BURUNG kuang raya antara spesies terancam.
Zaitie Satibi


BULU ekornya dikembangkan seperti kipas sekali gus menyerlahkan corak bulat-bulat kecil umpama seribu mata tajam sedang memerhati. Malah, kakinya pula dikuis-kuis di atas tanah dan badannya bergerak-gerak ke kiri ke kanan seolah-olah mengikut rentak tarian tersendiri. Demikian cara kreatif burung kuang raya jantan untuk memikat pasangannya.

Lazimnya, situasi istimewa burung berkenaan atau nama saintifiknya Argusianus argus mengembangkan ekornya yang cantik dan menari hanya boleh disaksikan ketika musim mengawan dua kali setahun. Selesai mengawan, burung kuang raya betina akan masuk ke hutan untuk bertelur.

Burung kuang raya jantan adalah spesies burung kuang yang paling besar apabila saiznya mampu mencecah dua meter selain memiliki ekor yang panjang dan mempunyai warna menarik. Berbanding burung betina yang bersaiz kecil, mempunyai bulu kurang menarik dan berekor pendek.

Bagaimanapun, burung jantan dan betina sama-sama mempunyai kulit berwarna biru pada kepala dan leher, berkaki merah dan paruh kuning serta tidak mempunyai kelenjar minyak.

Burung kuang spesies ini biasanya ditemui secara semula jadi di dalam hutan di Asia Tenggara meliputi Borneo, Sumatera dan Semenanjung Malaysia. Ia juga dikategorikan sebagai omnivor dan makanannya seperti ulat, cacing serta buah-buahan.

Malangnya, burung kuang raya terutama yang jantan yang dikenal pasti tergolong sebagai antara tercantik di dunia semakin berkurangan dan jarang lagi dapat dilihat. Burung ini dikatakan mula terancam akibat aktiviti manusia seperti pembukaan hutan yang mengganggu habitatnya.

Menyedari sesuatu perlu dilakukan bagi mengelak burung kuang raya terus pupus, taman tema popular Lost World of Tambun (LWOT), Ipoh, Perak melancarkan Pusat Konservasi Burung Kuang Raya dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Berkeluasan kira-kira 150 kaki persegi, pusat konservasi itu menempatkan tiga pasang burung kuang raya untuk dibiakkan, di samping usaha mengetengahkan spesies haiwan tempatan itu kepada generasi baharu. Landskap sangkar diambil kira dengan mewujudkan suasana yang selesa seolah-olah burung ini tinggal dalam habitatnya sendiri.


PENGUNJUNG mengambil gambar burung kuang raya sebagai kenangan.

Menurut Penolong Pengurus Besar Projek dan Operasi LWOT, Ramesh Singaram, pihaknya mengambil masa kira-kira setahun setengah untuk merealisasikan projek pusat konservasi burung kuang raya sebelum dibuka kepada umum dua bulan lalu berikutan perlu mengikuti spesifikasi diberikan Perhilitan.

“Tiga pasang burung kuang raya ini dipinjamkan Perhilitan bagi tujuan pembiakan dalam kurungan dan konservasi burung kuang. Kami merancang membiakkan sekurang-kurangnya dua anak burung ini sehingga hujung tahun ini sebelum dilepaskan semula ke habitat asal bagi meningkatkan populasi liar di dalam hutan.

“Jun hingga September adalah waktu puncak burung ini mengawan dan kebiasaannya ia menghasilkan dua biji telur. Telur burung kuang raya memerlukan tempoh pengeraman selama 24 hingga 26 hari. Burung ini dibiakkan dengan kaedah semula jadi iaitu ibu haiwan mengeram secara normal ataupun melalui inkubator.

“Ini kerana, tidak semua ibu burung boleh mengeram dengan sendirinya. Kadang-kadang burung ini bertelur tetapi kemudian dibiarkan begitu sahaja. Kami akan membuat pemeriksaan telur pada hari ketujuh berikutan ada telur yang gagal,” katanya.

Katanya, selain pembiakan pusat ini juga menjalankan penyelidikan seperti mengetahui tingkah laku dan tabiat pemakanan haiwan itu. Malah, pihaknya juga menggunakan khidmat veterinar dan kakitangan yang terlatih untuk mengendalikan haiwan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pusat konservasi burung kuang raya itu selain bagi memastikan spesies itu terus wujud, ia juga bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai usaha melindungi haiwan yang disenaraikan dalam Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716)-Hidupan Liar yang Diperlindungi Sepenuhnya (Jadual Kedua).

“Meningkatkan daya potensi ikhtiar hidup burung ini menerusi pusat konservasi adalah usaha melindungi spesies ini yang kian terancam. Kita tidak mahu burung kuang yang juga spesies burung tercantik di dunia ini pupus dan generasi baru tidak mengenali haiwan ini,” katanya.


PUSAT konservasi burung kuang raya sebagai tarikan untuk pengunjung mengenali spesies terancam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 11:00 AM