Zaitie Satibi


KEBELAKANGAN ini semakin banyak lokasi di seluruh negara diperkenalkan dengan karya seni jalanan tiga dimensi (3D) pada dinding atau mural yang bukan saja menarik malah dapat membantu mempromosikan industri pelancongan setempat.

Dinding yang menjadi kanvas kepada keunikan lukisan mampu memperdaya mata pengunjung ini lazimnya di lorong belakang premis perniagaan. Ini bagi menghidupkan suasana lorong yang suram, di samping mengubahnya menjadi tempat selamat, bersih dan boleh dilawati pengunjung.

Antara lokasi mural dengan tema memorial dan interaktif yang dilukis pada dinding premis kedai yang popular seperti Art Street Penang di sekitar bandar Georgetown, Pulau Pinang; Laman Seni Seksyen 7, Shah Alam, Selangor; Ipoh Mural Art Trail di sekitar bandar lama Ipoh, Perak; lukisan mural Adikku Sayang di Muar, Johor dan PD Wall Street Art di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Namun, lukisan mural 3D yang dinamakan Heritage X-plore yang menghiasi laluan lorong satu daripada blok bangunan pusat borong GM Klang di Klang, bakal menjadi tarikan terbaharu pelancongan ke daerah berkenaan.

Dibuka kepada awam baru-baru ini, Heritage X-plore bertujuan mengajak pengunjung menyelami warisan bandar Klang dengan lebih dekat. Dinding sepanjang 76.2 meter itu dilukis dan dicat 67 pelajar Jabatan Rekaan Industri, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dengan bimbingan lima pensyarah selaku penasihat projek berkenaan.

Lukisan yang memaparkan empat tema berkaitan budaya pelbagai kaum, sejarah dan warisan itu membabitkan gambar lama bandar Klang antaranya Kuil Kwan Imm, Masjid India Muslim dan Kopitiam Chong Kok serta adat perkahwinan dalam budaya berlainan. Secara tidak langsung mampu menarik orang ramai yang berkunjung ke pusat borong terbabit untuk menjelajah sendiri ke lokasi bersejarah di Klang.

ORANG ramai tertarik berswafoto berlatarkan lukisan bangunan lama Klang.

Pensyarah kanan fakulti itu, Dr S’harin Mokhtar berkata, lukisan mural 3D terbaharu yang juga projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) sempena ulang tahun ke-10 pusat borong berkenaan bukan saja akan menjadi satu lagi tarikan buat pelancong yang akan menjadikan bandar Klang lebih menarik, malah memberi peluang kepada pelukis terutama golongan muda untuk memberi idea bagi mengindahkan sesuatu kawasan.

“Projek ini bermula sejak April lalu dengan 67 pelajar tahun akhir diberi kesempatan memperlihatkan kemahiran dalam bidang yang menjadi kepakaran mereka. Selain bakat seni yang dimiliki, mereka juga lebih peka dengan ilustrasi bersesuaian dengan tema dipilih.

“Pelajar terlebih dahulu membuat kajian berkaitan bandar Klang, malah turut mengadakan lawatan sambil belajar ke sekeliling bandar dengan kerjasama Majlis Perbandaran Klang (MPK) sebelum menghasilkan kertas cadangan.

“Peluang ini secara tidak langsung mendedahkan pelajar kepada situasi alam pekerjaan dan pengalaman diperoleh memberi kelebihan kepada mereka dalam kerjaya berkaitan,” katanya.

Perasmian lukisan mural 3D itu disempurnakan Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin. Turut hadir, Pengarah Urusan GM Klang, Datuk Lim Seng Kok dan Dekan FSSR, Profesor Dr Ruslan Abdul Rahim.

Usaha pelajar berkenaan itu juga mampu menarik minat pengunjung untuk menghargai seni budaya menerusi mural, selain gambar dirakam ditularkan kenangan itu kepada umum melalui pelbagai saluran media sosial.

“Langkah ini secara tidak langsung memperkenalkan sesuatu lokasi itu menjadi tempat fotografi terbaik di Klang.

“Kami yakin pengunjung pasti tertawan dengan keunikan karya yang dihasilkan pelajar yang meluangkan masa untuk melukis seminggu sekali sehingga pertengahan Julai. Antara kelainan dipaparkan adalah replika bahagian depan bas Selangor, meja kopitiam, basikal tua dan pentas bersanding,” katanya.

Mengulas kerjasama berkenaan, Lim berkata, pihaknya sudah lama berhasrat memiliki lukisan mural 3D kerana seni artistik ini sangat bernilai dan mampu menarik perhatian orang ramai untuk merakam kenangan.

Malah, katanya, lorong dipilih untuk melakar seni mural itu adalah lokasi strategik disebabkan ia laluan pengunjung yang datang dari luar Klang dan secara tidak langsung ia dapat memperkenalkan bandar itu kepada mereka dengan lebih dekat.

SEBAHAGIAN daripada 67 pelajar UiTM yang terbabit dalam projek itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Julai 2019 @ 10:52 AM