berhati-hati ketika memanjat kerana ada sebahagian batu diselaputi lumut selain tidak kurang juga tajam akibat pecah dihempas ombak.

Sebenarnya kunjungan penulis ke destinasi itu hanyalah untuk melepaskan lelah sebentar selepas menempuh perjalanan panjang dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur.

Tidak bersendirian, penulis ditemani sepupu mengambil kesempatan merakam satu dua foto sebagai kenangan kerana itu julung kali menggunakan laluan pantai untuk ke ibu kota.

Tidak perlu bimbang, lokasi perhentian yang dipilih penulis hampir dengan kemudahan tandas awam. Jadi bagi pengguna laluan pantai iaitu melalui daerah Dungun, pastinya destinasi berkenaan sesuai sebagai perhentian untuk mengisi perut atau menyempurnakan urusan ‘kecil’ mahupun ‘besar.’

Seperti ‘dipukau’ untuk menjejak kaki ke pantainya yang putih, rasa lebih teruja apabila terkena percikan air laut yang menghempas batu. Di depan mata, kelihatan buih ombak selain air laut biru kehijauan.

Namun sebaik kaki memijak gigi air, air laut berkenaan sangatlah jernih sehinggakan terlihat warna batu pada pasir di dasarnya. Ditambah dengan angin yang bertiup kencang sehinggakan pohon ru dan kelapa berhampiran meliuk-liuk, bagi penulis suasana itu sangat menyegarkan.


PANORAMA indah sekitar pantai Kuala Abang.

Seorang penduduk yang ditemui, Najwa Hilmi, 23, berkata, pada hujung minggu pantai berkenaan menjadi tumpuan penduduk tempatan untuk berkelah.

“Ada yang datang dengan keluarga ataupun muda-mudi bertemu janji di sini. Malah di sini antara lokasi pilihan terutama bagi peminat seni foto ataupun yang gemar memuat naik gambar di media sosial.

“Bentuk batu unik berlatarkan awan dan laut yang biru pastinya memberi panorama menarik. Malah ada juga yang datang semata-mata untuk rakam gambar ketika senja iaitu pemandangan matahari terbenam,” katanya.

Lokasi pantai itu hanya 10 kilometer dari bandar Dungun dan hanya beberapa kilometer dari Rantau Abang membuatkan destinasi berkenaan antara persinggahan dan tumpuan destinasi riadah popular.

Kata Najwa, pelbagai aktiviti dilakukan termasuk mandi-manda di gigi pantai, merakam foto sehinggalah kepada aktiviti mengutip cengkerang siput dilakukan kebanyakan pengunjung.

Bagi mereka yang tidak membawa bekalan makanan dan minuman, ada banyak gerai makanan milik penduduk kampung berhampiran menawarkan selera tempatan khususnya sajian wajib ada - keropok lekor!


STRUKTUR batu unik menarik untuk rakaman gambar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 9:28 AM