Nurul Husna Mahmud


‘KU ukir namamu, di awan Gunung Jerai, disaksikan laut daun nyiur melambai.....’

Itu antara bait lagu Cinta Pantai Merdeka yang dinyanyikan kumpulan muzik era rock kapak, Tropika. Lirik yang menampilkan luahan cinta jejaka terhadap gadis tidak lupa menyematkan nama gunung tertinggi di Kedah yang juga destinasi popular di utara tanah air.

Menariknya, pengunjung yang berhasrat ke puncak gunung terbabit boleh memilih menyewa pengangkutan seperti van yang disediakan dengan bayaran RM60.

Pilihan lain termasuk menggunakan kenderaan atau motosikal sendiri menyusuri selekoh curam mendaki pada jarak sekitar 13 kilometer ke pun

cak yang turut menempatkan resort ternama, The Regency Jerai Resort.

Mengenali seorang penduduk tempatan, Mohd Azuan Ahmad, 47, yang menjadi jurupandu secara tidak langsung membantu penulis menarik nafas lega kerana tidak perlu memandu pada laluan mendaki mencabar.

Menerusi pengalaman itu, disarankan khusus kepada orang luar terutama mereka yang memandu pertama kali ke lokasi terbabit perlu berhati-hati selain bersedia dengan hon dan brek.


PEMANDANGAN hamparan sawah padi.

Jalan mendaki atau menuruni bukan saja selekoh tajam tapi ada kalanya penglihatan ketika pemanduan sangat terhad untuk melihat kenderaan yang berselisih.

Namun menempuh perjalanan itu berbaloi apabila menyaksikan pemandangan dari puncak gunung yang memaparkan pemandangan sebelah lautan dan jelapang padi pada sisi lain.

Kata Mohd Azuan, selain pemandangan, mereka turut menikmati suhu yang nyaman sekitar 19 hingga 24 darjah Celsius.

Tidak sekadar pemandangan, sebenarnya destinasi itu mempunyai nilai penting apabila dapat melihat kesan peninggalan sejarah antaranya Padang Tok Sheikh dan Telaga Tok Sheikh iaitu individu bertanggung jawab mengislamkan Maharaja Debar Raja I yang kemudian bergelar Sultan Muzaffar Shah pada 1136.

“Gunung ini sering menjadi pilihan untuk orang tempatan mahupun peminat sukan lasak kerana adanya trek untuk dijelajahi selain aktiviti berbasikal.

“Terbaharu tarikan lokasi ini ialah adanya pengalaman untuk mencuba flying fox membolehkan pengunjung ‘terbang’ sambil menikmati pemandangan daripada puncak iaitu sama ada boleh lihat Pulau Bunting atau sawah padi.


MUZIUM Perhutanan terletak dalam perjalanan menuju ke puncak.

“Keistimewaan lain lokasi terbabit ialah mengenai kesan tinggalan sejarah apabila suatu ketika dulu pernah menjadi panduan buat pedagang Parsi, Arab, Cina dan India untuk berdagang ke negeri ini.

“Malah lokasi bersejarah penting juga boleh disaksikan pengunjung termasuk Padang Tok Sheikh dan Telaga Tok Sheikh dikatakan tinggalan ulama yang mengislamkan Sultan Muzaffar Shah.

“Lebih menarik ialah sejarah gunung ini sendiri yang mendapat nama daripada struktur batu besar mempunyai permukaan berbentuk petak setiap satu hampir sama besarnya saiznya antara kisah menarik.

“Bongkah batu itu dikatakan berasal daripada kapal Maharaja Merong Mahawangsa yang disumpah Sang Kelembai ketika berlabuh di Pulau Jerai,” katan

ya.

Pengunjung boleh memilih untuk pulang atau bermalam kerana pelbagai kemudahan termasuk penginapan, restoran, masjid dan tapak perkhemahan dibangunkan.

Selain itu pengunjung boleh melawat kawasan air terjun sekitar gunung mahupun menjengah Muzium Perhutanan untuk melihat khazanah hutan.


PENGUNJUNG merakam gambar bersama bangunan resort di puncak gunung berkenaan.

Gunung Jerai juga menyimpan khazanah geologi malah formasi gunung itu dikatakan sama dengan Gunung Machinchang yang berusia 300 juta tahun. Bahan geologi yang menarik termasuk batu-batan berwarna-warni, garnit, garnet dan monazit.

Di Tangga Kenari 1,000 Tahun, pengunjung boleh mendaki anak tangga dan trek hutan ke puncak melalui daerah Yan.

Cara untuk sampai ke Gunung Jerai:

• Menerusi Lebuh Utara-Selatan , boleh susur keluar ke tol Gurun. Dari Pekan Gurun, jarak ke kaki Gunung Jerai sekitar 5 kilometer.

• Perjalanan mendaki 15-20 minit guna kenderaan (selekoh sempit dan curam)

• Ada kenderaan sewa membawa penumpang ke puncak dari kaki gunung.

• Kemudahan lain di kaki gunung ialah tempat letak kereta, bas, surau, tandas dan pusat penerangan.

• Kemudahan di puncak; wakaf, tandas, laluan pejalan kaki dan kawasan rekreasi, antaranya di Titi Hayun, Seri Perigi dan Batu Hampar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 9:34 AM