Oleh Helmy Abd Rahman


“Kapung aku ada jambatang, kapung mu adok, kekgi boleh buka (kampung aku ada jambatan, kampung kamu tak ada, nanti boleh dibuka),” demikian gurauan dalam petikan rakaman video dilakukan seorang anak muda yang tular di laman sosial mengenai jambatan angkat atau drawbridge.

Rakaman video itu mungkin dianggap gurauan, namun kebanggaan ‘orang’ Terengganu terhadap jambatan ikonik berkenaan adalah benar dan nyata.

Malah tidak keterlaluan jika disifatkan ‘keghairahan’ mereka terhadap jambatan angkat ini hampir berada pada tahap keinginan rakyat Malaysia menantikan pembukaan Menara Berkembar Petronas lebih 20 tahun lalu.

Mercu tanda ikonik bernilai RM248 juta itu terus menjadi buah mulut ramai yang mengagumi struktur dan seni binanya sehinggakan ada pemandu yang beberapa kali membuat pusingan ‘U’ semata-mata ingin merasai pengalaman itu.

Maka tidak hairanlah mercu tanda baharu Terengganu itu menjadi pilihan utama bukan hanya dalam kalangan orang tempatan, malah dari negeri lain yang berkunjung ke Kuala Terengganu untuk bergambar.

Antara lokasi ‘wajib’ bagi kaki foto untuk mengambil gambar berlatarkan drawbridge adalah di Dataran Persisir Payang, Medan Selera Tanjung dan di Seberang Takir iaitu kawasan berhampiran jambatan berkenaan.

Namun ada satu pengalaman unik yang boleh dirasai pelancong namun masih ramai yang kurang tahu, mungkin kerana tidak dihebahkan secara meluas.


PERKHIDMATAN menyusuri Sungai Terengganu dengan bot penambang klasik turut melewati Masjid Kristal.

Bagi yang ingin mencari kelainan, apa kata cuba pengalaman menyewa bot penambang menyusuri Sungai Terengganu dan melewati drawbridge di kawasan muara sungai.

Hanya dicaj RM60 untuk sebuah bot, anda berpeluang menikmati pemandangan struktur drawbridge daripada perspektif berbeza.

Dua waktu paling sesuai dan menarik untuk merasai pengalaman ini ialah ketika matahari terbit dan terbenam. Untuk mereka yang berhasrat menikmati pengalaman melihat dan mengambil gambar drawbridge saat matahari terbit boleh meminta pemandu bot mudik ke arah hulu sungai.

Jika anda berminat mengambil gambar pemandangan drawbridge pada waktu senja pula, boleh pinta pemandu membawa bot ke kawasan muara.

Ambillah gambar atau video sepuas mungkin, yang pasti hasilnya pasti berbeza dengan yang lain walaupun menggunakan subjek sama.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Bot Penambang Kuala Terengganu, Muhamad Ibrahim, 70, berkata, perkhidmatan yang disediakan itu bukan saja mampu memberi pengalaman unik kepada pelanggan, malah bayaran yang dikenakan amat berpatutan.


PEMANDANGAN dari udara bot penambang menyusuri Sungai Terengganu melalui jambatan angkat.

“Berbanding penyedia perkhidmatan serupa yang lain, kami pengusaha bot penambang hanya mengenakan caj RM60 untuk sejam bagi sebuah bot.

“Bermakna, jika ada 10 orang dalam satu kumpulan yang menyewa pada satu masa, seorang cuma keluarkan RM6 saja.

“Bot penambang klasik kami juga selamat dan dilengkapi jaket keselamatan

,

selain pemandu bot berpengalaman puluhan tahun menyusuri sungai ini (Sungai Terengganu).

“Selain itu, penumpang dibawa menyusuri Sungai Terengganu dan melihat kehidupan penduduk di tepi tebing sungai.

“Kita boleh lewati Pulau Duyung dan dapat melihat bengkel membuat bot tradisional dari sudut yang berlainan. Jika air pasang bot akan membawa anda meronda sekitar Pulau Sekati, antara pulau yang menempatkan perkampungan Melayu tradisional Terengganu.


AMBIL gambar drawbridge ketika matahari terbenam dari atas bot.

“Selain drawbridge, ramai juga yang gemar mengambil gambar pemandangan Masjid Kristal dari atas bot. Pendek kata, tak rugi atau menyesal kalau cuba perkhidmatan ini,” jelasnya.

Sambil menikmati pemandangan dan mengambil gambar, anda juga dapat membantu pemandu bot yang kini semakin terhimpit oleh desakan hidup.

Bagi pemilik dan pemandu bot, Razali Abdul Ghani atau turut dikenali sebagai Pok Ali, 69, perkhidmatan baharu itu diharapkan dapat menampung kemerosotan perolehan membawa penumpang sejak kebelakangan ini.

“Memang menarik apabila menyusuri bawah jambatan angkat, sebab itu ramai ‘geng’ (golongan) jurugambar sewa bot saya... untuk ambil gambar perspektif berbeza kata mereka.

“Kalau nak harapkan bawa penumpang saja memang tak cukup, pernah saya dapat tak sampai RM10 sehari, nak makan apa kalau macam itu berterusan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Oktober 2019 @ 9:29 AM